Images
  • plane generic 2
    (Gambar: AFP/Saul Loeb)

5 cara mudah atasi susah tidur dalam pesawat

LONDON: Ramai penumpang pasti pernah mengalami masalah sukar tidur semasa berada dalam pesawat bukan? Malah, oleh kerana tidak mendapat tidur yang mencukupi atau tidak boleh lelapkan mata langsung, ia boleh mengakibatkan anda berasa tidak larat dan tidak ada 'mood' untuk berjalan apabila sudah sampai ke destinasi.

Berikut adalah 5 tip bagi anda mengatasi masalah sukar tidur di dalam pesawat:

1. Pilihan tempat duduk

Setiap pasangan dan keluarga sudah tentu tidak mahu duduk berasingan. Mereka lebih gemar duduk bersebelahan antara satu sama lain.

Tapi, jika pesawat tidak penuh, jangan lepaskan peluang ini kerana anda boleh berpindah tempat duduk mengikut keselesaan masing-masing.

Selain itu, untuk memudahkan anda melelapkan mata atau takut tidur terganggu, elakkan memilih kerusi yang berdekatan dengan tandas dan ruang kerja kru kabin.

2. Kekalkan rutin harian

Anda akan dipandang pelik sekiranya menukar baju tidur, memberus gigi dan membersihkan solekan serta mencuci muka anda, sama seperti yang dilakukan ketika ingin masuk tidur. Namun ia sebenarnya membantu anda secara psikologi bahawa anda sudah bersedia untuk tidur.

Jika kebiasaannya anda selalu membaca buku sebelum tidur, lakukannya semasa di dalam pesawat. Ia seolah-olah memberi isyarat kepada otak anda bahawa proses berjaga sudah berakhir.

3. Penutup mata

Terdapat pelbagai pilihan penutup mata di pasaran. Ia berfungsi untuk menyekat cahaya supaya anda boleh melelapkan mata.

Pilih penutup mata jenis satin berwarna hitam penuh untuk keselesaan yang berpanjangan.

4. Bantal

Jika anda tidur dalam keadaan duduk, pilih bantal leher kerana ia lebih selesa berbanding kusyen biasa.

Bantal leher itu mempunyai pelbagai pilihan dan corak. Apa yang penting pilihlah yang jenis lembut kerana ia membuatkan tidur anda lebih nyenyak dan selesa.

5. Wangian atau krim tangan

Manfaat wangian lebih banyak berbanding apa yang anda fikirkan. Gunakan krim tangan atau wangian yang boleh menenangkan fikiran.

Wangian yang mempunyai kaitan kuat untuk bantu anda tidur termasuk lavender, vetiver, chamomile, ylang ylang, bergamot dan cendana.

Sapu sedikit di bahagian belakang leher dan di pergelangan tangan untuk memberikan sedikit ketenangan dalaman. 

- Agensi berita/NA/na

Top