Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

AirAsia tawarkan penerbangan percuma bernilai S$120,000 kepada 50 pemenang

Anda mengimpikan untuk pergi bercuti ke destinasi yang menarik? Ataupun sekadar untuk melepaskan lelah selepas penat bekerja?

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia tawarkan penerbangan percuma bernilai S$120,000 kepada 50 pemenang

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 16 Oct 2019 01:38PM Dikemas Kini : 16 Oct 2019 01:39PM

SINGAPURA: Anda mengimpikan untuk pergi bercuti ke destinasi yang menarik? Ataupun sekadar untuk melepaskan lelah selepas penat bekerja?

Syarikat penerbangan AirAsia menawarkan 100 pakej percutian percuma berjumlah S$120,000 secara keseluruhannya dalam peraduan cabutan bertuah terbesar mulai hari ini (16 Okt).

Peraduan itu sebahagian daripada kempen "Holiday Quickies" yang dianjurkan oleh AirAsia dengan tujuan menggalak rakyat Singapura mempunyai keseimbangan dalam kehidupan dan pekerjaan dengan pergi bercuti.

50 pemenang akan dipilih dan mereka boleh membawa seorang lagi individu untuk menyertai mereka bagi sama ada percutian dua hari atau tiga hari 'Holiday Quickie" ke Kota Kinabalu di Malaysia untuk menikmati pemandangan indah di sana dan bercuti dekat dengan alam sekitar.

Daripada pemenang tersebut, 43 orang akan memenangi percutian selama dua hari satu malam antara 19 Oktober dengan 20 Oktober, manakala lagi tujuh akan mendapat percutian selama tiga hari dan dua malam dari 19 Oktober hingga 21 Oktober. Para pemenang akan dipilih secara rambang.

Untuk menyertai peraduan itu, orang ramai hanya perlu mendaftar secara online menerusi laman www.airasiaholidayquickies.com mulai hari ini (16 Okt) hingga esok (17 Okt) pada pukul 6.30 petang.

Selain itu, anda juga boleh mengunjungi kaunter khusus AirAsia di tingkat satu pusat beli-belah Funan dan mengisi borang elektronik pada iPad yang disediakan.

Waktu untuk berbuat demikian adalah dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam hari ini dan pukul 10.00 pagi hingga 6.30 petang esok.

Peraduan itu dibuka kepada semua rakyat dan penduduk tetap Singapura berusia 18 tahun ke atas.

Para pemenang akan diumumkan esok pada pukul 6.30 petang di Funan.

Menurut Ketua Komersil Serantau AirAsia Amanda Woo:"Mengekalkan visi kami "Now Everyone Can Fly," kami mahu rakyat Singapura berpeluang menikmati "holiday quickie" atau percutian yang singkat - pada sebelah hujung minggu dan menikmati kehidupan bersama orang-orang tersayang. Kami berharap peraduan ini akan menggalak mereka untuk meneruskan hasrat untuk bercuti."

Peraduan itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Pelancongan Sabah dan Shangri-La Tanjung Aru Resort & Spa, Kota Kinabalu. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan