Images
  • arang
    (Gambar: Bernama)

Anak muda ini tidak kisah ceburi kerjaya sebagai 'tauke' arang

KUALA BERANG: Diperlekeh rakan-rakan kerana memilih pekerjaan sebagai pengusaha arang tradisional pada usia muda tidak langsung mematahkan semangat Muhd Dzaqwan Sukry, 29, untuk menceburi bidang itu.

Sebaliknya, ejekan serta kata-kata sinis yang dilemparkan menguatkan lagi tekad anak muda dari Kampung Kuala Menjing, Kuala Berang itu untuk terus berusaha dan menjadi usahawan yang disegani suatu hari nanti.

Menurut Muhd Dzaqwan, beliau dan bapanya, Sukry Abdullah, 57, mula mengusahakan perusahaan arang secara tradisional tiga tahun lalu selepas mendapati banyak lambakan kayu yang terbuang begitu sahaja di sekitar kawasan Kuala Berang.

"Sebelum memulakan kerjaya sebagai pengusaha arang, saya pernah membuat pelbagai jenis kerja kampung untuk membantu bapa menanggung kehidupan kami enam sekeluarga.

"Sebelum ini ada juga rakan yang mengajak saya untuk bekerja di kilang di bandar, tetapi sebagai anak sulung, saya lebih selesa berada di kampung supaya senang untuk menjaga keluarga," katanya ketika ditemui pemberita hari ini (6 Jul) di kediamannya di Kampung Kuala Menjing.

Menurut Muhd Dzaqwan, walaupun perusahaannya dijalankan secara tradisional, beliau melakukan sedikit inovasi terhadap ‘gok’ atau tempat pembakaran arang bagi memudahkan lagi kerja menyusun serta mengumpul arang yang sudah siap dibakar.

Menurutnya, idea tersebut diperoleh selepas melakukan sedikit kajian dan pemerhatian di saluran YouTube.

"Lazimnya pengusaha arang tradisional akan menggunakan 'gok' berbentuk iglu untuk membakar kayu. Tetapi saya dapati reka bentuknya yang sebegitu menyukarkan kami untuk masuk dan mengumpul arang.

"Jadi saya mereka bentuk gok baharu di tapak sebelah rumah yang berbentuk segi empat dengan lebar enam kaki dan kedalaman lapan kaki serta ditutup dengan penutup besi untuk membakar kayu.

"Saiz gok ini juga lebih besar dan boleh memuatkan kira-kira tiga tan kayu untuk dibakar pada satu-satu masa," katanya.

Katanya lagi, pada awal pembabitan, beliaudan bapanya menghadapi pelbagai kepayahan untuk mendapatkan pelanggan dan memasarkan produknya.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk menjaja arang dengan lori di seluruh daerah Hulu Terengganu kerana tidak mengetahui cara memasarkan barangan melalui laman sosial.

"Sekarang saya tidak perlu lagi mencari pelanggan, sebaliknya pelanggan yang terdiri daripada pengusaha restoran, peniaga pasar malam dan kedai runcit datang ke sini untuk mengambil arang.

"Bermula daripada 200 beg arang pada permulaan, jumlah pengeluaran kami kini sudah mencecah 2,400 beg sebulan dan ia masih belum cukup untuk menampung permintaan di sekitar daerah ini.

"Ini membuktikan bahawa perusahaan arang bukanlah industri yang hampir pupus, sebaliknya boleh menjana pendapatan lumayan jika dikendalikan dengan betul,” katanya yang menyimpan impian untuk meluaskan lagi perniagaan kerana ketika ini berdepan kekangan modal.

- BERNAMA/HA/ha

Top