Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 tip suntik semangat anak hadapi tahun baru persekolahan

BERITAmediacorp mengumpul beberapa saranan dari pelbagai laman web yang diharapkan dapat menyuntik semangat untuk anak memulakan tahun persekolahan baru.

Anggaran Waktu Membaca:
5 tip suntik semangat anak hadapi tahun baru persekolahan

(Gambar hiasan: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 01 Jan 2020 11:39PM Dikemas Kini : 01 Jan 2020 11:48PM

SINGAPURA: Tanggal 2 Januari menandakan lembaran baru, bukan sahaja bagi golongan dewasa yang bekerja malah termasuk juga si cilik yang ke sekolah.

Jika si ibu dan ayah rata-rata akan kembali ke tempat kerja yang sama dari tahun sebelumnya, si anak pula akan menghadapi perubahan yang lebih ketara kerana akan naik darjah ataupun melangkah ke sekolah yang baru.

BERITAmediacorp mengumpul beberapa saranan dari pelbagai laman web yang diharapkan dapat menyuntik semangat untuk anak memulakan tahun persekolahan baru.

1. LIBATKAN MEREKA BELI KELENGKAPAN BARU

Laman Smile Tutor Sg menyarankan agar melibatkan anak-anak ketika keluar membeli alat kelengkapan dan keperluan sekolah. Rasa keghairahan mencari dan memperoleh barang baru sedikit sebanyak akan membuat mereka rasa ghairah untuk menggunakan peralatan baru itu di sekolah nanti.

Ajak mereka sama-sama membungkus dan melabel peralatan serta buku-buku sekolah mereka. Dengan cara ini, mereka secara tidak langsung akan 'berjinak-jinak' dengan buku-buku baru itu.

2. GALAK ANAK KONGSI KEBIMBANGAN

Jangan kata budak, kadang-kadang orang dewasa juga akan rasa gerun apabila menghadapi situasi yang baru. Lantas, laman Anxiety Canada menekankan pentingnya untuk ibu bapa bertanya kepada anak-anak mereka tentang keprihatinan mereka dan secara khusus apakah yang membuat mereka gementar tentang tahun persekolahan baru.

Laman itu menyarankan agar komunikasi terbuka dikekalkan sebelum dan selepas sekolah dibuka, agar anak itu tahu dia ada tempat mengadu jika mengalami masalah.

3. NAMPAKKAN SIFAT POSITIF

Kadang-kalanya pada hari pertama persekolahan (terutamanya jika anak itu melangkah ke sekolah baru) si ibu atau bapa yang lebih gementar berbanding anak-anak mereka. Laman Education Corner mengingatkan, jika ibu bapa menampakkan rasa gementar atau risau, si anak juga akan turut terjejas.

Tidak salah untuk berbual dengan anak tentang rasa gementar mereka, namun pujuklah dan tanamkan keyakinan agar mereka lebih bersemangat untuk ke sekolah.

4. 'UMPAN' MEREKA

Meskipun setelah mengusahakan yang terbaik, adalah lumrah untuk anak itu masih berasa sedikit gementar. Laman blog Focus on Family Sg menyarankan agar ibu bapa menjanjikan si anak sesuatu yang mudah namun menggembirakandi akhir hari persekolahan sebagai 'umpan' buat mereka.

Ia mungkin semudah menyediakan makanan kegemaran mereka atau menonton program televisyen bersama mereka. Ini akan membantu mengalihkan fikiran mereka dari rasa gementar dan menjadikan pengalaman bersekolah sesuatu yang menggembirakan.

5. KERJASAMA DENGAN SEKOLAH

Sebelum memastikan si anak bersedia untuk ke sekolah, ibu bapa terlebih dahulu perlu bersedia untuk memastikan anak itu mendapat pengalaman pembelajaran terbaik. Salah satu tip yang ditekankan laman Kementerian Pendidikan (MOE) adalah menjalin kerja sama dengan pihak sekolah.

Hubungan yang kukuh antara ibu bapa dan sekolah amat penting dalam pembelajaran si anak. Dengan kerap berhubungan dengan para guru misalnya, kedua-dua guru dan ibu bapa akan lebih memahami keperluan pembelajaran anak itu dan menyediakan sokongan sewajarnya di dalam dan luar waktu sekolah.

Hanya dengan pengalaman pembelajaran yang baik, minat seorang anak untuk belajar akan kekal.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan