Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Alwiyah, Nursha, Rosli dan Izwan kini Duta Kesihatan

Buat julung-julung kalinya, para penyampai dan wartawan BERITAmediacorp, turun padang selaku duta kesihatan dalam acara Karnival Keluarga Wisma Geylang Serai (WGS), demi memupuk gaya hidup yang lebih sihat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Sep 2019 11:15PM Dikemas Kini : 08 Sep 2019 11:36PM

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, para penyampai dan wartawan BERITAmediacorp, turun padang selaku duta kesihatan dalam acara Karnival Keluarga Wisma Geylang Serai (WGS), demi memupuk gaya hidup yang lebih sihat.

Acara senaman beramai-ramai yang diadakan pada pagi Ahad (8 Sep) itu mendapat sambutan cukup menggalakkan dengan para peserta begitu bersemangat dan tidak berputus asa.

Pergerakan yang mencabar juga tidak menghambat para peserta yang kebanyakannya terdiri daripada para anggota pasukan "Walking Football4Health".

Empat penyampai BERITA yang dilantik sebagai duta kesihatan ialah Alwiyah Mohd Siz, Nursha Ismail, Rosli A Razak dan Izwan Ohtman. Mereka turut sama-sama mengeluarkan peluh berkongsi rutin senaman kesihatan itu.

Senaman bersama personaliti kesihatan Dr Dee Dee Mahmood itu direka khas bagi memastikan ia sesuai dilakukan individu dari segenap lapisan usia.

Sesi yang berlangsung selama 15 minit itu turut merangkumi gerak langkah senaman bagi menguatkan otot dan mudah dilakukan.

RAKAMAN PROGRAM 'CETUSAN' DENGAN TOPIK KESIHATAN

Sebagai sebahagian dari usaha menggalak gaya hidup sihat, rakaman program 'Cetusan' terbitan unit ehwal semasa BERITAmediacorp turut diadakan bagi mengupas isu-isu kesihatan bersama Dr Dee Dee, Dr Elly Sabrina, Chef Mel Dean dan tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin.

Para pengunjung di karnival itu berpeluang bertanya ahli fisioterapi Encik Muhd Fadhli Mohd Hussein tentang cara-cara yang bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan tubuh bagi mengelakkan kecederaan semasa bersukan.

Beliau juga berkongsi aktiviti senaman yang selamat dan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tempat.

Kakitangan dari Kajian Kesihatan bagi Kehidupan di Singapura (HELIOS) juga memberi sokongan dengan mengajak pengunjung menyertai kajian untuk memahami kesihatan masyarakat Melayu/Islam. Tujuannya bagi meningkatkan pencegahan penyakit di Singapura, termasuk kencing manis, serangan jantung dan angin ahmar.

Sesi senaman itu turut memberi ilham kepada para peserta untuk terus mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

"Saya rasa badan lebih ringan bersenam di waktu pagi daripada petang.

"Mungkin (selepas ini) balik kerja pagi, sebelum tidur, saya akan lakukan senaman ini hari-hari sebelum tidur," kata Encik Hanafe Abdul Ghani, 53 tahun.

Ini merupakan kali ketiga BERITAmediacorp bekerjasama dengan WGS untuk mendampingi masyarakat.

"Kita tahu bahawa isu kesihatan adalah satu keprihatinan utama bagi masyarakat Melayu/Islam. Jadi kami amat berbesar hati dilantik duta kesihatan," menurut duta kesihatan, Rosli A Razak.

"Dapat bersama-sama dalam usaha mendidik masyarakat berkenaan pentingnya mengamalkan gaya hidup. Khususnya pengikut BERITA di semua platform kami di televisyen, radio, mahupun di media sosial - tidak ada alasan untuk tidak bersenam dan untuk kita aktif bersama," ujarnya lagi.

CABARAN 'HULA HOOP' DAN 'SKIPPING ROPE' BERSAMA BERITAMEDIACORP

Justeru melalui kegiatan-kegiatan yang disediakan di astaka BERITAmediacorp seperti cabaran gelang hula (hula hoop) dan tali skip (skipping rope), para pengunjung dapat mempelajari lebih banyak lagi tentang program gaya hidup sihat, senaman dan pengurusan kesihatan.

Menerusi permainan dan kuiz di astaka BERITAmediacorp, para pengunjung juga dapat mengenali lebih rapat lagi rancangan-rancangan kami, memberi maklum balas tentang isu dan tajuk yang ingin mereka lihat dalam rancangan kami serta berinteraksi dengan kakitangan BERITA.

Bagi Cik Azura Kassim, 44 tahun, beliau berasa amat bersyukur kerana berjaya membawa pulang ilmu.

"Saya rasa amat gembira dapat bertemu dengan kakitangan BERITAmediacorp, dan dengan aktiviti yang dianjurkan oleh Mediacorp, saya sangat suka kerana dapat pengalaman mengenai bagaimana hendak menjaga kesihatan kita.

"Seronok untuk minda saya, saya dapat pelajari bagaimana untuk menjaga kesihatan tubuh badan saya. Saya berterima kasih kepada BERITAmediacorp," kata Cik Azura, seorang surirumah sepenuh masa.

Karnival Keluarga WGS berlangsung sehingga Ahad depan (15 Sep). 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan