Images
  • bags
    Gambar hiasan. (Gambar-gambar: Canva)

Apa fungsi beg anda atau yang ingin dibeli? Ini jawapannya...

BERITAmediacorp: Bagi sebahagian besar orang, tidak sah kalau cuma memiliki satu beg. Sekurang-kurangnya mesti ada dua atau tiga beg berbeza.

Maka tidak hairanlah jika ada orang yang menyimpan satu almari penuh koleksi beg!

Anda pula, agak-agak sudah ada berapa banyak koleksi beg tangan di rumah? Ada ura-ura hendak ditambah lagikah?

Beg bukan setakat dibeli kerana jenama, warna dan corak cantik sahaja. Pembeli juga harus tahu sama ada ia sesuai dan praktikal untuk gaya anda!

Beg tangan dapat membuatkan gaya penampilan anda lebih menarik. Di pasaran pula terdapat pelbagai jenama beg bermacam harga dan jenis dengan rekaan yang cantik – kecil, besar, pendek, bulat atau petak pilih sahaja mengikut citarasa masing-masing.

Ada kalanya dari beg tangan, orang lain sudah boleh teka atau ‘baca’ siapa diri anda yang sebenar. Dalam erti kata lain, beg tangan ini ternyata merupakan pelengkap gaya si pemakai.

Jadi apakah tip untuk bergaya atau mencari beg yang sesuai? Berikut kami kongsi fungsi beg dan buatlah pilihan yang tepat kerana ia dapat menyerlahkan gaya walaupun anda hanya tampil ringkas!

BEG SANDANG

Direka dengan ukuran bervariasi, beg ini menepati namanya kerana ia dipakai secara ‘disangkut’ pada bahagian bahu. Apa yang menarik, beg ini mempunyai ruang yang luas dan boleh muat semua keperluan dan barang-barang lain. Tidak hairanlah jika beg ini merupakan antara yang popular dan berfungsi.


Boleh digayakan santai atau untuk ke pejabat. Jika ingin beli beg ini pilihlah warna neutral kerana ia mudah dipadankan dengan semua jenis pakaian berwarna.

BEG SILANG

Beg silang atau 'crossbody' tampil dalam saiz kecil dan besar. Apabila bergaya dengan beg jenis ini, ia membolehkan tangan anda bebas.


Oleh kerana ia serba guna, beg ini sesuai untuk acara sosial dan untuk ke mana sahaja. Lazimnya, golongan muda gemar bergaya dengan beg seperti ini. Jadi, kalau ingin kelihatan muda sentiasa, pakailah beg 'crossbody'!

'CROSSBODY' TALI TUNGGAL

Beg tangan bersaiz sederhana ini, yang biasanya dipanggil 'satchel' biasanya mempunyai tali bahu yang panjang.


Ia menyediakan ruang yang luas untuk menyimpan pelbagai barang. Boleh digayakan untuk ke pejabat atau ke kampus. Mengekalkan gaya kasual dan korporat, inilah antara beg yang praktikal.

BEG TOTE

Beg ini sangat popular. Potongan saiznya yang luas dan ada kalanya tidak mempunyai penutup, memudahkan untuk anda ‘campak’ barang ke dalam atau mengambilnya sambil berjalan. Beg tote diperbuat dari bahan lasak seperti kanvas, nilon dan kulit yang bermutu.


BEG KEPIT

Digelar 'clutch bag' dalam bahasa Inggeris, beg glamor ini biasanya merupakan aksesori yang tepat digayakan pada sebelah malam. Ia boleh membuat si pemakai tampil sederhana atau ‘atas’. Beg kepit bertatahkan manik-manik layak untuk acara gah atau mewah seperti majlis perkahwinan.


Sementara reka bentuk sederhana sesuai untuk ke majlis santai atau makan malam. Beg kecil ini sangat fleksibiliti. Ada yang direka dengan tali bahu yang boleh ditanggalkan bahkan dijadikan sebagai dompet.

BEG GALAS

Juga digelar backpack, beg galas bukan hanya boleh diagayakan untuk pelajar saja.

Versatil dan lasak, beg ini boleh dibawa ke mana saja. Ke pejabat, santai, sekolah dan lain-lain.


Dijual dalam saiz kecil, sederhana dan besar, ia mempunyai ruang yang luas untuk memuatkan tablet dan komputer riba. Tidak kiralah hendak bergaya formal atau santai, yang jelas beg galas sesuai untuk semua!

BEG PERGELANG TANGAN

Dikenali sebagai 'wristlet', saiznya selalunya lebih kecil daripada beg-beg yang lain.

Selalunya si pemakai akan meletakkan benda asas seperti telefon bimbit, kad ATM, kad debit/kredit, kad pengenalan, lipstik, kunci dan sejumlah wang nota. Ringkas dan mudah dibawa ke mana sahaja.


BEG HOBO

Diibaratkan seperti kembar beg tote, beg hobo bertali pendek dan hanya mempunyai satu zip. Saiznya agak sama seperti beg tote cuma ia bertali lebih pendek.


Sesuai untuk gaya seharian ke pejabat, majlis kasual dan ke pasar serbanika. Rekaan beg Hobo lebih eksklusif dan banyak barang boleh disumbat di dalamnya. Tampak bergaya tetapi tidak berlebihan dan itulah keindahan beg tangan ini.

BEG 'BUCKET'

Diilhamkan daripada bentuk uncang, beg jenis ini direka dengan satu tali panjang untuk digalas pada bahu. Sering kali ia tidak mempunyai zip. Sebaliknya ia akan direka dengan tali pengikat.


Selalunya beg jenis ini mempunyai potongan yang lebih panjang jika dibandingkan dengan beg-beg lain. Sesuai dan sering kali digayakan oleh golongan lebih muda untuk dibawa ke mana saja.

Itulah serba sedikit tentang jenis-jenis bag, potongan dan kegunaannya.

Apa pun, sebelum atau semasa anda membeli beg pastikan untuk utamakan fungsinya terlebih dahulu. Jangan tersalah beli nanti beg akan terperuk saja dalam almari. Tapi, kalau sudah suka dan jika harga menepati bajet...beli sajalah!  

- BERITAmediacorp/nk

Top