Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

9 manfaat limau nipis untuk kecantikan kulit wajah dan rambut

Sememangnya, limau nipis, sejenis buah jenis sitrus yang masam, tetapi ia mempunyai khasiat kesihatan yang tidak kurang hebatnya dengan kandungan vitamin C.

Anggaran Waktu Membaca:
9 manfaat limau nipis untuk kecantikan kulit wajah dan rambut

Ilustrasi limau nipis. (Gambar: Pexels/Lisa Fotios)

Diterbitkan : 22 Jan 2021 11:35PM Dikemas Kini : 23 Jan 2021 01:30AM

INDONESIA: Sememangnya, limau nipis, sejenis buah jenis sitrus yang masam, tetapi ia mempunyai khasiat kesihatan yang tidak kurang hebatnya dengan kandungan vitamin C.

Bukan itu sahaja, limau nipis juga mempunyai banyak manfaat kecantikan, termasuk bagi kulit wajah dan rambut.

Berikut adalah beberapa rahsia rawatan kecantikan menggunakan limau nipis yang dikongsi laman Merdeka.com:

1. ATASI KELEMUMUR

Salah satu manfaat limau nipis yang paling diketahui ramai adalah ia dapat mengatasi masalah kelemumur.

Jus limau nipis sangat berkesan membunuh bakteria dan kulat yang boleh menyebabkan masalah kelemumur. Ia juga dapat mengurangkan rasa gatal di kulit kepala.

2. KUATKAN RAMBUT

Anda juga boleh menggunakan air limau nipis untuk membilas rambut kerana kandungan vitamin C yang dapat menguatkan batang rambut.

Ini juga dapat menjadikan rambut anda lebih berkilat.

3. ATASI KULIT KEPALA BERMINYAK

Kulit kepala yang berminyak pastinya membuat anda rasa tidak selesa. Limau nipis boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini.

Anda hanya perlu menyapu air limau nipis ke kulit kepala dan akar rambut, biarkan buat beberapa minit dan kemudian bilas hingga bersih.

4. CEGAH KEGUGURAN RAMBUT

Air limau nipis ternyata merangsang pertumbuhan rambut kerana kandungan vitamin C.

Anda boleh menggunakan air limau nipis ini sebagai tonik rambut semulajadi - sapukannya di kulit kepala. Kemudian urut dengan lembut agar peredaran darah di kulit kepala lebih lancar dan khasiat buah ini dapat diserap.

5. ATASI JERAWAT

Limau nipis juga dapat mencegah bakteria dan kuman penyebab jerawat dan amat sesuai buat penjagaan kulit.

Namun, air limau nipis ini juga boleh menyebabkan iritasi dan rasa pedih bagi anda yang mempunyai kulit sensitif.

Lantas, lebih baik jika ia dicampurkan dengan air atau bahan-bahan lain dahulu sebelum menggunakannya.

6. ATASI MATA BENGKAK

Limau nipis juga dapat mengatasi masalah mata bengkak, atau 'eyebags' serta menyegarkan mata.

Celupkan kapas ke dalam air limau nipis yang sudah ditambah air dan kemudian letakkannya atas kelopak mata anda.

7. HILANGKAN BINTIK HITAM PADA KULIT WAJAH

Anda juga dapat menghilangkan bintik-bintik hitam pada kulit muka dengan menggunakan limau nipis.

Anda hanya perlu mencelup putik kapas atau 'cotton bud' ke dalam air limau nipis dan sapukannya kepada bahagian muka yang mempunyai bintik hitam.

Jika anda memiliki kulit sensitif, jangan lupa untuk dicampurkan dengan air dahulu.

8. CERAHKAN KULIT WAJAH

Limau nipis juga dapat mencerahkan kulit wajah. Buat campuran menggunakan yogurt dan air limau nipis.

Sapukan pada muka dan biarkan selama 15 minit. Setelah itu, bilas muka sehingga bersih.

9. JADIKAN KULIT BERKILAT

Jika anda ingin kulit kelihatan berkilat atau 'glowing', campuran limau nipis ini amat berguna untuk menghilangkan minyak di muka tapi.

Campurkan dua sudu makan tepung beras, satu sudu teh kunyit dan empat sudu makan air limau nipis.

Terapkan campuran ini pada muka yang sudah dibersihkan dahulu dan biarkan selama 15-30 minit. Setelah itu, bilas muka dengan air yang bersih.

Campuran ini dapat membaiki tekstur kulit membuatnya menjadi kenyal dan cerah. Lakukan rawatan ini sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk melihat kesannya.  

Sumber : Agensi berita/NJ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan