Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anak muda perjuang warisan, makna di sebalik busana lelaki Melayu

Setiap helai kain yang dilipat harus dengan teliti dan penuh beradab.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiap helai kain yang dilipat harus dengan teliti dan penuh beradab.

Lipatan pula hanya boleh dilakukan di atas lantai agar ia benar-benar tersusun dan rapi. Ini antara syarat-syarat mengarang tanjak Melayu.

Malah, untuk mewarisinya bukan mudah.

"Kita harus berdepan dengan seorang guru untuk belajar tentang tanjak. Itu bezanya. Kalau mungkin dalam dua tahun lalu, saya kerap ke Kuala Lumpur.

"Mungkin dua bulan sekali, tiga bulan sekali, untuk tambah lagi, untuk belajar lagi. Kadang-kadang bukan sekadar untuk menambah karangan, tidak. Tetapi hanya untuk berlatih apa yang saya ada masa itu," kongsi Pengasas Tanjak Mahkota SG Muhammad Fairuz Zazali.

SEBAR PEMAKAIAN TANJAK DI S'PURA

Didorong pesanan gurunya agar mengamalkan ilmu yang ditimba, Encik Fairuz mula memperkenalkan tanjak kepada orang ramai di Singapura.

Pada 2017, beliau menubuhkan Tanjak Mahkota SG. Awalnya, ia hanya mengedar produk-produk ibu syarikat di Selangor tetapi kini mengeluarkan tanjak-tanjak karangan tempatan.

"Selepas beberapa bulan baru kami mula untuk keluarkan tanjak-tanjak sendiri mengikut cita rasa orang-orang Singapura. Kalau dikatakan untuk tanjak sahaja, daripada tahun 2017 hingga ke sekarang tahun 2021, saya rasa lebih daripada 1,000 tanjak yang saya dah hasilkan untuk orang, yang saya dah karang untuk orang," cerita anak muda itu.

FAHAMI MAKNA TERSIRAT REKAAN TANJAK

Kini, pemakaian tanjak sudah tidak janggal lagi di Singapura. Namun, menjangkaui fesyen semata-mata, si pemakai diharap dapat menjiwai sifat setiap karangan tanjak.

"Seperti tanjak yang dipanggil tanjak Pancung Tak Bertanya. Jadi sifat orang yang memakai tanjak ini adalah berani kerana benar. Pemakainya merupakan Datuk Maharajalela.

"Datuk Maharajalela itu kerjanya adalah menjatuhkan hukum kepada orang-orang yang bersalah. Dia berani menjatuhkan hukum kepada seseorang itu kerana dia tahu apa yang dia buat itu betul."

"Tanjak saya sendiri pun, yang saya dapat, yang saya tempah daripada guru saya merupakan tanjak Gajah Melaung. Mungkin kerana misi saya untuk mengenalkan busana Melayu ini kepada masyarakat Melayu di Singapura.

"Maka dianugerahkan kepada saya tanjak Gajah Melaung kerana mungkin kerana gajah itu adalah sesuatu binatang yang agak besar dan bila ia melaung itu agak kuat dan didengari oleh ramai orang," ujar Encik Fairuz.

Selain sifat tanjak, empunya juga digalak memahami cara pemakaiannya. Di mana terletaknya simpul itu, ia mempunyai makna tersendiri.

"Mengikut apa yang saya belajar, simpul di belakang itu adalah si pemakai itu hendak berperang, untuk pergi perang. Jadi yang di sebelah kanan adalah yang biasa. Hampir semua tanjak kami yang kami ketengahkan dipakai dengan simpul di sebelah kanan. Di sebelah kiri itu adalah orang-orang yang menentang kerajaan. Perbezaannya di situ," kata beliau.

SAMPING, BAJU MELAYU ADA FALSAFAH SENDIRI

Begitu juga dengan pemakaian samping. Antaranya, ikatan bunga di sebelah kanan khas untuk kaum lelaki dan jika di kiri pula biasanya untuk golongan wanita.

Sementara itu, ikatan bunga di tengah bermakna si pemakai seorang duda.

"Mereka tidak perlu berbual, bertutur untuk menunjukkan status mereka. Hanya dengan pemakaian itu, kita boleh tahu jika seseorang itu sudah kahwin. Yang ini, orang rumah, yang ini isteri orang, yang ini suami orang. Seperti itu. Jadi untuk mengelak daripada benda-benda yang tidak diingini berlaku," terang Encik Fairuz.

Makna tersirat turut didapati dalam baju Melayu. Contohnya, baju Melayu Cekak Musang dilengkapi dengan lima butang yang melambangkan lima rukun Islam.

Baju Melayu Teluk Belanga pula mempunyai hanya satu butang iaitu menandakan Tauhid – keesaan Tuhan.

"Memang orang-orang Melayu ini terkenal dengan falsafah-falsafah kita. Jadi di situ pun kita nampak yang sebenarnya orang-orang Melayu ini kaya dengan budaya dan sebagainya," kata beliau dengan penuh bangga.

PERTAHANKAN WARISAN

Berbanding hari ini, baju Melayu tradisional berpesak dan berkekek, lantas lebih labuh.

Ia bukan sahaja selesa dipakai tetapi merupakan reka bentuk khas orang Melayu.

Sayangnya, fesyen sedemikian tidak begitu popular dalam kalangan anak muda.

"Orang-orang muda lebih suka yang ‘slim fit’. Nampak lebih segak, katanya. Jadi itulah satu trend yang amat, kata orang itu, merisaukan. Takut lama-kelamaan orang langsung tidak mahu memakai baju Melayu kita," luah Encik Fairuz.

Oleh itu, selain mengarang beratus-ratus tanjak, Encik Fairuz juga berusaha untuk mengongsi ilmu tentang busana Melayu agar ia sentiasa hidup.

"Jangan 20 tahun akan datang, 30 tahun akan datang, orang tidak kenal langsung dengan baju Melayu. Jadi, kita mahu kekalkan budaya ini, kita mahu melestarikannya supaya tak hilang. Itu sahaja." 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan