Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

50 keluarga susah di Hougang dan Tampines terima makanan sihat percuma sehingga 31 Disember

Bermula Selasa (29 Okt), 50 keluarga berpendapatan rendah di Hougang dan Tampines, mendapat makanan percuma selama dua bulan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bermula Selasa (29 Okt), 50 keluarga berpendapatan rendah di Hougang dan Tampines, mendapat makanan percuma selama dua bulan.

Malah bukan makanan biasa, tetapi ia merupakan makanan sihat yang lazimnya lebih mahal harganya dan kurang dimampui golongan sedemikian.

Ia disediakan oleh syarikat makanan sihat, AMGD Global yang memperuntuk S$10,000 untuk program amal tersebut.

Setiap keluarga yang terpilih diperuntukkan sebanyak 50 set makanan sihat. Namun, mereka hanya boleh mengambil maksimum empat paket makanan sehari.

Kesemuanya 2,000 set makanan sihat akan diberikan sehingga hujung Disember ini.

Makanan yang disediakan segar dari dapur AMGD itu sendiri boleh mula diambil para penerima yang layak dari Isnin hingga Sabtu, dari 12.30 tengah hari - 2.00 petang untuk hidangan tengah hari,dan 6.00 petang - 7.30 malam untuk makan malam di astaka yang terletak di Hab Tampines Kita (OTH).

DAPUR TAK BERASAP SELAMA 2 BULAN

Perbelanjaan barangan dapur Cik Hanizah Hamdan, 53 tahun boleh mencecah S$200 setiap bulan. Beliau yang tidak bekerja setelah menjalani pembedahan kaki, terpaksa bergantung kepada sumbangan wang yang diberikan dua dari empat anaknya dan habuan seperti beras dan minyak yang diterima sebulan sekali.

Rezeki ibu tinggal itu ternyata amat murah sekali kerana beliau antara yang terpilih untuk menerima bekalan hidangan sihat secara percuma bernilai lebih S$10 setiap set, dari AMGD Global.

Anak keduanya, Cik Siti Zubaidah Jamil, 27 tahun, menyambut baik inisiatif itu kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan ibunya.

"Perasaan saya gembira sebab dengan makanan percuma ini, mak saya tak payah nak terfikir-fikir nak masak sebab dia pun tak sihat sangat," kata Cik Siti, seorang pegawai runcit.

Bagi Cik Hanizah pula, beliau terpanggil untuk memperkenalkan diet yang lebih sihat buat keluarganya.

"Kalau sudah ada makanan yang sihat ini, mereka pun akan sihat. Saya pun terikut. Sudah tak payah masak yang berminyak," jelas Cik Hanizah.

Cik Hanizah berserta jiran-jirannya dari kawasan Hougang dijamu makanan sihat itu semasa pelancaran program tersebut di OTH.

Pada 2017, AMGD Global melancarkan program 'AMGD Community Gives Back' khusus untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Pengasas AMGD Global, Cik Rita Zahara berkata: "Dengan inisiatif ini, kami berharap masyarakat awam dan juga mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah, dapat menikmati makanan yang berkhasiat. Dan keluarga berpendapatan rendah juga mampu merasakan apakah itu makanan yang berkhasiat dan lazat."

Sememangnya, OTH menjadi antara tempat yang sering dikunjungi golongan pelajar, termasuk untuk duduk belajar. Prihatin dengan kesihatan para pelajar, AMGD turut memperkenalkan program makanan sihat kepada mereka pada harga lebih murah berbanding biasa.

"Kami menemu ramah seramai 200 pelajar di sini dan kami dapati mereka akan membelanjakan sebanyak S$20 setiap hari bila mereka belajar di sini sepanjang hari. Jadi AMGD rasakan mungkin kami dapat menyediakan inisiatif khas untuk pelajar-pelajar di mana satu mangkuk itu hanya S$6," ujar Cik Rita.

Dengan sokongan OTH, AMGD turut menjual makanan sihat dengan harga serendah S$1 sahaja yang ditujukan kepada golongan berpendapatan rendah lain, yang bukan daripada 50 keluarga terpilih yang dibantu. Ini agar mereka juga berpeluang merasakan makanan sihat lagi bermutu tinggi.

Jika program perintis itu berjaya, AMGD berharap ia boleh meraih sokongan dana secukupnya bagi memperluaskan lagi usaha tersebut ke kawasan-kawasan yang lain. 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan