Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anda pasti wang kertas anda bersih? Jumlah bakterianya mungkin sama seperti pada mangkuk tandas

Wang kertas dari gerai-gerai yang menjual daging dan ikan mentah mengandungi paling banyak bakteria disebabkan berlakunya silang pencemaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Anda pasti wang kertas anda bersih? Jumlah bakterianya mungkin sama seperti pada mangkuk tandas
Diterbitkan : 19 Dec 2017 07:45PM Dikemas Kini : 21 Dec 2017 12:24AM

SINGAPURA: Lazimnya bila menerima wang – baik yang kertas mahupun duit syiling – kita pasti tersenyum. Siapa yang tidak gembira mendapat duit bukan? Namun, pernahkah anda terfikir dari mana dan sudah ke manakah duit itu sebelum ia jatuh ke tangan anda?

Dalam tempoh dua tahun lalu, Dr Niranjan Nagarajan, menjalankan ujian ‘swab’ di ruang-ruang awam, dari bangku-bangku di taman sehinggalah ke tempat pemegang tangan di stesen-stesen MRT.

Semua ini untuk mengkaji mikrob yang wujud di kawasan-kawasan bandar yang mungkin menyebabkan seseorang jatuh sakit.

Dalam banyak-banyak kajian yang dijalankan, terdapat satu yang pengarah bersekutu di Institut Genome Singapura itu menganggap “menarik dari segi saintifik jika diteliti” dan yang menurut beliau, belum pernah dilakukan di negara ini.

Dr Nagarajan, mengkaji sejauh mana kotornya wang kertas Singapura. Seperti yang dipetik daripada rakan sekerjanya, Swaine Chen, duit perlu dilihat sama “seperti permukaan-permukaan lain di tempat awam”.

Satu kajian seumpama itu yang dijalankan di Bandar New York, yang diterbitkan awal tahun ini, mendapati lebih 3,000 jenis bakteria menempel pada wang kertas AS$1! Ini termasuk bakteria yang diketahui menyebabkan jangkitan kulit, ulser gastrik dan keracunan makanan.

Wang kertas Amerika diperbuat daripada kapas dan linen, kedua-dua bahan yang mendorong pembiakan bakteria, sementara wang kertas Singapura diperbuat daripada polimer. Polimer kurang menyerap selain boleh diterapkan ciri-ciri keselamatan yang tidak boleh diletakkan pada wang kertas atau kain.

Wang kertas polimer juga boleh bertahan antara tiga dengan empat kali lebih lama berbanding wang kertas, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Sekalipun begitu, adakah wang kertas Singapura bersih?

Teori itu diuji dalam rancangan Why It Matters di saluran Channel News Asia. Para penerbitnya menghantar 300 sampel wang kertas ke makmal untuk mengetahui sejauh mana bersihnya wang tersebut. Dapatannya agak mengejutkan.

SEPERTI TAPAK KASUT, MANGKUK TANDAS

Sebahagian wang kertas tersebut mengandungi bakteria sama banyak dengan tapak kasut dan tempat duduk mangkuk tandas. Malah, lebih banyak bakteria berbanding yang terdapat pada telefon bimbit dan span cuci pinggan mangkuk.

Itulah dapatan seorang pensyarah kanan dan pengkaji, Simon Tan, dari Sekolah Kimia dan Sains Hayat di Politeknik Singapura.

Jumlah bakteria yang banyak itu disebabkan dari mana wang itu diperolehi: Pusat penjaja, hospital, pasar raya dan pasar basah di merata negara.

Ahli mikrobiologi dari penyedia khidmat ujian ALS Singapore memproses bakteria yang terdapat pada wang kertas yang dikumpulkan dari lebih 100 lokasi, dengan wang yang diambil dari ATM dijadikan perbandingan. Wang kertas yang digunakan adalah antara $2 dengan $50.

Daripada semua sampel itu, wang yang diperolehi dari pasar basah mengandungi jumlah bakteria paling banyak: Purata 48,000 pada setiap keeping. Ini 1,000 kali lebih banyak bakteria berbanding wang kertas $50 dan $10 yang diambil langsung dari ATM.

Wang kertas dari pusat-pusat penjaja pula mengandungi 3,500 bakteria, manakala yang dari hospital mengandungi 1,000 bakteria. Wang dari pasar raya mengandungi purata 120 bakteria.

Secara berasingan, satu analisis dijalankan ke atas sekeping wang $10 untuk mengetahui apakah DNA yang ada padanya. Ujian itu mendedahkan DNA haiwan seperti lembu, anjing, babi dan kambing, selain manusia dan banyak bakteria.

WANG KERTAS BASAH TARIK BAKTERIA

Dr Chen, seorang ahli sains kajian kanan, berkata wang kertas dari gerai-gerai yang menjual daging dan ikan mentah mengandungi paling banyak bakteria disebabkan berlakunya silang pencemaran.

Beliau membuat perbandingan dengan tempat-tempat yang “tidak mengendalikan makanan, yang hanya menyimpan wang”, seperti ATM dan mesin wang di pasar raya.

Semua bakteria memerlukan air untuk membiak, katanya, maka “sekitaran di mana bakteria cenderung membiak adalah yang lembap, basah dan kadangkala gelap”.

Beliau menambah: “Jika anda memperoleh wang kertas yang basah dan ia disimpan dalam dompet, ditambah pula dengan suhu tubuh anda yang hangat. Ini mewujudkan sekitaran yang terbaik untuk bakteria membiak, berbanding wang kertas yang kering.”

Persoalannya adalah sejauh mana bahayanya bakteria-bakteria itu?

Menurut Dr Chen, manusia dan bakteria tidak dapat dipisahkan. “Produk seperti tairu dan keju juga mengandungi banyak bakteria,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, bukan setakat melihat pada jumlah bakteria tetapi kita juga perlu melihat pada jenisnya.

BERGANTUNG KEPADA SISTEM IMUN

Dalam kes ini, salah satu bakteria yang dikesan adalah E.Coli dan ia boleh dijumpai dalam tubuh – lazimnya di bahagian perut – dan kadangkala ia menybabkan cirit-birit.

Bakteria jenis staphylococcus, bagaimanapun, boleh menyebabkan penyakit lebih serius. Ia dikatakan boleh menjadi punca meningitis atau radang pada membran otak. “Sesetengah tekanan patogen boleh menyebabkan pesakit meninggal dunia di hospital,” tambah Dr Tan.

“Namun jika anda dijangkiti sedikit bakteria itu dan sistem imun dan pencernaan anda baik, anda akan okay.”

Bakteria itu boleh menyusup masuk ke dalam tubuh melalui luka atau jika seseorang menggosok matanya atau makan menggunakan tangan yang sama beliau memegang wang kertas yang berbakteria. Maka, mencuci tangan selepas memegang duit amat digalakkan. 

Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan