Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

93% kes keracunan M'sia berlaku di rumah

Bercakap mengenai keracunan, ramai yang memandang enteng dan menganggap ia mungkin jarang berlaku atau barangkali lebih terdedah serta kerap berlaku di kawasan perindustrian seperti kilang atau ladang-ladang.

Anggaran Waktu Membaca:
93% kes keracunan M'sia berlaku di rumah

Gambar fail seorang doktor. (Gambar: AFP/Joe Raedle)

Diterbitkan : 11 Jun 2019 02:17PM Dikemas Kini : 11 Jun 2019 02:23PM

GEORGETOWN: Bercakap mengenai keracunan, ramai yang memandang enteng dan menganggap ia mungkin jarang berlaku atau barangkali lebih terdedah serta kerap berlaku di kawasan perindustrian seperti kilang atau ladang-ladang.

Hakikatnya, tahukah anda kes keracunan sebenarnya berpotensi besar berlaku di dalam laman rumah anda sendiri jika tidak berwaspada.

Pegawai Farmasi Unit Maklumat dan Racun, Pusat Racun Negara (PRN), Cik Asdariah Misnan, berkata mengikut statistik PRN antara tahun 2006 hingga 2015, 93 peratus kes keracunan berlaku di rumah.

“Dalam tempoh 10 tahun (2006-2015) 93 peratus kes keracunan ini termasuk yang tidak disengajakan dan daripada 93 peratus ini, 66 peratus adalah keracunan tidak sengaja membabitkan produk bahan kimia isi rumah (33 peratus) dan ubat-ubatan, juga 33 peratus.

“Selain itu, kes keracunan tidak sengaja membabitkan kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun adalah 46 peratus manakala kes keracunan membabitkan produk bahan kimia isi rumah termasuk produk pencuci dan peluntur adalah sebanyak 54 peratus,” katanya kepada Bernama ketika di temui di PRN di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Cik Asdariah berkata 50 peratus kes keracunan yang terjadi pada kanak-kanak dan boleh dikatakan setiap hari PRN menerima panggilan atau kes keracunan membabitkan kanak-kanak.

“Setiap hari, PRN akan mendapat 10 ke 20 panggilan pada waktu pejabat dan jika malam, biasanya kami akan peroleh dalam 10 panggilan yang mana dalam tiga panggilan selalunya satu kes pasti membabitkan kanak-kanak.

“Kes keracunan kanak-kanak yang kerap terjadi biasanya disebabkan banyak faktor dan ia selalu tidak sengaja, lazimnya membabitkan peluntur, sabun serbuk, sabun mandi, sabun basuh kain, pencuci yang tidak diletak di tempat sepatutnya atau di tempat tersembunyi oleh orang dewasa.

“Paling kerap terjadi, contohnya seseorang individu dalam isi rumah itu meletakkan bahan yang disebutkan tadi dalam cawan dengan niat untuk letak sekejap saja, apabila datang kanak-kanak mereka ingatkan minuman dan terus minum,” katanya.

Selain itu Cik Asdariah berkata ada dalam kalangan anggota keluarga yang gemar meletakkan bahan-bahan itu di bahagian bawah dan kanak-kanak berusia dua atau tiga tahun melihatkan bahan-bahan (biasanya peluntur) itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan serta ingin mencubanya.

“Terbaru pada bulan lalu (Mei), kes yang diterima PRN adalah seorang daripada sebuah keluarga memindahkan cecair pencuci pinggan mangkuk Sunlight ke dalam botol minuman Vitagen, yang kemudian diletakkan dalam peti sejuk.

“Tidak pasti bagaimana ia boleh berada di dalam peti sejuk, mungkin ada ahli keluarga lain terlihat botol minuman ini di atas meja lalu meletakkannya ke dalam peti sejuk.

“Kemudian, botol minuman yang ada dalam peti sejuk itu diminum oleh seorang anggota keluarga, kita perlu berhati-hati dengan perkara seperti ini,” katanya.

Cik Asdariah berkata adalah perlu bagi setiap ibu bapa dan juga masyarakat memiliki kepekaan tinggi berhubung kes keracunan yang kerap terjadi di kediaman sendiri bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini membabitkan keracunan, segera dapatkan rawatan di hospital atau menghubungi PRN untuk mendapatkan maklumat lanjut apa yang perlu dilakukan segera.

PRN adalah satu-satunya pusat rujukan maklumat bagi kes keracunan di Malaysia.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan