Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Awas kebisingan berterusan; pencemaran bunyi mungkin satu masalah kesihatan di S'pura

Selain menjejas deria pendengaran, bunyi memekak juga boleh timbulkan pelbagai masalah kesihatan. Para pakar kongsi jenis bahaya dan cara mengatasinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas kebisingan berterusan; pencemaran bunyi mungkin satu masalah kesihatan di S'pura

(Gambar hiasan: CNA)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 11:31PM Dikemas Kini : 08 Dec 2021 12:17AM

SINGAPURA: Selama berbulan-bulan lamanya, Wayne Chan terpaksa menahan sabar dengan bunyi bising daripada kerja-kerja ubah elok dari rumah jiran tetangganya.

Pengacara sepenuh masa itu, yang menghoskan acara secara maya di rumah semasa pandemik COVID-19, begitu geram hingga memuat naik aduan tentang bunyi bising itu menerusi satu video di Facebook.

Selain bunyi menggerudi yang kuat, beliau melaporkan bunyi tembok dipecahkan, kerja-kerja mengetuk dan barang yang diseret ke sana ke mari.

Ini sekaligus menjejas kerjanya, kerana beliau sentiasa "risau apabila saya sedang mengacara, akan ada bunyi menggerudi (mengganggu)."

Bukan Encik Chan seorang yang mengalami masalah bunyi bising yang kuat di rumah.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerima sekitar 11,400 aduan berkaitan bunyi bising antara Januari dengan September tahun lalu, peningkatan tiga kali ganda berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Namun hakikatnya bukan hanya bunyi bising dari rumah jiran yang mengganggu penduduk Singapura. Mediacorp meneroka pelbagai jenis pencemaran bunyi dan bagaimana ia menjejas kesihatan dengan cara yang mungkin tidak dijangka.

Terdapat juga cara untuk mengurangkan kesan gangguan bunyi bising itu agar anda tidak terus merana dalam diam.

GANGGUAN BUNYI PALING LAZIM

Kebanyakan aduan berkaitan bunyi bising yang diterima daripada orang ramai melibatkan perabot yang diseret di dalam unit di tingkat atas, bunyi tapak kaki berlari, main muzik atau alat muzik yang kuat dan bunyi kerja-kerja ubah elok.

Demikian menurut Lim Lan Yuan, pengantara utama di Pusat Pengantaraan Masyarakat di bawah Kementerian Undang-undang, yang bekerja dengan HDB untuk menjadi pengantara antara jiran.

Dengan ramai orang yang masih bekerja dari rumah, beliau menjangkakan jumlah kes berkaitan bunyi bising tidak akan merosot dalam masa terdekat.

Kerja-kerja ubah suai seperti menggerudi dan memecahkan tembok boleh menghasilkan bunyi bising melebihi 100 desibel pada satu-satu masa.

Gambar fail tapak binaan rumah di S'pura (Gambar: CNA)

Gambar fail tapak binaan rumah di S'pura (Gambar: CNA)

Sebagai perbandingan, had bunyi bising yang ditetapkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk kerja-kerja binaan adalah 90 desibel, diukur sebagai purata selama lima minit di bangunan kediaman kurang yang jaraknya 150 meter dari tapak binaan.

KAWASAN MANA PALING BISING?

Bunyi bising di luar juga mungkin lebih tinggi daripada had yang ditetapkan.

Kajian yang dijalankan pada 2017 oleh penyelidik Universiti Nasional Singapura (NUS) mendapati secara purata bunyi bising di luar sepanjang hari adalah 69.4 desibel, berbanding had yang disyorkan NEA iaitu purata 67 desibel selama sejam.

Sepanjang tempoh 10 minggu, pasukan itu mengambil lebih daripada 18,700 bacaan audio di merata negara, dengan bantuan 52 sukarelawan menggunakan iPhone yang disesuaikan.

Kejiranan paling bising ialah Serangoon (73.1 desibel), Orchard dan Outram (kedua-duanya 72.8 desibel) serta Bukit Timah (72.6 desibel).

Terdapat juga perbezaan antara lima kawasan besar Singapura: Secara purata, kawasan utara dan barat merekodkan paras bunyi pada siang hari yang lebih rendah berbanding dengan kawasan-kawasan lain.

TINGGAL TINGKAT TINGGI LEBIH AMAN DAN SUNYI? TIDAK SEMESTINYA, KATA PAKAR

Salah seorang penyelidik, pakar audiologi kanan Diong Huey Ting dari Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), memberitahu Mediacorp bahawa cara estet perumahan itu disusun, seperti di mana bangunan dan jambatan ditempatkan, menyumbang kepada persekitaran akustik.

Ruang tertutup boleh menjadi lebih teruk. "Apabila kita mempunyai kawasan tertutup, ia memerangkap bunyi," jelasnya.

Sama ada flat di tingkat tinggi kurang terjejas bunyi bising berbanding penduduk yang tinggal di tingkat lebih rendah, beliau berkata ini tidak semestinya.

Gambar fail kawasan perumahan HDB di Serangoon.

Gambar fail kawasan perumahan HDB di Serangoon.

Walaupun flat di tingkat tinggi mungkin lebih jauh dari lalu lintas dan kerja-kerja binaan, ia masih boleh terdedah kepada bunyi kerja-kerja ubah suai dari flat jiran.

Hadangan fizikal di tingkat tinggi juga kurang untuk menyekat bunyi.

BAGAIMANA BUNYI BISING JEJAS KEADAAN FIZIKAL

Pendedahan kepada bunyi bising dalam tempoh jangka masa panjang berupaya menyebabkan kehilangan pendengaran secara sementara atau kekal.

Kebanyakan orang tidak menyedari mereka mengalami masalah pendengaran kerana ia berlaku secara beransur-ansur tanpa sebarang kesakitan.

Bagi Encik Chan, pengacara sepenuh masa yang bekerja dari rumah, menahan bunyi keterlaluan telah menjejas dirinya dari segi fizikal.

“(Ia) membuatkan anda rasa lebih … tegang. Dan semua itu akan mengganggu waktu rehat seperti yang anda inginkan,” katanya. "Saya rasa agak terperangkap di dalam rumah saya sendiri."

Hakikatnya, bunyi bising boleh menyebabkan kesan sebenar ke atas kesihatan seseorang, menurut William Hal Martin, pengarah pengajian siswazah NUS dalam audiologi yang mengetuai penyelidikan 2017, kajian terbesar Singapura tentang bunyi sekitaran dan implikasinya ke atas kesihatan.

Profesor Martin berkata pendedahan berpanjangan kepada bunyi bandar, seperti dari kapal terbang, kerja-kerja binaan dan bas diesel, dikaitkan dengan masalah kesihatan jangka panjang seperti tekanan secara umum, insomnia dan malah penyakit kardiovaskular.

Inilah sebabnya, kata Cik Diong dari NTFGH, panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi bunyi dalam masyarakat di ruang terbuka, misalnya, dihadkan kepada purata 55 desibel bagi siang dan malam.

Dalam kertas kajian yang diterbitkan tahun ini, para penyelidik berkata kajian mereka oleh itu menunjukkan bahawa penduduk Singapura "berpotensi berisiko mengalami kesan buruk kesihatan bukan pendengaran", merujuk kepada isu-isu kesihatan yang bukan berkaitan dengan telinga.

Ini termasuk kesan metabolik, kemerosotan daya kognitif dan kesihatan mental dalam jangka panjang. Risiko darah tinggi juga mungkin meningkat.

Satu lagi jenis bunyi bising yang boleh mendatangkan bahaya ialah bunyi yang cukup kuat hingga boleh menyebabkan kerosakan fizikal pada telinga dalam, contohnya akibat muzik yang kuat di tempat seperti kelab malam atau studio tarian.

"Ia adalah gabungan berapa kuat dan berapa lama anda mendengarnya yang boleh menyebabkan kerosakan," jelas Prof Martin.

Bunyi yang kuat merosakkan sel di telinga dalam, yang tidak akan tumbuh semula, dan boleh menyebabkan kehilangan pendengaran secara kekal.

'LAWAN' BUNYI BISING DENGAN BUNYI

Terdapat tanda-tanda amaran kehilangan deria pendengaran.

"Selalunya yang mula perasan adalah rakan-rakan dan anggota keluarga, kerana anda akan kerap berkata 'Hah, apa?' dan banyak terlepas percakapan mereka," kata Prof Martin.

"Satu lagi tanda adalah apa yang kita panggil tinnitus - bunyi berdering dalam telinga."

Tinnitus selalunya menandakan kerosakan pada telinga dalam, dan ujian pendengaran digalakkan, katanya lagi.

Namun apakah cara-cara untuk menangani bunyi bising di sekitaran yang di luar kawalan kita?

(Gambar hiasan: Pexels/Cottonbro)

(Gambar hiasan: Pexels/Cottonbro)

Ketua audiologi di NTFGH, Gary Lee, berkata bunyi-bunyian boleh digunakan secara terapeutik untuk menghasilkan "rasa ketenangan", mengurangkan tekanan, malah "menggamit kenangan manis".

Caranya, saran beliau, adalah menggunakan aplikasi 'white noise' yang memainkan bunyi latar menenangkan seperti bunyi air mengalir atau alam semula jadi.

"Anda menetapkan berapa kuat untuk dengar- ia tidak perlu mengatasi bunyi bising. Namun asalkan ia memenuhi bunyi latar (sound floor), dan kemudian secara tidak sedar, ia akan menimbulkan perasaan yang menyenangkan," kata doktor itu.

Penapis udara yang mengeluarkan bunyi latar belakang neutral juga boleh membantu.

Malah terdapat bantal bunyi, iaitu bantal dengan pembesar suara kecil di dalamnya, yang boleh disambungkan kepada telefon atau pemain cakera padat.

"Terdapat banyak alat untuk membantu orang ramai memenuhi rumah mereka dengan bunyi yang menyenangkan dan menenangkan," kata Dr Lee.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan