Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

5 skim HDB yang tidak diketahui ramai rakyat S'pura

Mereka yang merancang untuk membeli BTO atau flat jualan semula pasti berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang geran-geran dan skim HDB. Anda tahu tentang Skim Bayaran Beransur Pendahuluan (Staggered Downpayment Scheme)?

Anggaran Waktu Membaca:
5 skim HDB yang tidak diketahui ramai rakyat S'pura

(Gambar hiasan: Pexel)

Diterbitkan : 23 Jan 2019 09:14PM Dikemas Kini : 23 Jan 2019 09:25PM

SINGAPURA: Mereka yang merancang untuk membeli BTO atau flat jualan semula pasti berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang geran-geran dan skim HDB. Anda tahu tentang Skim Bayaran Beransur Pendahuluan (Staggered Downpayment Scheme)?

Jika tidak, mungkin anda belum lagi sepenuhnya tahu tentang skim-skim dan geran yang ditawarkan HDB. Berikut lima skim penting HDB yang tidak diketahui ramai rakyat Singapura.

1. SKIM BAYARAN BERANSUR PENDAHULUAN
(Staggered Downpayment Scheme)

(Gambar: Pixabay)

(Gambar: Pixabay)

Di bawah skim ini, anda boleh membayar wang muka menerusi dua bayaran ansuran secara berasingan: Separuh ketika menandatangani Perjanjian Sewa-Beli, sementara bakinya dilunaskan apabila mendapat kunci rumah.

Syarat-syarat untuk layak bagi skim ini:

  • Sudah berkahwin (atau bertunang) dan akan membuat permohonan bagi flat BTO dua, tiga, empat atau lima bilik.
  • Pemohon kali pertama atau pasangan yang terdiri daripada seorang pemohon kali pertama dan seorang lagi pemohon kali kedua.
  • Menyerahkan permohonan flat pada atau sebelum hari ulang tahun ke-30 pemohon yang lebih muda. 

Pemilik flat yang berpindah ke unit lebih kecil - flat tiga atau dua bilik di estet-estet belum matang juga layak bagi skim ini.

2. SKIM TANGGUH BAYARAN PENDAHULUAN
(Deferred Downpayment Scheme)

Pastikan anda memberitahu ibu bapa atau nenek dan datuk anda tentang skim ini. Ia membantu warga emas yang merancang untuk berpindah kepada flat lebih kecil untuk menangguhkan pembayaran pendahuluan sehingga mereka mendapat kunci. Dengan cara ini, pemilik flat lanjut usia tidak perlu bimbang tentang wang muka yang terlebih dulu perlu dikeluarkan, apatah lagi kerana wang yang diperlukan datang daripada hasil penjualan flat lama milik mereka.

Syarat-syarat untuk layak bagi skim ini:

Semua pembeli flat berusia 55 tahun dan ke atas, yang sudah menempah flat dua bilik Flexi atau flat tiga bilik yang belum siap, dan belum lagi menjual flat lama semasa membuat permohonan, layak bagi skim ini. Para pembeli secara automatik akan didaftarkan di bawah skim ini, jadi mereka tidak perlu membuat sebarang permohonan secara berasingan.

3. SKIM PERUMAHAN HIDUP BARU
(Fresh Start Housing Scheme)

Gambar fail Kampung Admiralty. (Gambar: HDB)

Skim Perumahan Hidup Baru HDB ini disasarkan kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah, yang buat masa ini tinggal di rumah sewa awam. Ia bagi membantu mereka memilik flat dua bilik Flexi. Keluarga-keluarga ini akan dibantu dengan cara-cara berikut:

- Flat dengan tempoh pajakan lebih pendek

  • Anda boleh membeli flat dua bilik Flex dengan tempoh pajakan lebih pendek semasa penjualan BTO atau SBF, yang umumnya lebih dimampui berbanding flat-flat yang ditawarkan dengan tempoh pajakan 99 tahun.
  • Tempoh pajakan ditawarkan antara 45 hingga 65 tahun, dan ditentukan mengikut usia semua pemilik dan pasangan masing-masing. Tempoh pajakan mereka tidak boleh berakhir sebelum menjejaki usia 95 tahun.
  • Anda perlu menetap di rumah yang dibeli selama sekurang-kurangnya 20 tahun. 

