5 maklumat anda ini dirakam telefon bijak tanpa anda sedari
Rahsia kecekapan telefon bijak terletak pada maklumat pengguna yang dirakam yang membolehkannya memberi cadangan mengikut tabiat dan citarasa anda. Namun, apakah sebenarnya ciri data yang dirakam? Adakah ia disimpan dengan selamat?
BERITAMediacorp: Telefon bijak banyak memudahkan tugas seharian, sehinggakan alat bimbit itu seolah-olah tidak boleh lagi dipisahkan dengan pengguna.
Rahsia kecekapan peranti ini pula terletak pada maklumat pengguna yang dirakam yang membolehkannya memberi cadangan mengikut tabiat dan citarasa anda.
Namun yang menjadi kebimbangan adalah kadangkala, maklumat ini dirakam tanpa disedari. Mentelah lagi di tengah-tengah kekhuatiran berhubung keselamatan data dan godaman maklumat yang kerap dilaporkan di sana sini.
Menurut Readers Digest ini dia senarai lima jenis data yang 'dirakam' telefon bijak anda - sama ada disedari ataupun tidak.
1. TEMPAT YANG ANDA KUNJUNGI
Telefon bijak moden dilengkapi pengesan lokasi, yang amat berguna untuk membantu menunjukkan jalan atau mengesan telefon anda yang hilang. Namun jika tidak dimatikan, fungsi ini akan merakam setiap pergerakan anda.
Awas, sebilangan app seperti Airbnb dan tempahan pengangkutan juga 'menghidupkan' fungsi ini jika anda mengizinkannya - dengan sengaja mahupun tidak.
2. 'PERBUALAN' ANDA DENGAN SIRI
Menurut Readers Digest, Apple mengumpul data daripada Siri - ciri 'penolong' virtual dalam setiap peranti Apple - untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Ini termasuk cara anda menyebut perkataan dan pencarian anda menggunakan fungsi Siri.
Begitu juga dengan Google Assistant, fungsi yang membantu pengguna Android dengan mendengar arahan suara.
Cakap siang, pandang-pandang. Cakap Siri, buang-buanglah data.
3. KATA-KATA KUNCI
Banyak app dan lelaman yang anda kunjungi menawarkan untuk menyimpan kata kunci, agar pengguna tidak perlu 'log in' berkali-kali.
Namun, jika difikirkan kembali, adakah berbaloi menyimpan maklumat sensitif ini dalam telefon bijak dan 'server' Google di luar kawalan anda, hanya untuk penjimatan masa beberapa saat?
4. SETIAP PESANAN YANG DIHANTAR
Para pengguna iPhone, ini satu 'kejutan' buat anda: Menurut Readers Digest, teks dan iMesej yang anda buang dari alat anda tidak dinyahkan Apple secara serta merta.
Syarikat di Cupertino itu menyimpan maklumat itu "buat sementara waktu" sebelum membasminya. Ini untuk "memastikan semua mesej dihantar dan dibaca".
Namun, Apple tidak mendedahkan berapa lama data ini disimpan.
5. GOOGLE SIMPAN MAKLUMAT ANDA
Alat-alat Android dipacu oleh applikasi kepunyaan Google. Ini menawarkan anda pengalaman penggunaan Google yang lebih berkesinambungan.
Sebagai contoh, jika anda menonton sebuah video di YouTube menerusi komputer, Google akan menyimpan pencarian anda supaya anda boleh dengan mudah mencari video yang sama di telefon bijak Android anda.
Amat menyenangkan, bukan? Namun ini juga bermakna selagi anda masih 'log in' ke akaun Google anda, ia dapat mengakses maklumat dan setiap tingkah laku anda.
Yang pasti, setiap aspek kehidupan semaking terhubung dan semakin banyak kemudahan moden hanya dapat dinikmati dengan adanya pengumpulan data digital.
Namun dengan kesedaran tentang maklumat apa yang dikumpul dan cara ia digunakan, ini mungkin mengupayakan seseorang untuk menjadi pengguna yang lebih berhati-hati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.