Images
  • 3 ent
    3 peniaga ini dibantu setelah berpindah kerjaya ke bidang perniagaan fesyen. (Gambar: BERITAmediacorp)

Bagaimana 3 peniaga ini dibantu setelah berpindah kerjaya ke bidang perniagaan fesyen

BERITAmediacorp: Ruang runcit dipanggil Design Orchard, yang menempatkan jenama Singapura di Orchard Road, akan dibuka esok.

Sebanyak 61 jenama tempatan akan meraih manfaat melalui ruang itu, termasuk para pereka jenama yang baru mahu berjinak-jinak dalam bidang perniagaan setelah membuat peralihan kerjaya.

BERITAmediacorp menemui dua pereka yang membuat peralihan sedemikian. Seorang terlatih dalam bidang jurubina dan seorang lagi dari bidang reka bentuk perusahaan. Namun kedua-dua mereka 'berpindah' kepada bidang perniagaan fesyen pula.

BINARY STYLE DITUBUHKAN HASIL MINAT PADA SKARF

Bagi pasangan adik beradik kembar, Cik Santhi dan Cik Sari Tunas, pakaian seharian mereka dianggap tidak lengkap jika tidak diserikan dengan sehelai skarf.


(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Minat terhadap penggayaan skarf inilah yang mendorong mereka menubuhkan syarikat Binary Style.

Di sebalik lembaran kain yang dihasilkan, tersisip pengaruh sekitaran seni bina dan budaya Singapura melalui coraknya.

Sebenarnya, muka-muka baru dalam bidang perniagaan fesyen itu mempunyai latar belakang dalam bidang seni bina.


Setelah bergiat dalam bidang seni bina selama 17 tahun, mereka memutuskan bertukar haluan dan kini memasuki bidang perniagaan fesyen pula.

Melalui inisiatif Design Orchard, Cik Santhi dan Cik Sari Tunas dibantu meningkatkan kemahiran dari segi pemasaran dan strategi mengembangkan perniagaan.

"Design Orchard menyediakan program pendamping dengan itu kita dapat dihubungkan dengan beberapa pengusaha mapan. Kita juga dapat memperolehi, belajar tentang cara-cara perniagaan dan juga cara-cara bagaimana menyiasat trend sektor runcit di Singapura," menurut pengasas Binary Style, Cik Sari Tunas, kepada BERITAmediacorp.

DARI SENI BUATAN ARCA BERALIH KE PENGHASILAN BARANG KEMAS

Bagi Encik Afzal Imram pula, pengasas syarikat State Property itu beralih dari seni pembuatan arca kepada menghasilkan barang kemas, khususnya untuk kaum wanita.


Meskipun baru dalam bidang niaga itu, Encik Afzal yang memegang ijazah jurusan reka bentuk perusahaan melihatnya sebagai satu wadah untuk menyuntik daya kreativiti sendiri.

"Pada saya barang kemas adalah satu produk yang saya anggap sangat peribadi dan intim. Menjadi sebahagian Design Orchard dapat membantu State Property berkembang dari segi pendedahan. Lebih ramai orang juga akan mengenali jenama saya yang menjual barangan kemas," ujar Encik Afzal, yang berusia 29 tahun.


Yang pasti, beliau mendapat manfaat daripada 'bimbingan' Design Orchard, yang akan membantu para pereka Singapura bersaing atas dasar hubungan, mutu dan jenama. Inisiatif itu juga bertujuan meletakkan Singapura sebagai sebuah hab fesyen yang inovatif.

Terletak di persimpangan Orchard Road dan Cairnhill Road, bangunan Design Orchard mempunyai ruang pameran serta ruang inkubasi di bawah satu bumbung.

Design Orchard membuka pintunya kepada orang ramai mulai esok (25 Jan), dari 10.30 pagi hingga 9.30 malam.  

- BERITAmediacorp/aq

Top