Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Anak berisiko semput jika ayah kuat merokok

Kanak-kanak yang terdedah kepada asap tembakau akibat bapa yang merokok semasa bayi dalam kandungan lebih berkemungkinan menghidap penyakit semput sebelum usia enam tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
Anak berisiko semput jika ayah kuat merokok

(Gambar: Christian Hartmann/Reuters)

Diterbitkan : 22 Jun 2019 09:30AM Dikemas Kini : 22 Jun 2019 09:37AM

TAIPEI: Kanak-kanak yang terdedah kepada asap tembakau akibat bapa yang merokok semasa bayi dalam kandungan lebih berkemungkinan menghidap penyakit semput sebelum usia enam tahun. Demikian menurut hasil kajian mengenai perubahan kimia terhadap DNA.

Pendedahan pranatal kepada asap rokok sudah lama dikaitkan dengan peningkatan pada risiko menghidap penyakit semput semasa kanak-kanak. Namun, kajian terbaru itu turut menampilkan bukti baru yang menggambarkan bahawa bukan ibu yang merokok sahaja yang boleh membahayakan kesihatan bayi.

Para penyelidik menjalankan kajian terhadap 756 bayi selama enam tahun. Hampir satu daripada setiap empat bayi terdedah kepada asap tembakau akibat bapa yang merokok ketika janin semasa dalam kandungan; dengan hanya tiga ibu yang merokok.

Secara keseluruhannya, 31 peratus kanak-kanak yang mempunyai bapa yang merokok semasa dalam kandungan menghidap penyakit semput sebelum mencecah usia enam tahun.

Ini berbanding 23 peratus kanak-kanak dengan bapa yang tidak merokok.

Kanak-kanak yang mempunyai bapa yang kuat merokok biasanya menghidap penyakit semput, kata penyelidik kanan, Dr Kuender Yang, dari Pusat Perubatan Pertahanan Nasional Taipei menerusi kiriman emel kepada agensi berita Reuters.

Sekitar 35 peratus kanak-kanak dengan bapa yang kuat merokok menghidap penyakit semput, berbanding 25 peratus kanak-kanak dengan para bapa yang jarang merokok dan 23 peratus kanak-kanak dengan para bapa yang tidak merokok langsung ketika dalam kandungan.

Selain itu, perbuatan merokok oleh para bapa ketika bayi dalam kandungan juga dikaitkan dengan perubahan pada pemetilan atau 'methylation' pada beberapa bahagian gen yang terlibat dalam fungsi sistem imun dan perkembangan penyakit semput.

"Merokok adalah satu tabiat buruk tanpa mengira masa: sebelum bayi dilahirkan mahupun selepas dilahirkan," kata Dr Avni Joshi, seorang penyelidik dari Pusat Kanak-Kanak Klinik Mayo di Rochester, Minnesota, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut.

"Ramai ibu bapa menangguhkan keputusan untuk berhenti merokok sehingga bayi dilahirkan, tetapi kajian ini menekankan bahawa pendedahan pranatal kepada asap tembakau boleh menyebabkan perubahan pada sistem imun bayi yang masih dalam kandungan. Maka itu, adalah penting untuk berhenti merokok sedang sesebuah keluarga merancang untuk menimang cahaya mata."

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan