Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Adakah komputer riba, telefon bijak anda sedang mengintip anda?

Ditanya sama ada beliau menutup kamera komputer riba dengan pelekat, mantan Pengarah Biro Penyiasatan Perseketuan (FBI) James Comey berkata: "Ya, sudah tentu."

Anggaran Waktu Membaca:
Adakah komputer riba, telefon bijak anda sedang mengintip anda?

(Gambar: Reuters/Kacper Pempel)

Diterbitkan : 12 Apr 2018 02:48PM Dikemas Kini : 12 Apr 2018 02:56PM

SOUTH CHINA MORNING POST (SCMP): Ditanya sama ada beliau menutup kamera komputer riba dengan pelekat, mantan Pengarah Biro Penyiasatan Perseketuan (FBI) James Comey berkata: "Ya, sudah tentu."

Jika seorang yang sememangnya pakar dalam mengakses maklumat melakukan sedemikian, maka kami orang biasa sewajarnya turut sama.

Ini kerana aplikasi-aplikasi yang sering digunakan seperti WhatsApp, Facebook, Snapchat, Instagram, Twitter, LinkedIn dan Viber boleh mengakses kamera dan mikrofon komputer riba anda.

Demikian menurut Encik Felix Krause, pengasas Fastlane iaitu wadah sumber terbuka yang menyokong pembangun sistem seperti IOS dan Android menghasilkan aplikasi.

Menurut SCMP, Encik Krause selanjutnya berkata bahawa apabila seorang pengguna membenarkan sesuatu aplikasi untuk mengakses kamera dan mikrofon peranti yang digunakan, ia berupaya:

1) Mengakses kamera di hadapan dan di bahagian belakang

2) Merakam anda setiap kali aplikasi itu dibuka

3) Memetik gambar atau video tanpa memaklumkan kepada anda

4) Memuat naik gambar atau video tanpa pengetahuan anda

5) Menjalankan pengecaman wajah dalam masa nyata (realtime)

6) Merakam anda secara langsung di internet

7) Mengenal pasti sama ada anda menggunakan peralatan tersebut seorang ataupun dengan beberapa orang lain

Jika anda selama ini memandang remeh terhadap hal yang demikian, mungkin anda harus lebih berhati-hati.

Tahukah anda bahawa pada 2016, penghasil dokumentari, Anthony van der Meer memuat turun aplikasi Find My Phone ke sebuah telefon bijak dan membiarkannya supaya seseorang mencurinya.

Beliau kemudian mengintip setiap aspek kehidupan si pencuri. Dokumentari tersebut memaparkan setiap tindak laku mangsa dari saat individu tersebut menggosok gigi kepada detik-detik intim dengan pasangannya.

Malah, bekas kontraktor bagi Agensi Risikan Pusat (CIA), Edward Snowden mendedahkan bahawa Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika Syarikat boleh mengakses panggilan telefon, membaca kiriman mesej dan emel, memetik gambar, merakam video, mencuri fail-fail anda pada bila-bila masa sahaja.

SCMP juga menarik perhatian bahawa hakikatnya adalah para penggodam mampu mengakses peranti yang anda gunakan dengan mudah menerusi berbagai-bagai cara termasuk aplikasi, fail PDF dan juga emoji.

Justeru, para pengguna seharusnya melengkapi diri dengan keprihatinan digital lebih-lebih lagi di zaman ini. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan membaca ulasan tentang sesuatu aplikasi sebelum memuat turunnya untuk mendapatkan ulasan negatif.

Selain itu, anda juga boleh mencabut mikrofon dan menutup kamera komputer riba anda jika tidak lagi menggunakannya.

Pokoknya, anda tidak tahu siapa yang sedang memantau anda. Paranoia hanya berlaku apabila ianya sudah terlewat.  

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan