Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anda dambakan kenaikan gaji? Lakukan langkah-langkah ini terlebih dahulu

Ramai yang berfikir bahawa gaji mereka terlalu rendah dan berasa terkilan apabila menerima khabar tentang orang lain yang mendapat gaji lebih tinggi. 

Anggaran Waktu Membaca:
Anda dambakan kenaikan gaji? Lakukan langkah-langkah ini terlebih dahulu

(Gambar: Anam Musta’ein/TODAY)

Diterbitkan : 20 Jan 2020 10:18AM Dikemas Kini : 20 Jan 2020 10:25AM

SINGAPURA: Ramai yang berfikir bahawa gaji mereka terlalu rendah dan berasa terkilan apabila menerima khabar tentang orang lain yang mendapat gaji lebih tinggi.

Meskipun berunding untuk mendapatkan kenaikan gaji atau menukar pekerjaan merupakan kaedah yang boleh membantu anda, adalah penting untuk menentukan kedudukan anda dan membuat persiapan dengan sebaik mungkin jika anda benar-benar mengharapkan kenaikan gaji.

MEMBANDINGKAN GAJI

Untuk memeriksa sama ada gaji anda terlalu rendah, anda boleh melakukan penyelidikan.

Data asas agak mudah untuk diperolehi, dengan menggunakan panduan-panduan gaji yang lazim dihasilkan firma-firma pengambilan pekerja setiap tahun.

Misalnya firma pengambilan pekerja Kelly Services menerbitkan Panduan Gaji Singapura yang menyediakan maklumat tentang trend-trend gaji bagi pelbagai industri di Singapura.

Misalnya, gaji ketua jurutera reka bentuk yang berpengalaman selama tiga hingga lima tahun adalah antara S$4,000 hingga S$6,300 sementara pekerja runcit yang mempunyai pengalaman satu hingga tujuh tahun membawa pulang S$1,400 hingga S$1,650.

Meskipun maklumat sedemikian boleh membantu, ia juga penting untuk memahami kekurangan pada maklumat yang dinyatakan.

Panduan-panduan sedemikian lazimnya dihasilkan berdasarkan faktor-faktor mudah seperti nama jawatan dan pengalaman yang ditimba. Lantaran itu panduan yang diberikan mungkin tidak mengambil kira faktor-faktor seperti kemahiran dan pengalaman khusus bagi pekerjaan-pekerjaan tertentu.

Peranan seorang pengurus khidmat pelanggan atau pengarah kewangan amat bergantung kepada faktor-faktor seperti sama ada para majikan adalah sebuah syarikat kecil atau berbilang negara, jenis industri dan bilangan pekerja di bawah penyeliaan mereka.

Bagi mendapatkan anggaran yang lebih tepat, anda boleh bercakap dengan para karyawan di acara-acara industri atau persatuan.

Meskipun rakan-rakan kerja anda dalam syarikat yang sama mungkin keberatan untuk mendedahkan gaji mereka, rakan-rakan sejawatan di syarikat-syarikat lain mungkin bersikap lebih terbuka mengenai pendapatan mereka dalam industri yang sama.

Anda juga boleh menyemak senarai pekerjaan di syarikat anda atau syarikat-syarikat pesaing menerusi lelaman web mereka atau platform pekerjaan seperti JobsCentral dan LinkedIn.

Anda boleh meneliti pekerjaan-pekerjaan serta gaji yang ditawarkan oleh syarikat lain untuk menilai sama ada gaji anda ditawarkan pada paras yang tepat.

Lelaman maklum balas berhubung gaji dan pekerjaan seperti Salary.sg dan Glassdoor membolehkan anda untuk memasukkan lebih banyak maklumat untuk mendapatkan penilaian yang lebih tepat mengenai kedudukan gaji anda.

BAGAIMANA UNTUK BERUNDING

Kajian yang anda lakukan boleh menunjukkan sama ada gaji anda berada pada paras yang memuaskan. Namun, dalam banyak kes, gaji yang diterima adalah terlalu rendah.

Meskipun data di negara ini adalah terhad, kajian di Amerika Syarikat oleh Glassdoor mendapati kebanyakan rakyat Amerika, secara purata, menerima gaji AS$5,000 (S$6,730) lebih rendah berbanding jumlah yang sepatutnya diterima dalam setahun.

Di Singapura, Tinjauan Bakat Asia yang dijalankan oleh firma pengambilan pekerja RGF mendapati 83 peratus rakyat Singapura menjangkakan kenaikan gaji sekitar 17 peratus jika mereka menukar kerja.

Jika anda percaya bahawa gaji anda terlalu rendah dan anda mahu terus bekerja di syarikat anda, anda boleh meminta kenaikan gaji.

Sebagai permulaan, gunakan hasil kajian anda untuk menentukan gaji yang wajar diberikan kepada anda. Kemudian gabungkan maklumat mengenai penambahan nilai dan hasil pendapatan yang anda sumbangkan kepada syarikat anda, jumlah penjimatan kepada syarikat anda dan faktor-faktor lain yang menyokong permintaan anda.

Hasil kajian yang diterajui profesor-profesor Malia Mason dan Daniel Ames dari Sekolah Perniagaan Universiti Columbia mendapati bahawa permintaan untuk menaikkan gaji yang disokong dengan butiran-butiran terperinci berbanding setakat memberikan jumlah terdekat saja dapat memberikan kelebihan kepada anda semasa mengadakan rundingan mengenai gaji.

Para pengkaji menyimpulkan bahawa permintaan untuk menaikkan gajj dengan disokong oleh butiran-butiran terperinci memberi gambaran bahawa anda sudah melakukan kajian yang menyeluruh terlebih dahulu. Ini akan meyakinkan pihak majikan bahawa anda memang wajar diberikan kenaikan gaji.

Jika anda bertukar majikan pula, anda perlu mengetahui bahawa kebanyakan majikan menjangkakan para pemohon akan merundingkan tentang gaji permulaan mereka.

Contohnya di Amerika Syarikat, Robert Half mendapati bahawa 70 peratus pengurus kanan menjangkakan rundingan mengenai gaji. Para kakitangan jabatan sumber manusia lazimnya akan memulakan rundingan mengenai gaji dengan menawarkan gaji permulaan yang lebih rendah kerana mereka biasanya akan menjangkakan para pemohon akan berunding tentang gaji.

Anda juga perlu memanfaatkan kajian industri untuk menentukan gaji yang sewajarnya dan memberikan sebab-sebab mengapa gaji yang anda usulkan itu adalah berpatutan.

Pengetahuan tentang perkembangan industri juga boleh membantu anda untuk mengadakan rundingan mengenai gaji dengan lebih berkesan.

Meskipun permintaannya tinggi bagi karyawan teknologi dan digital, menurut firma pengambilan pekerja Robert Walters, ada juga penurunan pada jumlah pengambilan pekerja bagi sektor khidmat kewangan dan pengilangan, lebih-lebih lagi bagi jawatan-jawatan tradisional seperti perakaunan dan operasi.

Tidak kiralah jika anda ingin terus bekerja dalam syarikat anda yang sama atau berpindah ke syarikat lain, semestinya ada potensi untuk mendapatkan kenaikan gaji jika ia terlalu rendah.

Kunci kepada matlamat anda adalah untuk menyelidik gaji yang wajar anda terima, menunjukkan nilai anda kepada syarikat, dan bersedia untuk berunding demi mendapatkan kenaikan gaji. 

Sumber : Today/ZM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan