Images
  • holiday cuti
    Pemandangan di Santorini (Gambar: Pixabay/Michelle Maria)

6 tip atasi 'holiday blues' lepas pulang bercuti

SINGAPURA: Bercuti ke luar negara pasti suatu pengalaman yang menyeronokkan. Yang tidak menyeronokkan pula adalah apabila seseorang perlu pulang ke tanah air dan bersiap untuk kembali ke kerja - atau dalam istilah hari ini, 'holiday blues'.

Namun bagaimana untuk meringankan rasa keberatan untuk kembali kepada kehidupan biasa ini dan mengekalkan rasa gembira yang dirasakan apabila bercuti? Ini enam saranan ringkas untuk anda cuba.

1. KEMAS BAGASI DENGAN SEGERA

Perkara pertama yang perlu anda lakukan segera: Jangan biarkan bagasi anda terabai di sudut bilik. Segera kemaskan dan cuci kain kotor yang dibawa dan simpan beg itu di sudut yang tidak dilihat.

Lebih lama anda biarkan beg itu, lebih lamalah anda akan teringat tentang percutian anda dan berasa keberatan untuk kembali bekerja.

2. RANCANG PERCUTIAN ANDA YANG SETERUSNYA

Kehidupan seharian tentu lebih membosankan apabila percutian berakhir. Atasi rasa bosan ini dengan menyelidik dan membuat rancangan untuk percutian seterusnya pula.

Selain memberikan anda sesuatu untuk dinanti-nantikan, membuat tempahan tiket penerbangan lebih awal juga akan menjimatkan.

Tetapi jangan curi tulang dan luangkan masa kerja melungsur blog-blog percutian pula, ya.

3. LUANGKAN MASA DI LUAR

Mungkin juga 'jet lag' atau gangguan ritma harian akibat perbezaan waktu menyumbang kepada rasa murung anda. Namun jangan luangkan terlalu banyak masa terperap dalam rumah.

Sebaliknya, keluar rumah dan bersiar-siar sambil menghirup udara segar dan manfaatkan vitamin D dari cahaya matahari, yang kesemuanya akan buat anda rasa lebih bertenaga.


(Gambar hiasan: Pixabay)

4. JANGAN TERUS KEMBALI BERTUGAS

Apabila merancang percutian, jangan pulang pada saat-saat terakhir, seperti mendarat pada Ahad malam dan terus kembali bekerja pada pagi keesokan harinya.

Peruntukkan sehari atau dua hari untuk berehat agar anda dapat kembali bekerja lebih segar dan bertenaga!

5. KEMBALI PADA RUTIN ASAL

Tidur berlebihan dan melengah-lengahkan tanggungjawab hanya akan membuat anda rasa sugul. Sebaliknya, apabila anda bijak mengatur kegiatan dan kerja, minda anda menjadi terlalu sibuk untuk mengenang kembali bibit-bibit yang anda rindui semasa bercuti.

6. JUMPA SAHABAT HANDAI

Sebelum anda kembali dari bercuti, buat perancangan untuk bertemu dengan rakan-rakan dan ahli keluarga. Selain memberi peluang untuk anda berkongsi oleh-oleh bersama mereka, ia menyibukkan anda dan memberikan anda sebab baru untuk rasa bergembira di tengah-tengah kebosanan jadual seharian bekerja. 

- CNAlifestyle/TQ/tq

Top