Images
  • box jellyfish file
    Gambar ampai-ampai dipetik di perairan Indonesia pada Jun 2019. (Gambar: Wikimedia Commons)

5 perkara anda perlu tahu tentang ampai-ampai berbahaya di perairan S'pura

SINGAPURA: Ampai-ampai kotak atau 'box jellyfish' kelihatan di perairan Singapura sekurang-kurangnya empat kali sejak Mac. Dalam sekurang-kurangnya satu kejadian, seorang individu disengat haiwan marin itu.

Ini beberapa perkara yang perlu anda tahu mengenai ampai-ampai berbisa itu, sejenis kehidupan laut yang sering disifatkan sebagai antara yang paling berbahaya di dunia.

APA ITU AMPAI-AMPAI KOTAK?

Nama "ampai-ampai kotak" adalah istilah bagi sekitar 50 spesies ampai-ampai kotak, juga dikenali sebagai tebuan laut. Daripada jumlah tersebut, hanya beberapa spesies yang mempunyai sengat yang boleh membunuh manusia, menurut Perkhidmatan Lautan Nasional Amerika Syarikat (NOS). Salah satunya adalah ampai-ampai kotak Australia atau "chironex fleckeri" - yang terbesar dalam kelas ampai-ampai tersebut.

Ia mendapat namanya daripada bentuk 'locengnya' . Warnanya pula biru pucat dan lutsinar. Ampai-ampai dewasa boleh tumbuh sehingga kira-kira 3 meter dan seberat 2 kilogram. Tidak seperti ampai-ampai lain, ampai-ampai kotak dapat bergerak dalam air dan bukan hanya hanyut mengikut arus, menurut National Geographic.

DI MANA IA SERING DITEMUI?

Ampai-ampai kotak lazimnya terdapat di pesisir pantai perairan utara Australia dan sekitar Indo-Pasifik, menurut NOS Amerika Syarikat.

Di Singapura, kumpulan pemuliharaan marin tempatan Marine Stewards melaporkan kelibat ampai-ampai kotak di perairan Pantai Palawan, Pulau Seringat, Pulau Sakijang Pelepah (Lazarus Island), Tuas, One Degree 15 Marina Sentosa Cove, Tuas dan Taman East Coast sejak Mac.

Lembaga Taman Negara (NParks) bekerjasama dengan Universiti Nasional Singapura untuk menjalankan analisis DNA persekitaran pada sampel air dari pelbagai kawasan pesisir untuk mengesan kehadiran ampai-ampai itu.

ADAKAH SENGATNYA MEMBAWA MAUT?

Ampai-ampai kotak sangat berbisa, menurut Dr Karenne Tun, pengarah cawangan pesisiran dan marin Pusat Biodiversiti Nasional NParks.

Sengatan ampai-ampai kotak sangat menyakitkan dan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang teruk, sakit kuat pada bahagian belakang, mual serta serangan jantung dan pernafasan. Ia juga boleh membawa maut, kata Dr Tun dalam satu kenyataan menjawab pertanyaan Mediacorp.

Beberapa kematian di seluruh dunia telah dicatat akibat sengatan ampai-ampai kotak.

Antara 1997 hingga 2015, 15 kes sengatan teruk ampai-ampai kotak dicatat di Koh Samui dan Koh Pha Ngan,Thailand. Enam daripada kes itu membawa maut, menurut sebuah artikel dalam jurnal saintifik BMC Research Notes.

Mangsa yang terselamat masih dapat mengalami kesakitan yang ketara selama berminggu-minggu setelah disengat dan sering mengalami parut di mana sesungut bersentuhan, menurut National Geographic.

APA YANG HARUS DILAKUKAN JIKA TERLIHAT KELIBATNYA?

Orang ramai seharusnya menghubungi talian bantuan NParks di 1800 471 7300 jika mereka ternampak kelibat ampai-ampai kotak itu, kata Dr Tun. Mereka tidak seharusnya cuba menangani ampai-ampai itu sendiri.

Sekiranya ampai-ampai itu kelihatan di Sentosa, orang ramai juga boleh menghubungi 1800 726 4377 atau menghubungi pegawai peronda pantai untuk mendapatkan bantuan.

BAGAIMANA UNTUK ELAK DISENGAT?

Cara terbaik untuk mengelakkan daripada disengat adalah dengan tidak memasuki perairan di mana mungkin ada ampai-ampai, menurut pusat kawalan penyakit pemerintah Wilayah Utara Australia

Kumpulan pemuliharaan marin tempatan Marine Stewards menasihati orang ramai agar tidak berenang di Sentosa, Pulau Seringat, Pulau Sakijang Pelepah dan Pulau Sakijang Bendera (St John's Island) selama dua minggu akan datang ekoran kelibat kehidupan itu dikesan di lokasi-lokasi tersebut.

Sekiranya ada keperluan untuk memasuki air, orang ramai dinasihatkan memakai pakaian stinger (kalis sengat) atau pakaian pelindung lengan panjang, menurut pemerintah Wilayah Utara Australia.

JIKA DISENGAT, APA PATUT DILAKUKAN?

“Jika disengat seekor ampai-ampai, seseorang patut membilasnya dengan air laut atau cuka dan jangan cuba mencabut sesungutnya serta segera mendapatkan rawatan perubatan," kata Dr Tun.

Membilas dengan "cuka yang banyak" pada sesungut ampai-ampai menghentikan sengatan dan sebarang sel yang belum mengeluarkanracun, menurut Healthdirect Australia, sebuah khidmat telekesihatan pemerintah.

- CNA/TQ/na

Top