Images
  • hair dryer haircut file
    (Gambar hiasan: Jo Johnston/Pixabay)

5 kesilapan yang perlu dihindari bila menggunakan pengering rambut

INDONESIA: Alat pengering rambut atau 'hair dryer' adalah satu alat penghias dan penjagaan rambut yang lazim dilihat. Malah bagi sesetengah individu, terutamanya yang berambut panjang, keupayaannya untuk mengeringkan mahkota di kepala dengan pantas menjadikan penggunaannya satu rutin harian yang wajib.

Namun umum tahu juga, menggunakannya dengan cara yang salah boleh menyebabkan rambut yang disayang dan dibelai itu mudah rosak.

Lantaran itu, laman Merdeka.com menyenaraikan lima kesilapan berikut yang kerap dibuat, namun perlu dielakkan agar seseorang boleh menikmati kemudahan penggunaan hair dryer sambil menjaga kesihatan rambut:

1. Hanya gunakan suhu tinggi

Alat pengering rambut lazimnya dilengkapi dengan keupayaan meniup angin bersuhu panas dan sejuk. Oleh kerana mengejarkan masa, ramai yang kerap menggunakan 'setting' suhu panas sahaja.

Cara terbaik adalah menggunakan kedua-dua suhu secara bergilir-gilir, kerana suhu sejuk hair dryer itu dapat mengelakkan penguapan berlebihan pada rambut agar ia kekal lembab, dan mengelakkan daripada rambut bercabang.

2. Keringkan rambut dari bahagian hujung

Proses mengeringkan rambut seharusnya harus dilakukan bermula dari akar sehingga ke hujung rambut. Jika dilakukan dengan arah bertentangan, ia boleh menyebabkan kutikel rambut (lapisan luar rambut) terbuka dan rambut menjadi kusut.

Mengeringkan rambut dengan cara yang betul boleh mengekalkan rambut yang lebih halus dan berkilau.

3. Memegang pengering rambut terlalu dekat

Ada yang mungkin berfikir, mendekatkan jarak antara hair dryer dengan rambut boleh mempercepat proses pengeringan. Hakikatnya, ia akan membuat rambut mudah rapuh dan boleh membuat kulit kepala terbakar.

Jarak yang disarankan untuk menggunakan pengering rambut adalah sekitar 30 sentimeter.

4. Tidak membahagi rambut

Seringkali kita mengeringkan seluruh rambut hanya dengan membolak balikkan hair dryer tanpa kaedah tersusun. Walhal, proses pengeringan dapat dipercepat dengan membahagi rambut kepada empat atau lima bahagian, dengan membelah secara tegak atau vertikal (dahi ke leher) dan mendatar (kiri ke kanan).

5. Tidak bersihkan alat pengering rambut

Pernahkah anda membersihkan alat pengering rambut? Jika belum, segeralah melakukannya. Kotoran dalam hair dryer bukan hanya dapat merosakkan alat itu, malahan rambut anda juga.

Lubang-lubang angin pada pengering rambut yang tersumbat dengan debu dan kotoran akan menyekat aliran udara dan meningkatkan suhu di dalamnya sehingga alat dan rambut lebih mudah rosak. Bersihkan hair dryer dua minggu sekali jika anda menggunakannya setiap hari.

Demikian beberapa kesilapan lazim yang seorang pengguna mungkin lakukan apabila menggunakan alat pengering rambut. Segera berhenti melakukannya jika anda sayang mahkota anda!

- MERDEKA/TQ/tq

Top