Images
  • jewel main
    Air terjun buatan ikonik di Jewel Lapangan Terbang Changi. (Gambar-gambar: Lapangan Terbang Changi)

9 sudut menakjubkan untuk bergambar di Jewel Lapangan Terbang Changi

SINGAPURA: Bagi anda yang pernah atau berura-ura untuk mengunjungi Jewel Lapangan Terbang Changi sempena cuti sekolah ini, sudah pasti anda akan tertarik dengan seni binanya yang memukau dan suasana menghijau lagi indah.

Manakan tidak, kompleks riadah dan runcit itu, yang dilengkapi dengan air terjun buatan ikonik dan dihiasi 3,000 pokok dan 100,000 tumbuh-tumbuhan dari merata dunia, menarik perhatian dunia setelah disenarai pendek bagi Anugerah Pesta Seni Bina Sedunia 2019.

Lantaran itu, anda pasti tidak mahu ketinggalan memetik gambar-gambar buat kenangan atau dikongsi dengan kenalan di media sosial seperti Instagram atau Facebook.

Berikut adalah panduan mudah yang menampilkan tempat-tempat terbaik untuk bergambar secara teratur – dari aras paling tinggi hinggalah ke aras bawah tanah. Anda tidak usah lagi terkial-kial mencari sudut-sudut bergambar yang paling menarik semasa kunjungan anda seterusnya.


1. Nikmati pemandangan landskap dari Cloud9 Piazza


Anda akan berasa seolah-olah berdiri di kayangan pada ketinggian ini.


Tenangkan fikiran sambil melihat Sky Train bergerak lalu dan orang ramai bersiar-siar dari jauh.


Ruang Piazza yang begitu luas ini sesuai untuk bergambar secara berkumpulan atau bersiar-siar.

Dari aras tertinggi Jewel ini, anda akan boleh menatap pemandangan keseluruhan Jewel yang menakjubkan. Anda disyorkan menggunakan lensa sudut lebar untuk menonjolkan keluasan ruang ini.

Lokasi: Aras 5, Canopy Park

2. Bergaya dengan haiwan-haiwan pameran hortikultur di Topiary Walk


Berhenti sejenak di kolam air ini untuk bergambar sedang anda bersiar-siar dengan orang-orang tersayang.


Awas! Jangan sampai dibaham oleh buaya ini.

Gunakan daya imaginasi anda semasa bergaya dengan arca-arca bunga berbentuk haiwan-haiwan seperti kera, burung kakak tua, merak dan lain-lain.

Arca-arca diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan susunan bunga yang membentuk rupa haiwan, menyediakan latar belakang yang sesuai untuk bergaya dengan keluarga atau teman bagi merakam kenangan manis untuk diimbas kembali. 

Lokasi: Aras 5, Canopy Park

3. ‘Klon’ diri anda dengan mengambil ‘selfie’ di Mirror Maze

Kelilingi diri anda dengan ‘kembar’ anda sendiri di Mirror Maze. Penataan cahaya yang kelihatan semula jadi memudahkan anda untuk menonjolkan daya kreatif dan mencari sudut terbaik untuk menggayakan pakaian pilihan seharian anda (OOTD).

Lokasi: Aras 5, Canopy Park

4. Meninjau-ninjau warna-warni kebun bunga Petal Garden

Anda pasti tidak mahu terlepas peluang untuk bergaya di kebun bunga Petal Garden sebelum anda turun ke aras bawah. Gambar-gambar yang dipetik di sini dengan dikelilingi beraneka macam bunga warna-warni tentu akan menyerikan akaun Instagram anda.

Lokasi: Aras 5, Canopy Park

5. Rakamkan pemunculan pelangi di air terjun Rain Vortex

Memang ramai yang pernah memetik gambar Rain Vortex. Namun tidak ramai yang mengetahui tentang penjelmaan pelangi di tapak air terjun buatan itu. Anda boleh berhenti seketika di Lobi H di luar YotelAIR selepas turun dari aras 5.

Cahaya matahari yang terpancar menerusi panel-panel kaca di bumbung pada sudut tertentu bertembung dengan kabut yang dihasilkan air terjun untuk menjelmakan pelangi di sekeliling Rain Vortex.

Dalam keadaan cuaca baik, anda disyorkan untuk memetik pemandangan luar biasa ini antara 3.00 petang hingga 5.00 petang.

Lokasi: Aras 4, di luar YotelAIR

6. Nikmati pemandangan panorama di Viewing Deck


Ketika meninjau-ninjau laluan East Trail, jangan lupa untuk berhenti seketika di Viewing Deck di aras 2 untuk menikmati pemandangan sekeliling Jewel yang terbentang luas.

Anda boleh menggunakan telefon bimbit atau kamera untuk merakam pemandangan panorama keseluruhan aras Forest Valley bagi menghasilkan gambar yang menakjubkan.

Lokasi: Aras 2, East Trail

7. Bergambar dengan latar belakang wahah (oasis)dan menara ikonik Changi


Belok kiri dari laluan East Trail untuk menuju ke taman South Gateway yang menawarkan latar belakang yang lain daripada yang lain.

Dilengkapi dengan pokok-pokok palma seolah-olah di wahah di tengah pandang pasir dan pemandangan dekat Menara Kawalan Lalu Lintas Udara Changi, gambar-gambar yang dipetik di sini pasti akan menarik minat kenalan media sosial anda.

Lokasi: Aras 2, bertentangan dengan pintu masuk utama Jewel

8. Bergaya depan air terjun kecil Cataract Falls dikelilingi suasana menghijau

Meskipun air terjun Rain Vortex merupakan daya tarikan utama di Jewel, air terjun Cataract Falls yang dikelilingi tumbuh-tumbuhan menghijau Forest Valley juga mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.


Susunan air terjun kecil ini boleh dijadikan latar belakang sesuai untuk dipadankan dengan pakaian yang digayakan di tangga-tangga di sekitar Cataract Falls.

Lokasi: Aras 1, East Trail

9. Rakam gerak perlahan berlatar belakang air terjun di Immersion Garden


Anda tidak hanya boleh bergambar pada siang hari kerana Jewel juga menawarkan pemandangan indah pada sebelah malam. Turun ke Besmen 2 di mana terletak Immersion Garden di bawah tapak Rain Vortex.

Latar belakang air terjun yang mencurah-curah menyediakan kesan estetik yang menarik. Ini menyediakan peluang bagi anda untuk mencuba fungsi gerak perlahan atau ‘slow-motion’ pada kamera anda ketika merakam bayangan air terjun.

Lokasi: Besmen 2, di tapak Rain Vortex 

- Agensi berita/ZM/zm

Top