Images
  • shea butter 3
    Mentega shea bagus untuk mengatasi iritasi atau masalah kegatalan pada kulit. (Gambar: Shutterstock)

7 manfaat mentega shea untuk atasi masalah kulit

INDONESIA: Tidak ramai orang tahu akan manfaat mentega shea atau 'shea butter'. Bukan sahaja bagus untuk kecantikan, mentega shea juga bagus untuk mengatasi iritasi atau masalah kegatalan pada kulit. Ini kerana sifat antiradang yang ada padanya.

Mentega shea merupakan lemak yang diekstrak dari kacang pokok shea. Ia memang selalu digunakan sebagai bahan kosmetik kerana kandungan vitamin dan asid lemaknya yang tinggi, menjadikannya produk yang sesuai buat kulit.

Berikut adalah manfaat mentega shea untuk kesihatan kulit yang dikongsi oleh laman Merdeka.com:

1. MELEMBAPKAN KULIT


(Gambar: mohamed Hassan/Pixabay)

Mentega shea boleh digunakan sebagai pelembap kulit kerana kandungan asid lemak yang dimilikinya termasuk asid linoleik, asid oleik, asid stearik, dan asid palmitik.

Ia juga mudah meresap sehingga boleh mengembalikan lipid dengan cepat tanpa menyapunya di muka berulang-ulang kali. Ini amat baik bagi sesiapa yang mempunyai masalah kulit kering.

2. ANTIRADANG

Kajian menunjukkan bahawa mentega shea ini mempunyai sifat antiradang dan jika digunakan untuk kulit, ia dapat memicu perlambatan sitokin dan sel-sel radang yang lain.

Dengan ini, ia dapat membantu mengurangkan iritasi yang disebabkan oleh faktor-faktor seperti cuaca kering atau keadaan kulit yang meradang seperti ekzema.

3. CEGAH JERAWAT


(Gambar: Joseph Mucira/Pixabay)

Mentega shea memang kaya dengan pelbagai jenis asid lemak. Ini akan membantu membersihkan kulit anda dari minyak yang berlebihan atau sebum.

Ia juga dapat membantu dalam pemulihan keseimbangan minyak di kulit dan mencegah jerawat.

4. BANTU PUDARKAN PARUT REGANGAN

Parut regangan atau 'stretch marks' merupakan masalah yang sering dihadapi wanita, terutama sekali setelah bersalin.

Bagi anda yang mengalami masalah ini, mentega shea boleh digunakan untuk memudarkan lagi parut regangan.

5. CEGAH KEDUTAN


(Gambar: silviarita/Pixabay)

Kedut-kedutan serta garis-garis halus boleh muncul di kulit akibat stres serta faktor-faktor persekitaran yang lain.

Mentega shea dapat mencegah masalah kedutan ini oleh kerana ia dapat meningkatkan penghasilan kolagen yang bagus untuk kulit anda.

6. KURANGKAN RASA GATAL

Mentega shea juga dapat menenangkan kulit yang terjejas akibat penyakit-penyakit kulit seperti Ekzema, Dermatitis dan Psoriasis.

Ia dapat mengurangkan rasa gatal yang timbul di kulit oleh kerana sifat antiradangnya.

7. TENANGKAN KULIT TERBAKAR


(Gambar: Pixabay)

Dengan cuaca yang panas terik ini, pasti ada yang mengalami masalah kulit terbakar jika berjemur di bawah sinar matahari terlalu lama.

Mentega shea berkesan mengurangkan kemerah-merahan dan bengkak akibat sinar matahari kerana ciri antiradangnya.

Kandungan asid lemak juga dapat menenangkan kulit dengan mempertahankan kelembapan selama proses penyembuhan. 

- Agensi berita/NJ/nj

Top