Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anak S'pura ini berjaya hasilkan beras, mi lebih sihat dan tetap enak

Bayangkan anda menikmati char kway teow, 'spaghetti carbonara' dan roti susu tanpa perlu rasa bimbang tentang kesannya terhadap tahap glukosa (gula) dalam darah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Anak S'pura ini berjaya hasilkan beras, mi lebih sihat dan tetap enak

Acara membukaan The CookLab@Alchemy. (Gambar: Alchemy Foodtech)

Diterbitkan : 20 Jul 2020 02:33PM Dikemas Kini : 20 Jul 2020 02:34PM

SINGAPURA: Bayangkan anda menikmati char kway teow, 'spaghetti carbonara' dan roti susu tanpa perlu rasa bimbang tentang kesannya terhadap tahap glukosa (gula) dalam darah. Di dunia di mana 422 juta orang menghidap kencing manis - dengan Singapura dijangka mempunyai satu juta penghidap kencing manis pada tahun 2050 - ia pastinya satu berita baik.

Sejarah kencing manis dalam kalangan keluarga Alan Phua mendorongnya dan Verleen Goh untuk memulakan Alchemy Foodtech pada tahun 2015 dengan matlamat menjadikan makanan yang mengandungi karbohidrat lebih sihat tanpa menjejas rasa dan teksturnya. Bagaimanapun, hanya segelintir orang yang berminat untuk makan sushi dan nasi ayam yang dimasak menggunakan beras perang atau mi goreng yang dimasak dengan mi gandum.

Phua, yang merupakan CEO (atau Chief Everything Officer): "Rasa dan tekstur selalu menjadi perhatian utama, dan makanan seperti nasi dan mi adalah sebahagian daripada kepelbagaian budaya di Asia. Oleh itu, ketika kami sedang mencari huraian, kami memastikan orang ramai dapat menikmati makanan kegemaran mereka tanpa perlu berdepan dengan masalah kesihatan yang berkaitan. "

Pasangan suami isteri itu menghasilkan Alchemy Fiber, bahan yang dipatenkan yang bebas gluten dan diperbuat daripada tanam-tanaman seperti jagung, kacang dan ubi kayu, untuk mengurangkan indeks glisemik (GI) karbohidrat halus seperti beras, roti dan mi, sambil meningkatkan kandungan keseluruhan seratnya.

GI makanan menunjukkan seberapa cepatnya dan berapa banyaknya glukosa dalam darah akan meningkat selepas makan. Ini dipengaruhi faktor-faktor seperti ukuran bahagian, masa memasak, sama ada dimakan sendiri atau dengan makanan lain, dan sama ada ia diproses ataupun tidak.

Secara amnya, makanan dengan GI yang rendah dan sederhana seperti beras perang, buah-buahan dan sayur-sayuran hijau dicerna dan diserap dengan lebih perlahan, yang menyebabkan kenaikan kadar gula dalam darah berlaku secara lebih perlahan. Makanan tinggi GI seperti nasi, roti dan pasta, cepat dicerna dalam tubuh untuk menghasilkan glukosa, yang kemudian disebarkan menerusi aliran darah.

“Sekiranya tubuh tidak dapat membuang glukosa dengan cukup pantas, darah yang mengalir akan menjadi lebih tebal. Ini seperti menambahkan gula ke dalam air untuk memberikan konsistensi sirap, "jelas Goh, yang mempunyai latar belakang sebagai seorang saintis makanan. Beliau juga dikenali dengan gelaran Chief Food Fighter.

"Aliran darah akan menjadi lebih perlahan dan boleh menyebabkan gumpalan darah, yang boleh menyebabkan angin ahmar. Alchemy Fiber mengurangkan kadar pencernaan glukosa dalam nasi kepada hampir serupa kadar pencernaan glukosa dalam beras perang, namun rasanya tetap sama enak. "

Pada mulanya, rancangan untuk Alchemy adalah model B2B2C, di mana mereka bekerjasama dengan restoran dan syarikat makanan sebagai pembekal bahan. Ketika COVID-19 memaksa restoran-restoran ditutup dan lebih banyak orang mula memasak sendiri di rumah, pasukan Alchemy berusaha untuk menghasilkan produk mesra pengguna yang boleh melengkapi dan mudah digunakan untuk memasak makanan yang lebih sihat di rumah.

Bulan ini, Alchemy melancarkan tepung adunan segera untuk membuat biskut dan kek seperti brownies dan campuran bahan yang mengandungi Alchemy Fiber, seperti paket tepung dan serbuk dengan prebiotik tambahan yang dapat dicampurkan dengan beras untuk kandungan serat yang lebih tinggi dan meningkatkan kesihatan usus dan imuniti.

Sejauh ini, Alchemy berjaya mendapatkan dana sebanyak S$3.5 juta, termasuk S$ 2.5 juta dalam pusingan pra-Siri A dan S$200,000 daripada peraduan pemula Slingshot@Switch 2018 yang dianjurkan oleh Startup SG dan Enterprise Singapore.

Ia sudah bekerjasama dengan penghasil makanan seperti kilang roti Gardenia, pembuat roti kukus Lim Kee Food Manufacturing dan pengeluar mi Kang Kang Tan Seng Kee Foods untuk menghasilkan versi yang lebih sihat bagi produk mereka.

Sumber : CNA/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan