Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bagaimana seimbangkan masa kerja dari rumah & jaga anak-anak? Ini mungkin caranya

Hakikatnya ada sebahagian orang yang masih terkial-kial mengimbangi komitmen kerja dan tanggungjawab di rumah bersama keluarga dalam masa yang sama.

Anggaran Waktu Membaca:
Bagaimana seimbangkan masa kerja dari rumah & jaga anak-anak? Ini mungkin caranya

Gambar hiasan. (Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 07 Jan 2021 10:03PM Dikemas Kini : 07 Jan 2021 10:11PM

AMERIKA SYARIKAT: Sepanjang pandemik COVID-19, ramai yang sebelum ini sudah biasa bekerja dalam sekitaran pejabat terpaksa menyesuaikan diri bekerja dari rumah, menyediakan ruang kerja dan membiasakan diri kepada suasana yang berbeza.

Mungkin sekarang Singapura sudah masuk Fasa 3. Namun masih terdapat sebahagian pekerja yang terus perlu bekerja dari rumah. Nampaknya, ini satu norma baru yang perlu kita biasakan diri.

Hakikatnya ada sebahagian orang yang masih terkial-kial mengimbangi komitmen kerja dan tanggungjawab di rumah bersama keluarga dalam masa yang sama.

Jika anda masih ingat, dalam tahun 2017 seorang Profesor Sains Politik, Robert Kelly, pernah menjadi viral kerana dua anak kecil beliau tiba-tiba masuk ke dalam ruang pejabat di rumahnya semasa beliau sedang diwawancara secara langsung di saluran BBC.

Namun, apa yang ibu bapa boleh lakukan untuk mengelak keadaan kalut sedemikian jika ia berlaku kepada mereka?

Berikut ini beberapa panduan yang dikongsi oleh laman The Independent, untuk anda yang bekerja dari rumah supaya kekal sebegai pekerja produktif dan ibu bapa yang sabar.

WUJUDKAN RUTIN

Kanak-kanak mahupun orang dewasa menjalani hidup dengan baik apabila terdapat rutin. Maka, penting untuk menetapkan rutin setiap hari.

Seorang penulis blog keibubapaan, Sergei Urban, di laman The Dad Lab yang juga penulis buku '40 Quick, Fun and Easy Activities to do at Home' berkata rutin dan jadual harian anda tidak perlu terlalu rumit.

"Pastikan anda mempunyai masa yang cukup untuk bebas bermain dan membaca. Jika anda mempunyai taman, pastikan anda mengambil peluang untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam sehari di taman itu," kata Encik Urban, lapor The Independent.

Seorang pembaca berita, penulis buku dan vlogger keibubapaan, Louise Pentland, menambah sementara beliau dan dua anaknya gemarkan rutin, ia juga penting untuk bersikap realistik tentang berapa banyak yang boleh dilakukan dalam sehari, khususnya berkaitan pendidikan anak-anak.

"Tetapkan matlamat yang kecil dan khusus dan apa sahaja kegiatan atau tugasan tambahan yang anda kecapi adalah satu kemenangan!" kata Cik Pentland.

Seorang lagi penulis blog keibubapaan, Emma Conway yang dikenali sebagai 'Brummy Mummy' bersetuju namun menyarankan ibu bapa agar menumpukan perhatian kepada apa yang terbaik untuk keluarga mereka sendiri dan tidak melihat apa yang dilakukan oleh keluarga lain di media sosial.

KOMUNIKASI DENGAN PASANGAN

Jika anda mempunyai pasangan, penting untuk anda saling berbincang tentang tugas anda supaya anda boleh tentukan bagaimana anda boleh bekerja dari rumah di samping menjaga anak-anak.

"Stephen (suami) dan saya kedua-duanya bekerja sendiri dan kami menjangka akan bekerja sepenuh masa dari rumah dengan kedua-dua anak kami. Ini agak menggentarkan," kata Cik Conway, seperti dipetik laman The Independent.

"Setiap awal minggu kami akan tandakan waktu-waktu di mana kami perlu menggunakan komputer untuk menghadiri persidangan telefon atau mesyuarat dan menentukan siapa yang akan menjaga anak-anak. Sekalipun demikian, jika kedua-dua kami perlu bekerja pada masa yang sama saya tidak kisah meluangkan masa menonton filem sambil makan bertih jagung dan berselimut," tambah beliau.

Encik Urban juga bersetuju sambil menambah bekerja dalam syif dua jam akan membantu memberikan ibu bapa masa untuk melakukan kerja mereka sementara pasangan tidak berasa terbeban dengan tanggungjawab menjaga anak."

MANFAATKAN MASA TIDUR SIANG

Jika anak anda masih tidur siang hari, ini akan memberi anda masa satu jam - atau dua atau tiga jam - tanpa sebarang gangguan untuk menumpukan perhatian kepada kerja anda, kata Cik Pentland.

"Berikan diri anda masa kerja yang fleksibel - waktu tidur siang dan tidur malam adalah teman baik anda yang baru. Jadi cuma untuk jadualkan kerja anda pada waktu itu," tambah beliau.

Sementara itu, seorang ibu empat anak dan penulis buku 'The Gentle Parenting Book' menyarankan waktu tidur siang hari juga sebagai peluang untuk meluangkan masa untuk diri sendiri dalam masa-masa sukar.

"Jika anda bertuah kerana anak anda masih tidur siang, jangan cuba untuk melakukan semua tugasan pada waktu itu. Sebaliknya gunakan waktu itu untuk mengurangkan tekanan dan kembalikan tenaga anda sedikit," jelas beliau.

"Cuba bertafakur, gunakan aplikasi atau tonton video-video online atau luangkan beberapa minit untuk tumpukan kepada pernafasan anda. Keluar jika rumah anda ada halaman, dengar muzik."

ADAKAN RUANG KERJA KHUSUS

Sesetengah ibu bapa tiada pilihan mengasingkan ruang kerja. Namun bagi mereka yang ada ruang khas untuk bekerja, ini akan membantu produktiviti dan membolehkan anda fokus.

"Bersihkan ruang di rumah anda dan jadikannya ruang khusus untuk kerja/sekolah. Yang paling baik adalah ruang di mana anda boleh menutup pintu," kata Cik Pentland, lapor The Independant.

Beliau menambah langkah itu akan membuat peralihan daripada kerja di pejabat ke kerja dari rumah lebih mudah dan memastikan rumah anda "masih dapat dirasakan seperti rumah di mana anda boleh berehat".

Cik Conway bersetuju, beliau menambah dirinya sendiri lebih produktif apabila bekerja di ruang berasingan daripada ruang bersama keluarga.

Sekalipun demikian, ini tidak bermakna anda tidak boleh melakukan kerja anda di mana anak-anak anda ada sama.

Seperti yang di jelaskan Cik Ockwell-Smith: "Secara peribadi saya sudah bekerja dari rumah selama 18 tahun dan hanya melakukannya dari sofa. Saya dikelilingi keadaan ribut di rumah. Lakukan saja apa yang sesuai untuk diri anda!"

MANFAATKAN TEKNOLOGI UNTUK DIRI ANDA

Jika para ibu bapa masih berdepan prospek mendidik anak-anak di rumah, Cik Pentland menggesa mereka memanfaatkan teknologi.

"Terdapat banyak aplikasi dan permainan yang menghiburkan tetapi berkonsep pendidikan. Banyak juga program di televisyen dan Netflix," kata beliau.

'Influencer' keibubapaan Anna Whitehouse dan Matt Farquharson bersetuju dan menggalak ibu bapa supaya meneroka peralatan pendidikan yang begitu banyak di luar sana.

"Kami dapati TedEd sangat bagus. Ia sesi perkongsian Ted Talk untuk kanak-kanak yang mereka boleh tonton semasa anda bekerja," kata Cik Whitehouse dan Encik Farquharson, seperti yang dipetik The Independent.

"Selain itu, kami dapati rasa bosan itu sesuatu yang baik. Kanak-kanak jarang berasa bosan dan inilah masanya untuk mereka mencipta permainan mereka sendiri. Jangan berasa bersalah jika mereka lebih banyak masa depan skrin. Kita sedang mencuba yang terbaik."

Encik Urban juga menekankan manfaat mempunyai beberapa orang anak, sambil menambah terdapat pelbagai cara untuk mereka bermain bersama.

JUJUR DENGAN MAJIKAN

Dalam waktu sukar ini, penting untuk anda jujur dengan diri sendiri dan juga mereka yang bekerja dengan anda.

Sebaik sahaja anda sudah tetapkan rutin atau jadual kerja yang sesuai, jangan takut untuk membincangkannya dengan majikan dan maklumkan kepada mereka bahawa anda mahu mencari jalan supaya ia sesuai untuk anda dan majikan.

Cik Ockwell Smith menambah, beliau percaya "kebanyakan majikan memahami, lebih-lebih lagi jika mereka juga ibu bapa".

"Jika anda tahu sukar untuk anda menjawab panggilan telefon atau video maka jujurlah dan tanya sama ada anda boleh dihubungi menerusi emel kecuali jika keadaan mendesak," saran beliau.

TUMPU KEPADA YANG POSITIF

Mudah untuk kerja anda menyusup masuk ke dalam kehidupan anda di rumah, lebih-lebih lagi sekarang ini. Namun kuncinya adalah mencari keseimbangan kerja dan hidup untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat sekali gus menikmati pengalaman sebagai ibu bapa bersama anak-anak anda.

"Cari keseimbangan yang sesuai untuk anda dan anak-anak anda," kata Encik Urban.

"Jangan salahkan diri anda sendiri jika anda rasa mereka terlalu banyak menonton televisyen. Ingat bahawa sekarang ini adalah satu tempoh luar biasa dan tidak semuanya perlu sempurna dari hari pertama lagi," tambah beliau, sambil menambah, yang penting adalah kesihatan mental.

"Pada waktu siang pastikan anda mempunyai waktu bersama anak anda supaya tiada yang berasa terasing," jelas beliau lagi.

"Yang penting adalah kesihatan mental dan seisi keluarga perlu kekal positif dan jika membuatkan semua orang gembira adalah dengan menonton televisyen, lakukan saja."

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan