Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Akaun Instagram baru beri pendedahan online kepada penjaja mapan

Satu akaun baru di Instagram boleh dijadikan bahan rujukan bagi anda yang tertanya-tanya mana hendak membeli makanan bungkus semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) sekarang. 

Anggaran Waktu Membaca:
Akaun Instagram baru beri pendedahan online kepada penjaja mapan

Pengunjung tidak dibenarkan duduk dan makan di pusat penjaja di Chinatown susuli peraturan lebih ketat.

Diterbitkan : 26 May 2021 12:53PM Dikemas Kini : 26 May 2021 12:57PM

SINGAPURA: Satu akaun baru di Instagram boleh dijadikan bahan rujukan bagi anda yang tertanya-tanya mana hendak membeli makanan bungkus semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) sekarang.

Lebih penting lagi, akaun @wheretodapao membantu memberikan para penjaja lanjut usia, yang tidak celik teknologi dan kurang mahir menggunakan media sosial, sedikit pendedahan online.

Menurut akaun Instagram itu, ia akan memuat naik tiga catatan mengenai tiga penjaja berbeza setiap hari "untuk menolong para penjaja tua mendapatkan lebih banyak perniagaan semasa waktu sukar ini". Menariknya, sorotan penjaja itu dikumpulkan daripada orang awam.

Sejak akaun itu dimulakan empat hari lalu, ia sudahpun meraih lebih 24,500 pengikut.

Selain membantu menghubungkan para penjaja warga emas kepada pelanggan, @wheretodapao juga memuat naik coretan menyentuh hati daripada pengguna-pengguna Instagram yang menulis tentang penjaja kegemaran mereka. Ada di antaranya menyoroti kerja keras serta katabahan mereka.

"Pakcik ini sudah menceburi perniagaan penjaja sejak remaja lagi dan kini beliau berusia 80 tahun! Apabila makcik mengenali pakcik, beliau ditarik masuk ke dalam perniagaan. Beliau sama sekali tidak merungut tentang kerja yang membosankan dan berkata beliau menyokong suaminya dalam apa juga yang dilakukannya serta sentiasa berada di sisinya."

"Mereka mempunyai lima cucu dan salah seorang anak perempuannya merancang untuk mengambil alih gerai mereka apabila mereka bersara. Makcik dan pakcik tinggal di Jurong. Mereka akan menaiki sama ada MRT atau bas, yang memakan masa satu jam, untuk ke pasar ABC. Mereka akan memulakan persiapan pada 12.00 tengah hari dan tutup pada 9.00 malam."

Sementara perniagaan makanan dan minuman (F&B) lain memanfaatkan aplikasi penghantaran makanan untuk kekal dalam perniagaan, penjaja tua seperti pakcik yang menjual prata di Pusat Makanan ABC Brickworks ini tidak mampu berbuat demikian kerana "isu teknologi yang tidak dapat diatasi".

Catatan lain, seperti mengenai sebuah gerai minuman di Pasar Cheng San, meminta pelanggan agar jangan mudah ambil hati dengan sikap para penjaja.

"Maafkan jika beliau tidak tersenyum, beliau mengalami sakit pinggang yang kronik kerana berdiri dan membongkok selama berjam-jam - jadi sukar baginya untuk tersenyum ketika menumpukan perhatian untuk membancuh air anda!" 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan