Images
  • Subway Singapore
    (Gambar: Subway Singapore/Facebook)

60 restoran Subway tidak lagi jual daging babi; sudah temui MUIS bincang sijil halal

SINGAPURA: Restoran Subway yang terkenal dengan pelbagai jenis roti sanwic "sudah menunjukkan minat untuk mendapatkan pensijilan halal bagi cawangan-cawangannya”.

Demikian pengesahan dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

MUIS menerusi catatan di laman Twitter kendaliannya, HalalSG, semalam (1 Feb) menyatakan pihaknya sudahpun mengadakan "beberapa rundingan" dengan Subway "untuk membantu restoran itu membuat persediaan".

Sekalipun begitu, MUIS menambah, sejauh ini pihaknya "masih belum menerima sebarang permohonan bagi sijil Halal daripada mereka (Subway)" dan memberi peringatan kepada masyarakat Islam supaya membuat pertimbangan sendiri sebelum menikmati beraneka sanwic di sana.


Petikan gambar catatan Twitter HalalSg.

Menjawab pertanyaan BERITAMediacorp, Subway nampaknya enggan memberikan jawapan pasti. Ia setakat menyatakan: “Buat masa ini 60 cawangan kami tidak menjual daging babi. Terus ikuti perkembangan Subway di Facebook dan laman kami.”

Rabu lalu (31 Jan), Subway juga memuat naik senarai cawangan restorannya yang tidak lagi menjual daging babi. Ini termasuk di Bugis Junction, Causeway Point, Punggol Plaza, Downtown East dan Jurong Point.

SUBWAY: PERLU HALAL ATAU TIDAK?

Tinjauan BERITAMediacorp di media sosial mendapati, ia dialu-alukan ramai anggota masyarakat Melayu/Islam.

Warga siber, Erma Hirwan, menyatakan: "Adakah ini bermakna kita tidak perlu lagi ke Johor Baru untuk menikmati Subway setelah ia halal (di sini)?"

Seorang lagi warga siber, El Chico Bueno, pula melahirkan rasa gembiranya: "Yay! Akhirnya saya boleh makan Subway di Singapura."

Meskipun ramai yang menyambut baik pengumuman itu, terdapat sebahagian masyarakat yang meluahkan rasa tidak setuju adengan perubahan tersebut. Ini kerana ia bermakna menu tertentu yang disediakan Subway akan dimansuhkan dan digantikan dengan daging halal.

Ling Chua, meninggalkan komen di laman Facebok Subway dan berkata: "Nampaknya saya perlu berhenti menjadi pelanggan di cawangan (Subway) Toa Payoh. Sanwic kegemaran saya adalah Italian BMT. Selamat tinggal Subway!

Warga siber, Victor Ling, berkata: "Tiba masanya untuk memboikot Subway. Saya gemarkan daging babi." 

Di tengah-tengah perbahasan hangat tentang sama ada Subway perlu mendapatkan sijil halal atau tidak, terdapat juga saranan yang menyatakan bahawa ia boleh mewujudkan sebahagian restoran dengan sijil halal manakala sebahagian yang lain tanpa sijil halal. Ini supaya ia dapat memenuhi keinginan dan cita rasa pelbagai pelanggan.

Sekiranya Subway meneruskan rancangannya itu, ini bermakna ia menjadi sebuah restoran halal setelah sekitar 12 tahun bertapak di Singapura. 

- BERITAMediacorp/nk

Top