- Hutang konsesi HDB 

  • Anda boleh mengambil Hutang Konsesi HDB, tertakluk kepada penaksiran kredit. 

- Had levi jualan semula 

  • Levi dibataskan sehingga S$30,000.
  • Ia akan diturunkan dan disesuaikan mengikut tempoh pajakan yang dipilih. 

- Geran

  • Geran Perumahan Hidup Baru bernilai S$35,000 bagi tempoh pajakan 60 atau 65 tahun. Ia akan diturunkan dan disesuaikan bagi tempoh pajakan lebih pendek.
  • S$20,000 akan dibayar sekaligus kepada Akaun Biasa CPF para pemohon yang layak sebelum mengambil kunci mereka.
  • Baki geran sehingga S$15,000 boleh dibayar kepada Akaun Biasa para pemohon yang layak secara sama-rata dalam tempoh lima tahun, selepas mendapat kunci. 

- Peruntukan diutamakan

  • Sehingga 10 peratus flat dua bilik Flexi diperuntukkan di bawah Skim Keutamaan Penyewa. 

Syarat-syarat layak bagi skim ini:

Skim ini ditawarkan kepada keluarga yang ingin membeli flat buat kali kedua (dan sebelum ini mendapatkan subsidi perumahan) dengan kanak-kanak kecil. Antara syarat lain adalah keluarga perlulah mereka yang sedang menetap di flat sewa.

4.GERAN PERUMAHAN CPF bagi EC

Sering kali ramai pembeli tidak tahu bahawa ada geran yang ditawarkan bagi pembelian Kondominium Eksekutif (EC). Jika anda merancang membeli EC, anda mungkin layak untuk mendapatkan Geran Keluarga dan Geran Separuh Rumah. Geran Keluarga bernilai sehingga S$30,000 manakala Geran Separuh Rumah memperuntuk sehingga S$15,000.

Syarat layak untuk skim ini:

Kedua-dua pemohon harus pemohon kali pertama. Jika kedua-dua pihak merupakan rakyat Singapura, batas maksimum pendapatan keluarga adalah S$12,000. Jika salah seorang pemohon adalah penduduk tetap, batas pendapatan keluarga adalah S$11,000.

Jika salah seorang pemohon ialan pemohon kali pertama, dan seorang lagi pemohon kali kedua, pasangan boleh mendapatkan Geran 'Half-Housing'. Hanya pasangan dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi S$12,000 juga layak bagi skim ini.

5. SKIM HUTANG SEMENTARA
(Temporary Loan Scheme)

(Gambar: Pixabay)

Skim ini serupa dengan Skim Tangguh Bayaran Pendahuluan, tetapi ia bagi semua pemilik rumah pelbagai peringkat usia. Di bawah skim ini, anda boleh mendapatkan hutang sementara untuk menyelesaikan pembelian flat baru anda, sementara flat sedia anda dalam proses dijual.

Memandangkan hutang sementara anda diambil kira sebagai gadai janji flat baru, ia kemudian boleh ditebus dengan menggunakan hasil penjualan flat sedia ada anda. Dengan cara ini, anda boleh menggunakan hasil penjualan flat lama untuk membayar flat baru anda, tanpa mengambil pinjaman gadai janji jangka panjang.

Syarat layak bagi skim ini:

  • Tempah flat baru, yang mana kunci sudah siap untuk diambil.
  • Menyerahkan permohonan untuk menjual flat lama. 

Namun, skim ini hanya bagi mereka yang mempunyai CPF atau wang hasil penjualan flat lama yang mencukupi untuk mereka sepenuhnya mendapatkan hutang sementara.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan