Images
  • mink eyelash
    (Gambar: Facebook/JFK Animal Rescue And Shelter)

Aktivis dedah haiwan dikurung untuk hasilkan bulu mata palsu, perkakas solek

KUALA LUMPUR: Beberapa minggu yang lepas, media sosial menjadi hangat selepas aktivis haiwan memuat naik hasratnya untuk melancarkan produk bulu mata palsu sendiri, yang mendedahkan rahsia ‘gelap’ di sebaliknya.

Beliau menulis bahawa setahun yang lalu, beliau menghubungi penjual berpotensi untuk mendapatkan bekalan. Selepas membuat pertanyaan, beliau mendapati bahawa ‘bulu mata mink’ biasanya dijual di kedai dihasilkan daripada bulu haiwan sebenar.

“Saya tidak tahu bahawa mink bukanlah jenis bulu mata (palsu). Ia adalah haiwan sebenar yang kita perkatakan, seluruh impian saya berkecai,” catatnya di laman JFK Animal Rescue and Shelter melalui Facebooknya.

Aktivis itu yang enggan namanya disiarkan, ketika dihubungi Bernama berkata hasil pencariannya ‘adalah lebih menakutkan’ apabila mendapati haiwan itu terdedah kepada kesan sikatan yang lama - bulu mink akan disikat dalam tempoh yang panjang setiap hari - badannya dirantai manakala kepalanya disemat ke bawah.

“Wanita yang bercakap dengan saya asyik mengatakan ia adalah bulu mink tetapi bebas kekejaman. Saya bertanya bagaimana bebas kekejaman jika bulu itu datang daripada haiwan sebenar? Katanya mereka tidak bunuh mink itu tetapi hanya sikat bulunya dan kemudian menghasilkan bulu mata daripada bulu yang terkumpul itu,” kata wanita itu melalui catatannya.

Siasatan lanjut mendedahkan kepadanya bahawa untuk menghasilkan bulu mata palsu mink, haiwan ini akan dikurung di ladang dan ditempatkan di dalam sangkar manakala bulunya akan disikat secara agresif selama berjam-jam, selalunya sehingga kulit haiwan itu berdarah.

Beliau berkata bulu mata mink popular kerana ia ‘ringan, lembut dan gebu’ dan kualitinya sama seperti bulu mata manusia. Pencinta aksesori kecantikan sanggup membayar harga yang tinggi untuk produk ini agar kelihatan natural dan bulu mata mink boleh digunakan semula.

Walau bagaimanapun, ini menimbulkan persoalan: Adakah kita merasakan, usaha kita untuk kecantikan sementara ini adalah cukup penting sehingga tiada jaminan terhadap tindakan kejam ke atas haiwan yang tidak bersalah?

Bulu mata palsu sentiasa mendapat tempat dalam regimen kecantikan tetapi selalunya diperbuat daripada bahan tiruan.

Keperluan untuk memiliki bulu mata yang lebih lentik dan panjang serta tampak natural, ditambah pula dengan hakikat bahawa sesetengah orang alah terhadap produk sintetik, mendorong amalan kejam, membunuh haiwan ini demi kecantikan.

Menurut Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika, produk kosmetik tertentu cenderung menggunakan binatang kerana ia menambah baik kualiti produk mereka yang dianggap lebih penting berbanding layanan berperikemanusiaan terhadap haiwan.

“Pandangan saya, penggunaan haiwan adalah untuk menambah keyakinan produk itu namun manusia hendaklah terima bahawa kita tidak perlu menyusahkan binatang untuk menambah kecantikan sementara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata orang ramai harus lebih selektif apabila memilih kosmetik dan elak gunakan produk yang melakukan penganiayaan ke atas haiwan.

“Persatuan Haiwan Malaysia menolak keras terhadap buatan ini dan juga mana-mana bahan kosmetik yang menggunakan haiwan sama ada anggota luar dan dalam haiwan termasuk bulu.

“Sudah tiba masanya masyarakat boleh pilih untuk menolak produk kosmetik yang diakui mengunakan binatang untuk melakukan kajian dan menghasilkan produk tersebut.

Selain mink, haiwan lain seperti arnab, monyet, lembu dan burung juga menjadi mangsa industri kecantikan.

Sewaktu berita ini ditulis, hantaran ini telah mencapai kira-kira 6 juta akaun media sosial melalui pelbagai platform dan telah dikongsi lebih 131,000 kali di Facebook. Pendedahan ini menyebabkan ramai warganet yang sedih, terkejut dan marah. Ramai juga yang turut menulis kepada syarikat perniagaan yang membekalkan produk tersebut.

Mujurlah, seruan mereka demi keadilan telah didengar secara meluas.

Banyak jenama kecantikan besar telah bercadang untuk menghentikan produk berkaitan mink daripada inventori mereka, manakala rangkaian gedung kecantikan Sephora telah melarang penggunaan bulu mata mink di outlet mereka selepas menerima lebih 280,000 e-mel daripada pembeli yang prihatin.

Dalam e-mel kepada Bernama, jurucakap wanita Sephora Malaysia menyatakan: “Sephora telah mengesahkan bahawa semua stor yang menyimpan unit berkenaan telah mengeluarkan barangan berkaitan bulu mink dari rak mereka.” 

- BERNAMA/TQ/tq

Top