Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

90% mahasiswa S'pura tidak sedar gula tersembunyi dalam makanan, minuman

Sehingga 90 peratus mahasiswa di Singapura gagal mengenal pasti gula yang tersembunyi dalam makanan dan minuman yang diambil.

Anggaran Waktu Membaca:
90% mahasiswa S'pura tidak sedar gula tersembunyi dalam makanan, minuman

(Gambar: Howard Law)

Diterbitkan : 08 Feb 2018 12:53PM Dikemas Kini : 24 Feb 2018 12:24AM

SINGAPURA: Sehingga 90 peratus mahasiswa di Singapura gagal mengenal pasti gula yang tersembunyi dalam makanan dan minuman yang diambil.

Demikian menurut dapatan tinjauan yang dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada Isnin (29 Jan).

Tinjauan itu dijalankan ke atas 382 peserta dalam lingkungan usia antara 18 dengan 24 tahun dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan NTU. Ia mendapati kebanyakan responden tidak memeriksa label khasiat pemakanan serta senarai bahan-bahan yang tertera pada produk yang dibeli.

Menurut para mahasiswa yang ditinjau antara sebabnya mereka tidak melakukan sedemikian adalah kerana tidak mempunyai masa, ia melecehkan atau terlupa.

Malangnya sikap golongan muda yang cenderung untuk tidak mengaitkan diri mereka dengan kemungkinan diserang penyakit berkaitan gula seperti kencing manis, kegemukan dan penyakit jantung, mungkin meletakkan mereka dalam risiko lebih tinggi untuk menghidapinya, menurut pakar-pakar.

"Khususnya bagi generasi muda - Saya rasa mereka tidak begitu menyedari (tentang kesannya ke atas kesihatan). Walaupun mereka menontonnya di kaca televisyen, mereka tidak menghiraukannya," kata Cik Jaclyn Reutens, seorang pakar diet di Aptima Nutrition & Sports Consultants.

Seorang lagi pakar diet, dari National Healthcare Group Polyclinics, Chan Sau Ling menekankan bahawa penyakit kencing manis adalah masalah yang kian meningkat di Singapura. Perangkaan Tinjauan Kesihatan Kebangsaan 2010 menunjukkan satu daripada sembilan rakyat Singapura berusia antara 18 dengan 69 tahun terjejas olehnya.

Sekalipun begitu, sekiranya pengambilan gula dikawal pada kadar 10 peratus daripada keseluruhan pengambilan bahan yang memberi tenaga, ia boleh mengurangkan risiko kegemukan dan penyakit-penyakit berkaitan seperti kencing manis, kata beliau.

Gula yang tersembunyi adalah gula yang sama ada ditambah ke dalam makanan dan minuman oleh pihak pengilang atau yang wujud secara semula jadi dalam madu, sirap dan sari jus buah-buahan.

Makanan dan minuman yang paling kerap diambil oleh para peserta adalah snek seperti biskut berperisa atau kerepek kentang; kek dan biskut-biskut bergula; serta produk-produk tenusu seperti yogurt dan susu.

Minuman pula termasuk yang bukan bergas seperti teh hijau (green tea), barli, susu kacang soya, jus buah-buahan dan minuman isotonik yang manis.

Perbincangan berkumpulan yang diadakan selepas tinjauan tersebut mendedahkan sebahagian daripada peserta mengambil sehingga empat minuman bergula sehari.

Golongan muda dalam lingkungan umur antara 18 dengan 39 tahun lebih kerap mengambil minuman manis berbanding yang lebih berusia, menurut dapatan Tinjauan Khasiat Kebangsaan 2010.

Mereka yang berusia antara 18 dengan 29 tahun pula lebih cenderung untuk memakan pencuci mulut dan snek.

Tinjauan itu dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen Gula Tersembunyi, Risiko Tersembunyi yang dilancarkan oleh mahasiswa tahun empat NTU untuk menggalak golongan muda supaya memilih makanan yang lebih menyihatkan.

Sumber : CNA/NK/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan