Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

8 petua untuk elakkan rendang cepat basi

Setelah peraturan 'circuit breaker' dilonggarkan bermula 2 Jun nanti, mungkin ada yang akan masak rendang lagi demi menyambut anggota keluarga yang datang melawat. Jadi, demi memastikan rendang anda tidak cepat basi, cubalah 8 petua berikut.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bayangkan senario ini. Lauk rendang baru sahaja anda masak tengah hari semalam. Tapi esoknya lauk tersebut sudah mula berbau masam walaupun sudah masak lama di atas api.

Silap hari bulan, satu periuk rendang perlu dibuang kerana sudah rosak. Maka terkontang kanting juga bekalan ketupat, lontong dan lemang yang masih ada tetapi tidak dapat dimakan dengan rendang tersebut.

Sedangkan selalunya lagi lama rendang dipanaskan, rasanya lebih meresap dan enak. Tapi, ini sebaliknya yang berlaku.

Persoalannya, apa dan di mana silapnya? Kenapa rendang anda cepat basi walaupun berjam-jam lamanya anda memasaknya?

Setelah peraturan 'circuit breaker' dilonggarkan bermula 2 Jun nanti, mungkin ada yang akan masak rendang lagi demi menyambut anggota keluarga yang datang melawat. Jadi, demi memastikan bahawa pisang tidak berbuah dua kali, dan rendang anda tidak cepat basi, cubalah 8 petua berikut:

8 PETUA MASAK RENDANG

1. Goreng daging dan ayam setengah masak

Cara ini dapat membuat lauk tahan lebih lama. Goreng daging atau ayam tanpa air dan minyak selama beberapa minit dan ketepikan dulu. Selain menggoreng, anda juga boleh salutkan dengan rempah dan bakar seperti membuat ayam percik. Dengan demikian, daging akan menjadi lebih kering dan tidak berair. Kalau daging kering, bila masak lauk ia tidak mudah rosak.

2. Santan kualiti

Tak kiralah sama ada lauk-pauk atau kuih-muih. Hidangan yang cepat rosak atau basi selalunya mengandungi bahan santan. Tapi, jika menggunakan santan segar bermutu ia bukan saja dapat membuat sajian bertahan lebih lama, rasa enak dan lemaknya juga berbeza. Lauk lebih ‘kick’ dan lambat rosak jika dimasak dengan betul.

3. Pecah minyak

Proses ini sangat penting dalam semua masakan. Bila menumis rencah, pastikan bahan-bahannya sudah betul-betul garing dan pecah minyak. Apabila minyak sudah pecah, warna tumisan akan bertukar menjadi lebih gelap dan selalunya minyak tumisan dalam kuali akan terpercik. Selepas ini, barulah boleh masukkan daging atau ayam dan gaul rata.

4. Biarkan rendang kering

Memastikan rendang dimasak sampai kering merupakan proses yang sangat penting. Ia dapat mengelakkannya daripada mudah rosak atau basi. Biarkan kandungan air dalam masakan serap kerana proses ini akan membuat daging menjadi lebih lembut dan tidak liat.

(Gambar ihsan: Haizam Omar)

(Gambar ihsan: Haizam Omar)

5. Tutup periuk

Jangan terus tutup periuk yang berisi rendang sejurus saja api dipadamkan. Jika anda lakukan demikian, wap akan terkumpul dan masuk ke dalam lauk rendang. Inilah antara punca yang membuat rendang mudah rosak. Malah, bukan rendang saja, kalau masak lauk lain pun sama juga.

Jika perlu tutup periuk semasa lauk lagi panas, pastikan untuk renggangkan sedikit penutupnya. Sebaik-baiknya tunggu hingga periuk benar-benar sejuk baru boleh tutup.

6. Periuk dan bekas kering

Pastikan periuk atau bekas kering tidak berair adalah penting. Jika ingin menyimpan rendang di dalam bekas, pastikan ianya kering dan bersih dan tidak berbau. Elakkan menyentuh lauk dengan tangan, gunakan senduk atau sudip yang kering dan bersih.

Begitu juga jika anda ingin mengalihkan rendang ke dalam periuk atau kuali untuk dipanaskan. Pastikan periuk dan kuali benar-benar kering di atas api sebelum masukkan rendang. Dengan demikian, ia boleh bertahan lebih lama.

7. Beku

Jika ingin simpan rendang di dalam peti ais, letakkannya di bahagian yang pembeku. Sebelum itu, letakkan rendang ke dalam beberapa bekas kecil. Ia akan memudahkan bila ingin panaskan rendang. Ambil 1-2 bekas untuk dipanaskan dan yang lain boleh disimpan dan tidak disentuh. Lantas, membuatnya tahan lebih lama di dalam peti sejuk.

8. Elak campur lauk

Jika tidak habis makan rendang, usah campurkan sisa rendang berkenaan ke dalam periuk. Ia boleh mencemarkan lauk yang ada di dalamnya. Sebaliknya, asingkan ke dalam bekas yang lain dan panaskan sebelum menikmatinya lagi.


Mudah bukan? Cubalah petua-petua tersebut semoga kita tidak membazir rendang - Hari Raya ataupun bukan Hari Raya.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan menarik bulan Syawal: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan