Images
  • exercise jog
    (Gambar: Unsplash)

Apakah jenis senaman terbaik untuk anda? Ujian darah mungkin dapat beri petunjuk

BOSTON: Sekiranya kita semua memulakan rutin senaman yang sama esok, ada di antara kita yang akan menjadi lebih bertenaga, ada yang akan menjadi lebih sihat dan sebilangan dari kita mungkin kehilangan bentuk fizikal kita. Tindak balas individu terhadap senaman boleh berbeza-beza dan, sejauh ini, tidak dapat diramalkan, menurut laporan The New York Times.

Para penyelidik di Amerika Syarikat mengkaji protein dalam darah untuk memahami mengapa sebilangan daripada kita bertindak balas lebih baik daripada yang lain terhadap bentuk senaman tertentu.

Satu kajian baru yang menarik, melibatkan lebih 650 lelaki dan wanita yang menunjukkan bahawa tahap protein tertentu dalam aliran darah kita dapat meramalkan sama ada dan bagaimana kita akan bertindak balas terhadap pelbagai rejim senaman.

Kajian itu perlu dilakukan berulang kali dan secara lebih meluas, namun ia merupakan permulaan yang bermakna ke arah menggunakan ujian darah bagi menunjukkan jenis senaman terbaik untuk setiap daripada kita, dan sama ada kita boleh menikmati manfaat yang sama daripada senaman itu berbanding pasangan, anak, atau rakan latihan atau pesaing kita yang lain.

Kesan tindak balas bersenam adalah tajuk yang mungkin harus dibincangkan lebih kerap dan terbuka daripada yang ada sekarang. Kita tahu bahawa senaman sangat baik untuk kesihatan kita. Banyak kajian menunjukkan bahawa mereka yang bersenam hidup lebih lama, lebih bahagia, dan mempunyai risiko lebih rendah dijangkiti banyak penyakit berbanding orang yang tidak aktif.

Bagaimanapun, hasil kajian itu merujuk kepada purata yang besar dan meluas. Jika data dari kajian itu diteliti lebih mendalam, anda mungkin mendapat pelbagai reaksi - dari segi tahap kesihatan dan kecergasan luar biasa yang dinikmati beberapa orang hingga kepada mereka yang langsung tidak meraih sebarang faedah. (Hal yang sama berlaku bagi respons terhadap program mengurangkan berat badan.)

Tidak banyak diketahui setakat ini bagaimana tubuh dan kehidupan kita, termasuk baka dapat meramalkan bagaimana kita akan bertindak balas terhadap senaman.

Bahkan, kajian menunjukkan bahawa pasangan kembar dengan DNA yang sama juga boleh memberi tindak balas yang sangat berbeza terhadap senaman, begitu juga dengan orang yang sama kurus, gemuk, atau sihat semasa memulakan program senaman baru.

Enigma ini telah menarik minat para penyelidik di Universiti Harvard, Pusat Perubatan Deaconess Beth Israel di Boston, dan institusi lain. Para saintis telah lama tertarik tentang bagaimana senaman mengubah persekitaran molekul di dalam tubuh, dan juga bagaimana perubahan ini mempengaruhi kesihatan dan seberapa besar perubahan itu.

Bagi kajian baru, yang diterbitkan pada bulan Mei dalam jurnal Nature Metabolism, mereka memutuskan untuk melihat jika molekul tertentu dalam darah seseorang mungkin ada kaitan dengan bagaimana molekul fisiologi bertindak balas terhadap senaman. Untuk mengetahuinya, mereka menggunakan data dalam kajian Heritage berskala besar, yang meneliti senaman dan kesihatan ibu bapa serta anak dewasa mereka. Kajian itu merangkumi ujian makmal yang tepat mengenai tahap kecergasan seseorang, serta ujian darah, diikuti dengan senaman aerobik sederhana selama 20 minggu dan lebih banyak ujian lain.

Para penyelidik menggunakan rekod 654 lelaki dan wanita yang mengambil bahagian dalam kajian Heritage itu, merangkumi pelbagai peringkat umur dan etnik, dan mula meneliti jenis darah mereka dengan mendalam. Mereka memberi tumpuan pada jenis molekul protein besar dan kompleks yang dihasilkan dalam tisu di seluruh badan yang, apabila dilepaskan ke aliran darah, mengalir ke dan memulakan proses biologi di bahagian lain tubuh yang mempengaruhi fungsi tubuh kita.

Menggunakan alat kajian molekul yang canggih, para saintis telah mula menyenaraikan jumlah dan jenis ribuan protein dalam aliran darah setiap 654 peserta kajian itu. Mereka kemudian mengumpulkan perangkaan tersebut dengan data mengenai kecergasan daripada melakukan senaman aerobik setiap orang, sebelum dan sesudah lima bulan melakukan latihan tersebut.

Para penyelidik mendapati corak yang jelas muncul. Tahap 147 protein didapati sangat dikaitkan dengan kecergasan asas seseorang. Jika sebahagian protein itu tinggi nilainya dan yang lain rendah, profil molekul yang dihasilkan menunjukkan tahap kecergasan seseorang.

Lebih menarik lagi, 102 protein berasingan didapati dapat meramalkan reaksi seseorang kepada senaman. Tahap molekul ini yang lebih tinggi dan rendah dapat meramalkan sejauh mana kecergasan seseorang itu meningkat dengan melakukan senaman.

Akhir sekali, memandangkan kecergasan aerobik sangat dikaitkan dengan umur panjang, para saintis memeriksa tahap pelbagai protein yang berkaitan dengan kecergasan dengan darah dari orang yang mendaftar dalam kajian kesihatan yang berasingan termasuk rekod kematian. Mereka mendapati protein yang menunjukkan tindak balas kecergasan yang lebih rendah atau lebih tinggi juga bermaksud jangka hayat yang lebih pendek atau lebih lama.

Diambil secara bersama, penemuan kajian baru itu menunjukkan bahawa "alat profil molekul dapat membantu menyesuaikan" program senaman, kata Dr Robert Gerszten, profesor perubatan di Sekolah Perubatan Harvard dan ketua perubatan kardiovaskular di Beth Israel Deaconess Medical Center, yang menjalankan kajian baru itu dengan pengarang utamanya, Dr. Jeremy Robbins, et al.

Seseorang yang protein dalam darahnya menunjukkan bahawa beliau mungkin mendapat sedikit sahaja manfaat melalui rutin senaman sederhana seperti berjalan kaki, berbasikal atau berenang misalnya, mungkin didorong untuk mengikuti program senaman lebih intensif, kata Dr Gerszten. 

- Agensi berita/SU/ha

Top