Images
  • fruits

8 petua menarik makan minum untuk kita yang berpuasa

BERITAmediacorp: Diam tak diam, sudah lebih separuh bulan kita berpuasa. Hakikatnya, tidak pernah terlambat untuk mengamalkan pemakanan yang baik, sama ada semasa permulaan, pertengahan ataupun penghujung puasa. Malah ataupun semasa bukan bulan puasa.

Bezanya cara pemakanan kita pada bulan Ramadan ialah kita menikmati makan pada sebelah malam. Oleh itu, dianggap lebih baik jika kita dapat membahagikan waktu makan kita kepada beberapa waktu hidangan. Ini agar makanan yang dimakan tidak membebankan perut secara mendadak dan keterlaluan.

Sejujurnya, berapa ramaikah di antara kita yang akan memikirkan tentang nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan semasa berbuka?


Lebih-lebih lagi dengan adanya bazar-bazar Ramadan di sana sini yang menjual pelbagai pilihan sajian dan minuman warna-warni yang amat menyelerakan. Jadi rambang mata kita jadinya. Hakikatnya, ramai yang kalah nafsu makan akan membeli bermacam-macam makanan untuk berbuka.

Betul, tidak salah untuk membeli makanan kegemaran anda. Tapi tidak kurang penting ialah mengamalkan kesederhanaan dan keseimbangan. Cubalah memilih makanan yang berkhasiat!

Ini 8 petua pemakanan yang boleh anda amalkan:

TAHUKAH ANDA…

  • ULU HATI PEDIH - Makanan bergoreng dan berlemak sering jadi punca ketidakhadaman dan akan membuat ulu hati menjadi pedih.
  • TERLALU MANIS - Makanan yang terlalu manis tidak dapat kekal lama sebab ia mudah dihadam dalam masa yang singkat. Lantas, bagi yang terlalu banyak makan gula atau makanan manis akan cepat rasa letih.
  • TERLALU PEDAS - Makanan berempah yang rasanya terlalu pedas harus dielak atau dikurangkan kerana ia dapat merangsang pengeluaran asid gastrik. Jika anda ada masalah gastrik, elakkan makanan seperti ini.
  • KESAN AIR GAS DAN KAFEINA - Minuman berkafein dan air berkarbonat tidak dapat menghilangkan tekak yang dahaga. Sebaliknya, ia akan membuat anda lebih kerap buang air dan mempercepatkan kehilangan air.
  • JENIS AIR TERBAIK - Jus buah-buahan berkhasiat, susu dan air jarang merupakan pilihan yang tepat apabila berbuka puasa. Pastikan anda minum banyak air semasa berbuka dan sahur kerana ia dapat membantu mengekalkan cecair dalam tubuh sepanjang hari.
  • CARA MINUM 8 GELAS AIR - Bagaimana hendak ambil lapan gelas air sehari? Caranya, minum segelas semasa berbuka dan selepas makan. Kemudian minum dua gelas di antara bertarawikh. Dua gelas sebelum tidur dan semasa bersahur.
  • PENGGANTI KOPI, TEH - Jika anda tak boleh hidup tanpa kopi dan teh, cuba gantikan kopi ‘kaw’ dan teh biasa dengan teh herba pudina atau the hijau yang baik untuk hidrasi tubuh.

TAKTIK MAKAN SEMASA BERBUKA

Walaupun metabolisme badan akan menurun pada siang hari dan menjejas tenaga, ia tidak bermakna apabila anda berbuka anda perlu makan sampai dua, tiga pinggan untuk ‘balas balik’ sarapan, makan tengah hari dan teh petang!


Sebaik-baiknya mulakan berbuka dengan buah kurma yang kaya dengan serat dan ia dapat membekalkan gula pada tubuh. Kemudian barulah makan sajian ringan dan sihat seperti sup, bubur lambuk, salada atau kuih-muih.


Rehatkan perut sekejap lebih kurang 30 minit dan barulah makan sajian utama seperti pasta, mi, nasi dan sebagainya. Jika anda makan keterlaluan tanpa henti semasa berbuka, perut boleh menjadi senak untuk menerima makanan selepas 12 jam tidak berisi.

PENTINGNYA ELAK ‘TERLALU MASIN’ SEMASA SAHUR

Walaupun bangun pagi-pagi buta dan waktu makannya terhad, anda digalakkan untuk bersahur agar dapat kekal sihat, segar dan bertenaga pada siang hari. Jika tak bangun sahur dan sebaliknya makan berlebihan semasa berbuka, anda akan mudah mengalami masalah pencernaan dan penghadaman.

Kalau boleh, elakkan makan makanan yang terlalu masin atau bergaram seperti makanan segera (processed food) semasa bersahur kerana ia akan membuat anda mudah haus. Juga, elakkan kopi atau minuman bergas.



Cubalah bersahur dengan sajian berserat dan protein yang tinggi seperti roti jagung dan bijirin oat. Padankan oat dengan buah-buahan segar seperti buah tin, pisang, kurma, kismis, strawberi, raspberi dan lain-lain. Bukan saja enak, oat mempunyai kandungan karbohidrat dan fiber yang tinggi selain antioksidan dan mineral. Ia juga dapat turunkan kolesterol, mengawal kadar gula dan melawaskan perut.

CARA-CARA MUDAH CERGASKAN DIRI

Menjadi satu perkara biasa untuk seseorang mudah mengantuk dan rasa malas pada siang hari. Anda tidak digalakkan tidur sampai berjam-jam lama. Tapi jika perlu rehat seketika, tidurlah antara 15–20 minit. Jika sedang bertugas, cubalah untuk rehat dengen menggerakkan kaki dan tangan dengan berjalan selama 5–10 minit di dalam pejabat.


Pada hari-hari lain, jika berkesempatan, teruskan aktiviti bersenam satu jam sebelum berbuka. Lakukan senaman ringkas atau lari-lari anak jarak yang dekat. Tubuh dapat membakar lemak lebih cepat semasa perut kosong. Bolehlah tampil langsing pada Hari Raya nanti! 

- BERITAmediacorp/fz

Top