Images
  • chilli
    (Gambar: Unsplash)

8 petua kurangkan pedas dalam masakan

KUALA LUMPUR: Ketika sedang leka memasak, kadangkala kita terletak cili berlebihan dalam masakan sehingga ia terasa terlalu pedas.

Bagi mereka yang tahan makan pedas, ini tidak menjadi suatu masalah. Namun, jika anda mempunyai anggota keluarga yang tidak kuat makan pedas, mereka mungkin tidak dapat menikmati masakan yang dihidangkan.

Kadangkala ketika sedang memasak, kita tidak sedar bahawa jenis cili yang digunakan mempunyai tahap kepedasan yang berbeza.

Oleh itu, ia agak sukar untuk menentukan bilangan cili yang perlu dimasukkan dalam masakan.

Berikut adalah beberapa petua dan cara untuk kurangkan rasa pedas dalam masakan anda:

1. Tambahkan gula atau madu

Rasa pedas dapat dikurangkan dengan mengimbangi semula rasa masakan.

Untuk kurangkan rasa pijar pedas, tambahkan beberapa sudu gula atau madu dalam masakan.

2. Guna limau/cuka/asam jawa

Bahan perasa lain juga boleh digunakan untuk membetulkan rasa dalam masakan anda seperti perisa masam dari cuka, asam jawa, asam keping atau jus limau.

Pastikan anda berhati-hati dan masukkan bahan perasa ini sedikit demi sedikit supaya ia tidak merosakkan rasa lauk.

3. Masukkan kentang

Selain daripada menggunakan bahan perasa, anda juga boleh memasukkan kentang untuk mengurangkan rasa pedas dalam masakan.

Kentang sering digunakan dalam masakan untuk meneutralkan rasa masakan jika ia terlalu masin.

Anda hanya perlu memasukkan satu atau dua biji kentang dan masak sehingga ia menjadi empuk.

Kentang juga mampu menyerap kembali rasa pedas dan membetulkan rasa pada makanan yang dihidangkan.

4. Tambah santan/susu

Satu lagi petua bagi mengurangkan tahap pedas dalam masakan adalah dengan menambahkan produk tenusu seperti susu, yogurt atau keju bergantung pada kesesuaian masakan.

Santan juga boleh digunakan sebagai alternatif bahan tenusu. Selain daripada dapat mengurangkan rasa pedas, santan boleh menambahkan rasa lemak dan membuat lauk itu lebih pekat.

5. Hirisan bawang besar

Hiriskan bawang besar lalu masukkannya ke dalam masakan yang terlebih pedas itu.

Jumlah bawang yang ingin dimasukkan pula bergantung pada citarasa dan masakan anda.

6. Tomato

Tomato juga sangat berguna untuk mengurangkan rasa pedas dalam masakan yang menggunakan banyak cili padi seperti sambal belacan dan sambal goreng berlada.

Anda boleh gantikan beberapa batang cili kepada 2 atau 3 biji tomato untuk mengekalkan rasa pedas dalam masakan.

Selain itu, bergantung pada jenis masakan, jika anda masak sambal, pastikan anda kisar tomato bersama cili dan tumiskan kedua-dua bahan itu seperti biasa.

Jika anda memasak lauk-pauk, anda boleh potong tomato kepada 4 hingga 6 bahagian.

Sos atau pes tomato juga boleh digunakan jika anda tidak mempunyai sebarang buah tomato di rumah.

Rasa buah tomato yang masam akan mengimbangi rasa pedas yang melampau, malah menambah kepada kelazatan masakan itu.

7. Mentega Kacang

Cara ini untuk mengurangkan rasa pedas dalam masakan mungkin agak pelik bagi sesetengah orang.

Namun, ada yang berpendapat bahawa kandungan lemak semulajadi dalam kacang dapat menyerap lebihan rasa pedas dalam masakan di samping menonjolkan lagi rasa masakan.

Untuk menggunakan mentega kacang dalam masakan, panaskan mentega itu dahulu supaya ia mudah sebati dalam masakan.

Jika tiada mentega kacang, anda boleh gunakan kacang tanah yang sudah digoreng atau dibakar sebagai alternatif.

8. Pilih cili berkedut dan kerinting

Akhir sekali, ketika memilih cili kering untuk digunakan dalam masakan, pastikan anda tidak pilih cili kering yang berbentuk lurus dan berkilat.

Ini kerana jenis cili sedemikian lazimnya mengandungi banyak biji dan sememangnya pedas.

Cili kering mungkin kelihatan sama sahaja, namun jika diteliti, ia mempunyai pelbagai rupa bentuk mengikut jenis dan tahap kepedasannya.

Untuk masakan yang kurang pedas, pastikan anda guna cili kering yang jenis berkedut dan berkerinting. Cili kering jenis itu sangat sesuai untuk masak lauk seperti sambal goreng dan sambal tumis.

Rasa pedasnya masih terkawal dan ia boleh dikatakan 'pedas-pedas manja' sahaja.

Namun jika anda ingin kurangkan lagi rasa pedasnya, anda boleh buang semua biji cili dan rebuskan cili kering itu dalam air panas buat tempoh singkat.

Selepas itu, anda boleh kisar cili kering itu seperti biasa.

- Agensi berita/HA/sm

Top