Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Apam Lambong Telur popular di Pasar Gok Kapur, Kelantan

Kuih tradisi berasal dari Thailand, Apam Lambong Telur tidak lagi asing di negara ini, terutamanya bagi penduduk di Kelantan yang dilihat semakin ramai meminati makanan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Apam Lambong Telur popular di Pasar Gok Kapur, Kelantan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Nov 2020 10:35PM Dikemas Kini : 15 Nov 2020 10:48PM

KOTA BHARU: Kuih tradisi berasal dari Thailand, Apam Lambong Telur tidak lagi asing di negara ini, terutamanya bagi penduduk di Kelantan yang dilihat semakin ramai meminati makanan itu.

Jika sebelum ini peminat Apam Lambong Telur perlu ke negara jiran itu untuk menikmatinya, namun kini, penduduk mahupun pengunjung mudah memperoleh kuih itu di sebuah gerai yang diusahakan Encik Rosnani Mat, 28, di Pasar Gok Kapur, di sini.

Walaupun berniaga secara kecil-kecilan, kuih yang dihasilkan Encik Rosnani itu dilihat mendapat sambutan orang ramai kerana beliau mengekalkan resipi asli diwarisi daripada ibunya Cik Rohana Abdullah, 63, yang berasal dari Thailand.

Malah perniagaannya semakin popular selepas video penghasilan makanan tradisi yang dimuat naik dalam Facebook The Food Ranger mendapat perhatian ramai, sehingga mencecah 33.5 juta tontonan dengan perkongsian lebih 22,000 pemilik akaun.

Signifikan dengan namanya, keunikan Apam Lambong Telur yang berasaskan tepung gandum dan telur itu ‘dilambung’ ketika proses memasak untuk mengeluarkannya daripada acuan berbentuk kuih bahulu.

“Menambahkan keenakkannya, apam itu ditaburkan kelapa muda parut yang digaul bersama sedikit garam dan gula sebelum digulung menjadi satu hidangan ringan,” kata Cik Rosnani ketika ditemui Bernama di gerainya.

Beliau berkata sambutan positif orang ramai membuatkan perniagaan keluarganya yang diusahakan sejak 30 tahun lepas itu terus bertahan sehingga kini, dan hasil jualannya mampu mencecah lebih 200 biji sehari, yang dijual pada harga RM2 (S$0.65) bagi segulung apam.

“Setiap hari saya memerlukan lebih 200 biji telur ayam, memandangkan setiap biji apam yang dihasilkan akan menggunakan sebiji telur, selain hampir tiga kilogram (kg) kelapa parut muda diperlukan untuk ditabur atas apam yang telah dimasak.

“Kuih ini bukan sahaja ‘melekat’ di hati pelanggan daripada masyarakat setempat tetapi ia juga menjadi pilihan pelanggan dari negeri lain seperti Kuala Lumpur, Perak dan sebagainya, memandangkan kuih ini mampu bertahan sehingga dua hari jika disimpan di dalam peti sejuk,” tambahnya.

Bercerita lanjut, Cik Rosnani berkata sungguhpun kuih itu semakin menjadi pilihan dalam kalangan masyarakat, namun hidangan ini hanya boleh dihasilkan oleh mereka yang benar-benar mahir membuatnya.

“Selain resipi yang tepat, keenakkan kuih ini juga terletak pada suhu dan jangka waktu memasak yang tepat iaitu sekitar lima minit untuk memudahkannya ‘meloncat’ keluar daripada acuan,” katanya yang telah mempelajari ‘selok-belok’ pembuatan kuih itu sejak dari kecil lagi.

Seorang pelanggan, Encik Samsuddin Yasin, 65, ketika ditemui Bernama berkata, hampir dua kali seminggu dia akan berkunjung ke gerai milik Rosnani untuk membeli Apam Lambong Telur.

“Hampir 10 tahun saya sudah berulang-alik untuk membeli kuih ini di sini jika tiap kali teringin hendak menikmatinya. Setakat ini, saya tidak pernah menjumpai kuih ini di tempat lain dan bagi saya rasanya sangat sedap dan berlemak dengan teksturnya yang lembut,” katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan