Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Alahan kulit semasa kerja dari rumah mungkin disebabkan tekanan

Hadapi masalah kulit gatal-gatal atau berjerawat yang tidak pernah berlaku sebelum ini? Tekanan mungkin penyebabnya, kata seorang pakar.

Anggaran Waktu Membaca:
Alahan kulit semasa kerja dari rumah mungkin disebabkan tekanan
Diterbitkan : 25 Jan 2021 02:57PM Dikemas Kini : 25 Jan 2021 03:00PM

JAKARTA: Sejak pandemik COVID-19 melanda sekitar setahun lalu, ramai yang dibenarkan bekerja dari rumah.

Ia dilakukan dengan tujuan membendung penularan koronavirus, namun terdapat sebilangan orang yang sepanjang tempoh itu mengalami alahan kulit yang tidak pernah mereka alami sebelumnya. Ini, menurut seorang pakar, mungkin masalah yang bermula dari fikiran seseorang.

Pakar Kulit dan Kelamin Raendi Rayendra berkongsi bahawa tekanan adalah faktor utama yang boleh mencetuskan alergi kulit.

"Ia disebut faktor utama kerana ia adalah pencetus alahan yang paling umum," kata Dr Raendi di Jakarta, pada Sabtu (23 Jan).

Beliau menjelaskan, tekanan boleh mengganggu beberapa hormon yang secara tidak langsung mengaktifkan reaksi alahan, terutama rasa gatal. Beliau memberi contoh, gatal atau alahan boleh muncul dalam kalangan pelajar ketika rasa tertekan sebelum peperiksaan.

Menukil dari laman kesihatan Webmd, tekanan membuat tubuh menghasilkan hormon seperti kortisol yang mengarahkan kelenjar kulit menghasilkan lebih banyak minyak. Kulit yang lebih berminyak terdedah kepada jerawat dan masalah kulit yang lain.

Tiada salahnya berjumpa dengan seorang pakar psikologi jika anda merasa tertekan, yang biasanya berlaku dalam situasi yang tidak menentu.

Rasa gatal-gatal juga boleh disebabkan oleh kulit kering akibat duduk di dalam bilik berhawa dingin terlalu lama. Pelembap mesti digunakan secara rutin untuk menjaga keadaan kulit.

Menurut Dr Raendi, kes-kes gangguan kulit meningkat semasa pandemik kerana perubahan gaya hidup dan kebiasaan.

"Sebagai contoh, waktu tidur berubah, pada awalnya mereka yang mencuci muka pada waktu pagi beralih ke tengah hari, jadi coraknya berubah. Ini dari gaya hidup. Tetapi kemudian kita menggunakan pelitup setiap hari. Yang meningkat adalah kes jerawat akibat pelitup."

Jerawat akibat pemakaian pelitup muka dapat dielakkan dengan menukar pelitup secara berkala setiap 3 atau 4 jam. Jerawat berlaku kerana geseran pelitup pada kulit, jadi penting untuk kerap menukar dan memilih bahan yang tepat.

Dr Raendi menjangkakan bahawa khidmat rawatan kulit akan terus berkembang tahun ini di tengah-tengah pandemik penyakit kerana ia akan menjadi keperluan harian masyarakat.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan