Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Aktiviti jalan pantas baik untuk otak yang menua

Semakin bertambah umur, semakin menurun pula kemampuan dan kekuatan tubuh kita, terutama otak.

Anggaran Waktu Membaca:
Aktiviti jalan pantas baik untuk otak yang menua

(Gambar: New York Times)

Diterbitkan : 04 Apr 2021 11:01PM Dikemas Kini : 04 Apr 2021 11:03PM

WASHINGTON: Semakin bertambah umur, semakin menurun pula kemampuan dan kekuatan tubuh kita, terutama otak.

Para pakar kesihatan menyarankan senaman rutin untuk memperlambatkan penurunan tersebut.

Ternyata, anda tidak perlu melakukan senaman yang berat. Aktiviti berjalan dengan pantas juga dapat meningkatkan kesihatan otak dan kemampuan berfikir bagi golongan tua yang mengalami gangguan daya ingatan. Ini menurut satu kajian baru mengenai tanda-tanda awal hilang daya ingatan dan senaman.

Dalam kajian itu, warga tua dan golongan pertengahan usia yang menunjukkan tanda-tanda awal cepat lupa, meningkatkan skor kognitif mereka setelah mereka mula melakukan kegiatan berjalan dengan kerap.

Senaman yang kerap juga meningkatkan aliran darah yang sihat ke bahagian otak.

Kajian itu menyimpulkan bahawa meskipun perubahan dalam otak dan kemampuan individu untuk berfikir tidak terlalu ketara, ia tetap penting. Manfaat jalan pantas bukan sahaja bagi mereka yang mengalami masalah daya ingatan yang serius, tetapi juga bagi mereka yang semakin pelupa apabila usia meningkat.

Bagi kebanyakan kita, seiring dengan meningkatnya usia, kemampuan untuk mengingati sesuatu dan berfikir mula merosot. Ini dianggap biasa, tetapi masih mengecewakan.

Bagaimanapun, jika kehilangan daya ingatan semakin buruk, ia boleh mengakibatkan gangguan kognitif ringan, suatu keadaan perubatan di mana hilangnya kemampuan berfikir sehingga boleh menyebabkan anda dan orang-orang di sekeliling anda menjadi risau.

Gangguan kognitif ringan bukanlah demensia, tetapi mereka yang mengalami keadaan ini lebih berisiko terkena penyakit Alzheimer pada kemudian hari.

Para saintis belum menemukan punca gangguan kognitif ringan, tetapi terdapat beberapa bukti bahawa perubahan aliran darah ke otak boleh menyebabkan masalah itu. Darah membawa oksigen dan zat ke sel-sel otak dan jika aliran itu tersendat-sendat, maka keupayaan neuron juga mengalami hal yang sama.

Malangnya, ketika kita semakin menua, aliran darah ke otak juga semakin menurun. Ini disebabkan arteri menjadi kaku dan jantung semakin lemah.

Mujur berita baiknya adalah aktiviti senaman boleh meningkatkan aliran darah ke otak, meskipun seseorang itu tidak bergerak.

Dalam satu kajian neurologi pada 2013, otak golongan lelaki lanjut usia yang aktif secara fisikal menunjukkan darah yang lebih baik berbanding otak lelaki yang jarang bergerak.

Aliran darah ke otak yang lebih banyak bagi mereka yang bersenam juga dikaitkan dengan nilai yang lebih baik bagi ujian daya ingatan dan pemikiran berbanding mereka yang tidak banyak bergerak.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan