Images
  • lubnan fundraise
    (Gambar: 120 Fitness SG)

Acara senaman maya kumpul $3,000 untuk mangsa letupan di Beirut

BERITAmediacorp: Lebih 200 para peserta acara senaman "Sweat for Change" anjuran kumpulan 120 Fitness SG pada pagi Ahad (30 Ogos), bersenam selama tiga jam tanpa henti demi satu tujuan murni.

Menerusi kegiatan sihat, para peserta mengumpul derma bagi membantu mangsa letupan di Beirut, Lubnan awal bulan ini.

SENAM SAMBIL KUMPUL DANA

Jumlah mangsa yang terkorban akibat letupan besar di ibu kota Lubnan pada 4 Ogos mencecah 190 orang, manakala tiga lagi masih dilaporkan hilang setakat Ahad (30 Ogos).

Ditimpa musibah di tengah-tengah pandemik COVID-19, lebih 300,000 penduduknya kini kehilangan tempat tinggal dan menghadapi masalah mendapatkan kemudahan khidmat kebersihan dan bekalan air.

Terdorong untuk menyumbang kepada usaha membangunkan semula bandar Beirut ekoran letupan itu, kumpulan 120 Fitness SG menganjurkan acara mengumpul dana.

Mereka menganjurkan maraton dinamakan "Sweat For Change" secara maya menerusi wadah Zoom dari jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, melakukan pelbagai senaman seperti Zumba dan 'piloxing'.

Pengasas & Pengarah 120 Fitness SG Faiz Aman, berkata: "Kami ingin menggalak masyarakat kami bersenam untuk gaya hidup sihat, tetapi pada masa yang sama, dengan senaman kami boleh menolong orang yang memerlukan."

SASARAN DERMA S$5,000

Jumlah derma yang berjaya dikumpulkan menerusi acara senaman itu adalah sekitar S$3,000.

Meskipun begitu pihak 120 Fitness SG mendapati acara mengumpul dana memang ada cabarannya lebih-lebih lagi di tengah pandemik COVID-19.

"Antara cabarannya adalah untuk meningkatkan kesedaran. Kejadiannya terjadi pada 4 Ogos, pada saya, cabarannya adalah masa yang singkat untuk merancangkan acara ini," ujar Encik Faiz.

Wang derma yang berjaya dikumpulkan akan dapat menyokong pembangunan semula kehidupan para penduduk yang terjejas.

Orang ramai boleh menghulurkan derma sehingga esok (31 Ogos) untuk menepati sasaran sebanyak S$5,000 melalui laman https://www.giving.sg/campaigns/sweatforchange.
 

- BERITAmediacorp/tq

Top