Images
  • leaf mask transparent
    (Gambar: Leaf)

5 pelitup ini bukan sekadar 'tutup muka' saja

SINGAPURA: Tidak boleh disangkalkan lagi, pelitup sudah menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian kita. Sebagai langkah melindungi diri sendiri dan orang lain di sekeliling kita, pelitup mesti dipakai setiap kali kita melangkah keluar dari rumah. Penggunaan pelitup bahkan termaktub dalam undang-undang hinggakan ia menjadi satu kesalahan jika sesiapa didapati tidak memakainya di tempat awam.

Namun, lebih daripada sekadar melengkapi fesyen harian, pelitup yang boleh digunakan semula juga dihasilkan dalam pelbagai bentuk untuk membawakan fungsi lain, di samping sebagai perlindungan diri semata-mata.

Berikut adalah antara pelitup menarik yang bukan sekadar untuk menutup wajah anda.

1. PELITUP VX

Pelitup tiga lapisan ini tampak seolah-olah tidak mendatangkan fungsi namun sebenarnya, ia direka khusus buat mereka yang akan mengadakan janji temu bersama doktor, jurusolek atau pendandan rambut.

Dihasilkan oleh Dr SM Yuen daripada Klinik Atlas Medical - Derma-Regen, pelitup VX lekat sendiri ini mempunyai penapis di antara dua lapisan hidrofobik bukan tenunan.


Ia boleh digunakan semula sebanyak enam kali dan boleh bertahan di muka anda selama enam hingga lapan jam tetapi lebih singkat jika anda mempunyai kulit muka yang berminyak.

2. PELITUP Livinguard

Pelitup ini bukan diperbuat daripada fabrik biasa. Tekstil dirawat yang digunakan bagi pelitup Livinguard dikatakan berupaya menghapuskan 99.9 peratus SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19. Ini menurut syarikat pengeluar dengan ibu pejabat yang berpangkalan di Switzerland dan disahkan oleh Universiti Free, Berlin.


Pelitup biasa mungkin menapis mikrob tetap ia tetap kekal pada permukaan pelitup dan terus hidup.

Namun, bagi pelitup Livinguard, sebaik sahaja mikro-organisma hinggap pada permukaannya, ia akan dihapuskan lantas mengupayakan pelitup itu untuk membunuh lebih banyak mikrob.

Pelitup ini boleh digunakan sehingga 210 kali tanpa menjejas keupayaannya untuk membasmi kuman.

3. PELITUP Leaf

Pelitup ala alat bantuan oksigen ini boleh membantu menyelesaikan masalah salah komunikasi kerana cirinya yang jarang dan menampakkan mulut. Malah, dengan pelitup ini, telefon bijak anda mungkin tidak lagi mempunyai masalah untuk mengecam wajah sebelum membuka kuncinya.


Spesifikasi yang hadir bersama pelitup ini juga tidak kurang hebatnya. Ia datang dengan injap ekzos untuk mengeluarkan udara yang dihembuskan, penapis karbon aktif untuk menghilangkan bau, penapis HEPA kelas aeroangkasa yang menapis 99.97 peratus zarah sekecil 0.3 mikron. Bahkan, ia turut dipasang dengan pencahayaan UVC untuk pembersihan sendiri.

Penutup utama dipercayai diperbuat daripada getah silikon kelas optik yang lembut, kuat dan boleh dikitar semula 100 peratus.

4. PELITUP-C DONUT ROBOTICS

Pelitup-C oleh Donut Robotics yang didayakan oleh Bluetooth tidak akan menapis COVID-19 tetapi peranti plastik ini dicipta untuk dipakai di luar pelitup muka. Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan transkripsi, penterjemahan dan penguat suara.

Penggunaannya cukup mudah: tekan butang di bahagian tepi untuk menghidupkannya, buka aplikasi di telefon bimbit anda dan mula bercakap.


Apa sahaja yang anda katakan akan muncul sebagai teks di telefon anda. Anda juga boleh menterjemahkan teks ke dalam lapan bahasa seperti bahasa Perancis, Jepun, Mandarin, Vietnam, Thai atau Sepanyol.

Donut Robotics akan menghantar 5,000 pelitup ini ke Jepun pada bulan September. Ia juga berhasrat untuk memenuhi keperluan bagi negara-negara seperti China, Amerika Syarikat dan Eropah.

5. PELITUP BERSIH SENDIRI GUNA HABA DARI PENGECAS TELEFON

Seorang saintis Israel mencipta prototaip pelitup yang boleh membasmi kuman sendiri apabila disambungkan ke pengecas telefon.

Pelitup itu kelihatan seperti N95 kecuali ia ada port USB untuk sumber kuasa dan serat karbon yang boleh dipanaskan hingga 65 hingga 70 darjah Selsius untuk membunuh kuman.


Bagaimanapun, ia mungkin memerlukan sedikit masa sebelum produk sebenar dikeluarkan di pasaran. Sekalipun demikian, Ein-Eli berharap agar pelitup itu digunakan oleh karyawan jagaan kesihatan terlebih dahulu sebelum menyasarkan pasaran umum. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

- TODAY/FZ/tq

Top