Apple dedah iPhone 11 dengan potongan harga
Apple mendedahkan model iPhone 11 pada Selasa (10 Sep) dengan potongan harga bagi model paling asas.
CUPERTINO: Apple mendedahkan model iPhone 11 pada Selasa (10 Sep) dengan potongan harga bagi model paling asas. Dalam masa sama, ia juga melakarkan pelan bagi khidmat-khidmat penstriman dan permainan sedang ia berusaha untuk merancakkan pasaran telefon bijak sejagat yang suram.
Harga menjadi pertimbangan utama dengan syarikat gergasi teknologi itu menurunkan harga permulaan iPhone 11 kepada AS$699 (S$965) dan menjual langganan khidmat permainan serta penstriman televisyen pada harga lebih rendah berbanding para pesaingnya.
Apple mendedahkan tiga versi iPhone 11 termasuk model 'Pro' dengan tiga kamera dan ciri-ciri canggih lain, bermula pada harga AS$999 (S$1,379) and AS$1,099 (S$1,517). Harga-harga itu tidak berganjak daripada harga-harga tahun lalu meskipun telefon bijak tersebut menawarkan ciri-ciri yang dinaik taraf termasuk lensa kamera sangat luas atau 'ultrawide'.
Kejutan oleh Apple adalah pengurangan pada harga permulaan iaitu AS$699, turun dari AS$749 (S$1,033) untuk iPhone XR yang dilancarkan setahun lalu sekalipun banyak peranti mudah alih premium berharga sekitar AS$ 1,000 (S$1,380).
iPhone terkini itu dipadatkan dengan keupayaan-keupayaan baru dan reka bentuk baru yang mengagumkan. Demikian kata Ketua Eksekutif Tim Cook semasa satu acara pelancaran di Cupertino, California. Syarikat tersebut merancang untuk menjual telefon bijak terbaru itu pada 20 September ini.
Para pelanggan di Singapura boleh membuat pratempahan iPhone 11 mulai Jumaat (13 Sep) sebelah malam dengan harga bermula dari S$1,149.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.