Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anda sering digigit nyamuk? Kajian menunjukkan anda boleh elak dengan cara ini

Para pengkaji menemui huraian bagi mereka yang sering diganggu dan digigit nyamuk. Tepis, tepis dan tepis dan nyamuk tidak akan ‘mengganggu’.

Anggaran Waktu Membaca:
Anda sering digigit nyamuk? Kajian menunjukkan anda boleh elak dengan cara ini

(Gambar: AFP/Marvin Recinos)

Diterbitkan : 26 Jan 2018 10:00PM Dikemas Kini : 02 Feb 2018 12:42AM

AMERIKA SYARIKAT: Para pengkaji menemui huraian bagi mereka yang sering diganggu dan digigit nyamuk. Tepis, tepis dan tepis dan nyamuk tidak akan ‘mengganggu’.

Meskipun umum mengetahui nyamuk gemar hinggap pada individu tertentu berbanding individu lain – dan nyamuk boleh bertukar selera apabila kurang pilihan – masih kurang jelas apakah sebabnya di sebalik pertukaran tersebut, menurut laman The Guardian.

Hari ini para pengkaji berkata mereka bukan sahaja mengetahui mengapa nyamuk menganggap individu tertentu sebagai lebih ‘enak’, malah sistem bau manusia itu bermakna nyamuk boleh belajar mengelak individu jika ia ditepis.

“Jika anda berada di pesta atau barbeku dan anda menepis nyamuk, pastikan rakan di sebelah anda aktif bercakap dan nyamuk mungkin mengelak daripada anda dan sebaliknya hinggap pada rakan anda,” kata Dr Jeffrey Riffell, penulis bersama kajian tersebut, dari Universiti Washington.

Menulis dalam jurnal Current Biology, Dr Riffell dan rakan-rakannya menyatakan apabila mereka mendedahkan nyamuk kepada pilihan antara lengan baju yang terdapat bau manusia dengan yang tiada bau, nyamuk memilih lengan baju yang ada bau manusia.

Namun apabila ujian itu dijalankan sekali lagi, kali ini menggunakan nyamuk yang sudah didedahkan kepada bau manusia disertakan dengan gegaran mekanikal (mesin yang meniru pergerakan tangan manusia ketika menepis), nyamuk tidak menunjukkan sebarang kecenderungan untuk memilih lengan baju yang terdapat bau manusia.

“Sebaik sahaja nyamuk dapat mengaitkan bau manusia itu dengan tepisan, nyamuk menjauhi daripada menghinggap pada manusia berkenaan,” kata Dr Riffell seperti yang dipetik The Guardian.

Pasukan pengkaji itu mendapati bau tertentu daripada manusia lebih menarik bagi nyamuk berbanding bau-bauan lain, mungkin disebabkan komposisi bau tersebut. Maka, nyamuk belajar mengelak bau-bauan tersebut dengan lebih mudah.

Ternyata, apabila pasukan pengkaji mendedahkan nyamuk kepada gegaran mekanikal yang dilekatkan bau manusia yang dipanggil oktenol, bau itu bertindak sebagai pencegah sekuat 40 peratus racun serangga yang disemburkan ke atas nyamuk “tidak terlatih”.

Kajian yang lebih terperinci mendedahkan, keupayaan nyamuk untuk mengaitkan bau-bauan dengan kemungkinan ia dipukul adalah dari bahan kimia yang dipanggil dopamin pada bahagian otaknya.

Nyamuk yang sistem dopaminnya dirosakkan oleh para pengkaji kurang tertarik kepada bau-bauan dan tidak tahu belajar mengelak daripadanya.

Para penulis menyatakan pendedahan itu penting dari sudut kesihatan awam. Contohnya, dengan menghasilkan nyamuk yang gennya diubah suai dan kurang upaya mengesan paras dopamin, lapor laman The Guardian.

Teknologi-teknologi seperti pemacu gen boleh digunakan untuk mempercepatkan penyebarannya kepada nyamuk-nyamuk lain.

Sumber : Agensi berita/NK/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan