Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Apple dijangka lancar Mac baru dengan cip lebih berkuasa

Penganalisis menjangkakan Apple Inc akan melancarkan komputer riba baru Mac dengan cip pemprosesan yang lebih berkuasa pada acara yang akan disiarkan lewat Isnin (18 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Apple dijangka lancar Mac baru dengan cip lebih berkuasa

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 18 Oct 2021 09:38PM Dikemas Kini : 18 Oct 2021 09:39PM

AMERIKA SYARIKAT: Penganalisis menjangkakan Apple Inc akan melancarkan komputer riba baru Mac dengan cip pemprosesan yang lebih berkuasa pada acara yang akan disiarkan lewat Isnin (18 Okt).

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa Apple merancang untuk mendedahkan dua model MacBook Pro baru dengan skrin berukuran 14-inci dan 16-inci. Syarikat yang berpangkalan di Cupertino, California itu telah memperkenalkan beberapa model komputer riba baru tahun lalu yang buat pertama kalinya menggunakan cip "Apple Silicon", yang dikatakan akan dimasukkan ke dalam rangkaian komputer peribadi dan komputer riba syarikat itu secara bertahap-tahap selama dua tahun.

Sebelum Isnin, komputer riba Apple yang paling pantas masih bergantung pada cip Intel Corp. Apple telah meletakkan cip M1 generasi pertama yang direka sendiri untuk beberapa MacBook serta mesin komputer peribadi Mac Mini dan iMac, namun model MacBook Pro baru yang lebih besar dijangka menampilkan cip generasi kedua yang lebih hebat oleh syarikat itu.

Cip baru itu, bersama dengan kenaikan penjualan komputer riba secara amnya ketika pekerja dan pelajar menggunakan perkakasan teknologi untuk bekerja dan belajar dari rumah, mendorong peningkatan penjualan Mac semasa pandemik COVID-19. Pendapatan meningkat 11 peratus kepada AS$28.6 bilion (S$38.6 bilion) pada tahun kewangan 2020 Apple, walaupun pendapatan iPhone merosot 3 peratus.

Pelancaran MacBook Pro yang dijangkakan itu berlaku beberapa minggu selepas Apple memperbaharui tawaran produk iPhone, Apple Watch dan iPadnya.

Beberapa penganalisis yakin bahawa Apple pada Isnin juga akan mengemas kini produk fon telinga tanpa wayar, AirPods. Bagaimanapun khabar angin tentang kemas kini itu pernah disebut-sebut menjelang beberapa acara Apple lain tahun ini namun akhirnya tidak berlaku.

Peranti sampingan seperti AirPod sememangnya laris pada musim cuti dan menjadi salah satu kategori Apple yang berkembang pesat, dengan segmen rumah dan aksesori tumbuh 25 peratus kepada AS$30.6 bilion (S$41.3 bilion) pada tahun kewangan 2020 Apple. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan