Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anda kerap letak pelitup di lengan atau bawah dagu seperti ini? Anda mungkin sebar kuman

Apabila menyentuh tentang tabiat buruk, pasti kita bersetuju bahawa sesetengah tabiat akan memualkan kita seperti perbuatan mengorek hidung dan kemudian menjentik tahi hidung itu secara terang-terangan di tempat awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Anda kerap letak pelitup di lengan atau bawah dagu seperti ini? Anda mungkin sebar kuman

Hasil lukisan Jasper Loh.

Diterbitkan : 06 Apr 2021 10:12PM Dikemas Kini : 06 Apr 2021 10:18PM

SINGAPURA: Apabila menyentuh tentang tabiat buruk, pasti kita bersetuju bahawa sesetengah tabiat akan memualkan kita seperti perbuatan mengorek hidung dan kemudian menjentik tahi hidung itu secara terang-terangan di tempat awam.

Namun, bukan tabiat yang kelihatan 'menjijikkan' itu sahaja yang dianggap buruk. Bahkan, ada juga sesetengah tabiat yang boleh menimbulkan isu kesihatan. Mediacorp mendapatkan pandangan para pakar untuk menjelaskan mengapa kita harus berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu perbuatan.

Misalnya pemakaian pelitup, iaitu sesuatu yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan harian kita. Namun, ada dalam kalangan kita yang akan menurunkan pelitup sehingga ke bawah dagu ketika makan atau minum, atau menggantung pelitup pada bahagian lengan semasa berlari atau berjalan pantas.

(Gambar: Unsplash/Kobby Mendez)

"Meletakkan pelitup anda di siku atau dagu adalah tabiat memakai pelitup yang tidak baik dan sia-sia sahaja kita memakai pelitup untuk melindungi diri kita atau mengurangkan risiko jangkitan jika kita berbuat demikian," kata Dr Grace Huang, seorang doktor biasa di DTAP Clinic.

TURUNKAN PELITUP KE BAHAGIAN BAWAH DAGU

Permukaan pelitup anda mengandungi mikrob, kata Dr Catherine Ong, seorang konsultan dari divisyen penyakit berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH). "Bagi seseorang yang terjangkit, zarah virus akan berkumpul pada permukaan yang bersentuhan dengan muka kita," kata beliau.

Selain itu, pelitup terpakai biasanya sering dibasahi dengan titisan pernafasan dan air liur, yang menjadikan permukaan dalamannya lebih kondusif untuk virus bertahan berbanding permukaan yang kering, kata beliau.

(Gambar: Freepik)

Permukaan luar pelitup juga tidak semestinya lebih bersih kerana diliputi bakteria, virus dan kotoran dari persekitaran luaran, kata Dr Huang. "Menurunkan pelitup anda sehingga ke bahagian dagu bermakna pelitup anda mungkin bersentuhan dengan muka anda dan mungkin juga bahagian bawah bibir, sekali gus menyebabkan patogen merebak secara langsung ke mulut dan muka."

GANTUNG PELITUP PADA LENGAN

Mungkin senang tetapi ia bukan idea yang baik untuk menggantung pelitup anda di lengan atau siku semasa bersenam, kata Dr Huang. Walaupun peluh tidak diketahui boleh merebakkan penularan COVID-19, tetapi apabila anda berpeluh, anda mungkin secara tidak sengaja akan menyentuh muka anda, sekali gus meningkatkan risiko menyebarkan patogen dari tangan atau lengan ke mata, hidung dan mulut.

Anda juga mungkin akan menyebarkan lebih banyak patogen ke mulut anda apabila anda memakai semula pelitup. "Secara tidak sengaja, anda menyebarkan patogen dari lengan, yang mungkin sudah menyentuh banyak permukaan, ke bahagian hidung dan mulut anda," kata Dr Huang.

(Gambar: Freepik)

Jadi, apakah cara terbaik untuk menyimpan pelitup anda semasa berjoging? "Pilihan terbaik ialah memiliki beg bersih untuk melindungi anda dari persekitaran luar," kata beliau. "Jika kita boleh membawa telefon dan kad bank bersama kita, maka tabiat membawa beg Ziploc yang kecil hanyalah setakat soal membiasakan diri."

BAGAIMANA PULA DENGAN MELIPAT PELITUP DAN MENYIMPANNYA DALAM SAKU?

Anda mungkin bertanggapan bahawa menyimpan pelitup anda dalam dompet atau telefon bimbit dan bukan meletakkannya di atas meja adalah satu langkah yang lebih bersih. "Dompet dan telefon mungkin merupakan objek paling kotor yang kita miliki," kata Dr Huang. "Kita sentuh permukaan luar dan kemudian menyentuh telefon dan dompet. Perbuatan ini sekali gus menjadikan barangan kita sebagai pembawa jangkitan. Pilihan paling selamat adalah untuk membawa beg kecil yang bersih atau tempat menyimpan pelitup yang tidak terdedah kepada kotoran luaran dan patogen.

Lupakan sahaja perbuatan melipat pelitup (sekalipun berhati-hati) sebelum menyimpannya di dalam saku anda. "Ini juga tidak ideal kerana pelitup boleh menjadi ronyok atau lusuh," kata Dr Huang.

PENTINGKAH BAHAN PELITUP?

Pelitup fabrik guna semula juga tidak tahan cecair dan mudah menyerap peluh atau cecair, kata Dr Huang. Maka itu, pelitup seumpama itu ibarat span, menyerap cecair pada lengan dan dagu anda, kemudian memindahkannya ke mulut dan hidung anda apabila anda memakai semula pelitup.

"Pelitup pembedahan pakai buang tahan cecair dan penapisannya lebih baik berbanding pelitup kapas guna semula," kata Dr Huang. "Bagaimanapun, pelitup kertas pakai buang tidak akan mempunyai tahap keberkesanan yang sama."

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan