Images
  • pimple
    (Gambar fail)

Bagaimana tangani masalah jerawat disebabkan penggunaan pelitup?

HONG KONG: Masalah jerawat akibat penggunaan pelitup sudah menjadi satu kelaziman lebih-lebih lagi apabila kita perlu memakai pelitup setiap kali keluar rumah.

Menariknya, terdapat dua jenis jerawat akibat penggunaan pelitup.

Jika ia kelihatan seperti jerawat biasa di bahagian wajah yang ditutup, ia mungkin disebabkan oleh kelembapan di balik pelitup anda, yang merangsang pembiakan bakteria.

Namun, jika ia kelihatan seperti ruam dan terasa jengkel apabila disentuh, ia mungkin adalah masalah kulit yang disebabkan oleh geseran daripada pelitup anda.

Apa pun jenis jerawat sekali pun, berikut adalah beberapa tips yang boleh anda ambil bagi mengatasi masalah kulit yang disebabkan oleh penggunaan pelitup.

PENJAGAAN KULIT

Pastikan anda mencuci muka menggunakan produk yang sesuai dengan jenis kulit anda lalu mengamalkan rutin penjagaan kulit paling asas yang cukup untuk memastikan kulit anda tidak terasa kering sepanjang hari.


Secara ideal, gunakan produk serum diikuti dengan pelembap untuk memastikan kulit anda tidak kering atau anda juga boleh menggunakan krim pelindung matahari jika ia cukup lembap bagi kulit anda. Salah satu manfaat daripada penggunaan produk demikian adalah ia dapat berfungsi sebagai krim pelindung matahari dan pelembap.

Apa pun caranya, anda harus pastikan bahawa kulit anda sentiasa terlindung daripada pancaran matahari meskipun jika tidak memakai pelitup. Penggunaan krim pelindung matahari juga harus dijadikan sebagai langkah terakhir dalam rutin harian penjagaan kulit anda.

Selain itu, anda boleh gunakan produk jerawat seperti benzoil peroksida atau asid salisilik yang boleh dibeli daripada kedai-kedai farmasi. Namun, pastikan kandungan benzoil peroksida atau asid salisilik tidak terlalu tinggi dalam produk-produk itu kerana ia boleh menyebabkan rengsa pada kulit anda.

Cuba sapukan produk itu selepas menyapu pelembap sebelum tidur dan jika tiada kesan sampingan berlaku, anda boleh cuba sapukannya secara langsung pada kulit.

SOLEKAN

Sekitaran lembap di bawah pelitup memudahkan bakteria untuk membiak dan semakin banyak lapisan produk jagaan kulit atau solekan yang anda gunakan, lebih mudahlah untuk bakteria membiak.

Jika anda bernasib baik memiliki kulit wajah sempurna, anda tidak perlu memakai sebarang solekan sekali pun.


Namun jika anda perlu menyolek untuk mencantikkan lagi wajah, anda boleh pertimbangkan penggunaan foundation atau concealar pada bahagian wajah yang perlu.

Selain itu, anda boleh menyapu pelembap bibir berwarna dan pemerah pipi supaya kelihatan lebih menawan.

PELITUP

Setelah setahun berdepan dengan pandemik COVID-19, terdapat lebih banyak pilihan pelitup di pasaran.

Jika boleh, cuba dapatkan pelitup yang lebih berstruktur dan direka supaya ia kelihatan lebih terletak dan mempunyai sedikit jarak daripada wajah anda.


Selain itu, pastikan anda menjaga kebersihan pelitup-pelitup anda. Jika anda menggunakan pelitup pakai buang, pastikan anda mempunyai tempat simpan untuk meletak pelitup apabila perlu menanggalkan pelitup (misalnya jika anda perlu makan di luar).

Jika anda memakai pelitup diperbuat daripada kain pula, pastikan anda mencucinya selepas setiap penggunaan dengan menggunakan sabun dan air suam.

Cuci pelitup itu dengan betul bagi memastikan tiada bekas sabun tertinggal yang boleh merengsakan kulit anda.

- Agensi berita/HA/ha

Top