Images
  • sofitel
    (Gambar: Sofitel Singapore Sentosa Resort & Spa)

Anda ada rancangan untuk cuti dalam negara atau 'staycation'? 5 hotel ini yang pertama diluluskan STB

SINGAPURA: Pada 3 Julai, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) mengumumkan hotel-hotel kini sudah boleh memohon untuk menerima tetamu dalam negeri atau 'staycation'. Ini adalah berita baik yang dinanti-nantikan pemain industri hospitaliti tempatan setelah terjejas dek pandemik COVID-19.

Penyambungan semula 'staycation' bahkan juga satu khabar gembira untuk orang ramai memandangkan rancangan untuk bercuti ke luar negara terpaksa ditundakan dahulu sehingga keadaan kembali reda atau terkawal di seluruh dunia.

Berikutan pengumuman tersebut, STB baru-baru ini mendedahkan lima hotel pertama yang menerima kelulusan untuk menerima tetamu.

Jika anda dambakan percutian di tepi pantai, senarai berikut ini boleh dijadikan rujukan kerana empat daripada hotel itu terletak di pulau Sentosa.

W SINGAPORE SENTOSA COVE

Salah satu daripada lima hotel diluluskan STB ialah W Singapore Sentosa Cove. Hotel lima bintang ini terletak di kejiranan mewah Sentosa Cove.

Selain daripada bilik-biliknya yang direka hias dengan penuh gaya, hotel ini terkenal dengan kolam WET, salah satu kolam renang terbuka paling besar di Singapura dengan pemandangan yang menghadap kawasan marina.

Bermula dari S$490++ setiap malam, hotel ini menawarkan tiga pakej cuti - Escape for Two, Staycay With Us dan Suite Temptations.

ONE°15 MARINA SENTOSA COVE

Terletak tidak jauh dari W Singapore, ONE°15 Marina Sentosa Cove juga sudah mendapat kelulusan untuk menerima semula tetamu.

Di samping khidmat marina bagi pemilik kapal layar, kelab ini juga menawarkan penginapan 5-bintang di hotelnya.

Hotel ini menyediakan 26 bilik dan suite termasuk Monte Carlo Suites yang serba mewah. Penginapan di ONE°15 bermula dari S$185++.

SOFITEL SINGAPORE SENTOSA RESORT & SPA

Hotel di Sentosa ini menjadi yang pertama daripada tiga hotel jenama Sofitel di Singapura yang menerima kelulusan untuk menyambut semula tetamu.

Tersergam indah dengan pemandangan panoramik Laut China Selatan, Sofitel Singapore Sentosa Resort & Spa adalah pilihan ideal bagi mereka yang mahu mencari ketenangan dari hiruk-pikuk bandar.

Tawaran 'staycation' di sini bermula dari S$338 bagi satu malam untuk dua pakej - Infinite Family Experiences dan Retreat to Sanctuary.

CROCKSFORD TOWER


(Gambar: Crocksford Tower)

Crocksford Tower di Resorts World Sentosa menyediakan bilik suite sahaja. Hotel ini juga menyediakan khidmat butler 24 jam.

Bilik-biliknya dihias dengan kayu gelap yang diserlahkan lagi oleh pemilihan fabrik mewah berona merah dan emas. Setakat ini tiada tawaran khas untuk menginap di sini tetapi harga bilik bermula dari $ 703.85 ++.

LYF FUNAN SINGAPORE

Inilah satu-satunya hotel yang terletak di luar Sentosa.

Lyf Funan Singapore adalah sebuah ruang tinggal bersama yang terletak di atas pusat beli-belah Funan Mall. Kelebihan hotel ini adalah ia berpusat di CBD sekali gus memudahkan anda untuk bergerak ke mana saja.

Ia menawarkan lapan jenis bilik termasuk studio One of A Kind untuk dua orang serta apartmen All Together yang mempunyai empat bilik tidur keseluruhannya.

Harga bilik di hotel ini bermula dari S$300++. 

- CNA/FZ/fz

Top