Images
  • wfh main
    Gambar hiasan: Djurdjica Boskovic/Unsplash

5 cara ini bantu kurangkan tekanan ketika bekerja dari rumah

SINGAPURA: Sudah hampir tiga bulan Singapura memasuki Fasa 2 menyusuli tempoh pemutus rantaian jangkitan. Aturan bekerja dari rumah atau ‘Work From Home (WFH)’ masih digalakkan.

Para majikan juga digalakkan oleh pemerintah untuk melaksanakan jadual kerja fleksibel dan lantaran itu aturan kerja ‘hibrid’ – bergilir antara bekerja dari rumah dengan menjalankan tugas di pejabat – kian menjadi sesuatu yang sebati dalam kehidupan ‘norma baru’.

Sesetengah pekerja mengalu-alukan WFH kerana aturan kerja itu boleh menjimatkan perbelanjaan ulang-alik ke tempat kerja dan diberi kelonggaran supaya dapat meluangkan lebih banyak masa di rumah bersama dengan orang-orang tersayang. 

Namun ramai lagi yang mendapati waktu kerja mereka semakin lebih panjang dan sukar menentukan batasan antara tuntutan kerja dengan tanggungjawab rumah tangga. 

Tanpa pergaulan harian dengan rakan-rakan kerja, seseorang yang bekerja dari rumah mungkin terlepas peluang untuk bertemu muka dan bergaul dengan orang lain di luar rumah.

Lantaran itu tidak menghairankan jika mereka yang bekerja dari rumah berasa lebih tertekan – malah lebih tinggi tekanannya berbanding kakitangan barisan hadapan – seperti yang dilaporkan dalam tinjauan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

Menurut Tinjauan Daya Tahan Tempat Kerja, kaum wanita yang bekerja dari rumah juga lebih berkemungkinan berasa tertekan dan lebih bimbang berbanding kaum lelaki kerana perlu menggalas banyak lagi tanggungjawab sebagai anak, ibu, isteri dan pekerja sekali gus.

Berdepan dengan realiti bahawa model kerja hibrid akan menjadi sesuatu yang lazim pada masa akan datang, berikut adalah lima cara untuk menangani tekanan dan mencapai keseimbangan antara tuntutan kerja dengan kehidupan peribadi, seperti yang dicadangkan dalam rencana laman Pergerakan Baik Budi Singapura (Singapore Kindness Movement) terbitan The Pride.

1. IKUT RUTIN

Salah satu kelebihan WFH adalah kelonggaran untuk mengatur jadual kerja. Namun ia juga boleh menyebabkan seseorang leka atau kurang berdaya hasil. Lantaran itu, adalah penting untuk melakar rutin yang sesuai – dan mematuhinya dengan teliti.


(Gambar hiasan: Khadeeja Yasser/Unsplash)

Cuba memulakan dan menamatkan waktu kerja pada masa yang sama setiap hari walaupun tiada mesyuarat secara fizikal untuk dihadiri. Elak melakukan tugas pada waktu ganjil atau di luar waktu bekerja yang ditetapkan.

Ini akan membantu untuk meningkatkan daya penghasilan dan memastikan agar anda dapat menyelesaikan tugas tanpa perlu bekerja sehari suntuk.

Senaraikan tugas-tugas yang menjadi keutamaan yang perlu anda selesaikan setiap hari agar lebih mudah merancang peruntukan masa.

2. TETAPKAN BATASAN

Anda mungkin pernah mendapatinya sukar untuk mengasingkan antara tuntutan kerja dengan tanggungjawab rumah tangga.

Langkah pertama adalah untuk memperuntukkan ruang bekerja khas dalam rumah anda.

Apabila sudah tiba tamat waktu bekerja, matikan komputer dan tinggalkan ruang bekerja. Perbuatan yang mudah ini membantu minda untuk berfikir seolah-olah anda ‘masuk’ dan ‘keluar’ pejabat. Ini memudahkan peralihan antara persekitaran di pejabat dengan di rumah.


(Gambar hiasan: XPS/Unsplash)

Batasan yang jelas juga mengisyaratkan kepada anggota keluarga yang anda sedang berada di ‘tempat kerja’ meskipun tidak keluar rumah.

Ini agar mereka kurang cenderung meminta pertolongan membuat kerja-kerja rumah atau berbual-bual dengan anda – terutama sekali jika anda sedang bermesyuarat secara maya.

Berbincang dengan penyelia atau bos supaya boleh mencapai persetujuan berhubung aturan WFH untuk meningkatkan keberkesanan ketika bekerja. Inisiatif untuk mengadakan perbualan sedemikian menunjukkan keupayaan anda untuk menilai mutu kerja anda sendiri dan keinginan untuk meningkatkan prestasi anda.

Cuba mengelak daripada membalas emel atau pesanan teks pada hujung minggu jika ia tidak mustahak. Balas dengan pesanan sopan yang menyatakan anda akan melakukan tugas berkenaan apabila anda kembali bertugas pada Isnin.

3. KEKALKAN KETERSAMBUNGAN

Mereka yang sudah lama bekerja dari rumah lebih cenderung berasa seolah-olah terasing daripada orang-orang di luar rumah – tidak kira sama ada mereka tidak gemar bergaul dengan ramai orang atau mereka sebenarnya seseorang yang peramah.


(Gambar hiasan: Charles Deluvio/Unsplash)

Meskipun anda berhasil membentuk sempadan di rumah antara ruang bekerja dan kehidupan peribadi, anda juga perlu meluangkan masa untuk orang-orang tersayang.

Pengasingan sosial juga merupakan sesuatu yang boleh menjejas kesihatan mental. Bertanya khabar dengan rakan-rakan sekerja dan kenalan. Besar kemungkinan mereka juga akan menghargai keprihatinan anda terhadap kesejahteraan mereka.

Anda boleh memanfaatkan tekonologi untuk bertemu muka dengan rakan-rakan menerusi wadah online.

4. AMALKAN GAYA HIDUP SIHAT

Jaga kesihatan rohani dan jasmani anda dengan melapangkan masa untuk beristirahat. Luangkan masa 15 minit untuk bersiar-siar, melakukan senaman ringan ataupun tidur seketika.


(Gambar hiasan: Bruno Nascimento/Unsplash)

Tujuannya untuk membuka ruang dalam minda dan secara fizikal bagi diri anda dalam sehari agar anda tidak terlalu kepenatan sehingga tugas anda mengganggu kesihatan anda.

Amalkan gaya hidup sihat – termasuk makan dengan betul, bersenam dengan kerap dan tidur secukupnya – bukan sekadar menyihatkan badan tetapi ia juga berupaya memberi ketenangan dan mengalihkan tumpuan dari pekerjaan anda.

5. SAYANGI DIRI ANDA

Di tengah-tengah keadaan yang tidak menentu sekarang, adalah penting untuk berbelas kasihan dengan diri anda sendiri. Anda mungkin tidak berdaya untuk sentiasa mencapai tahap prestasi 100 peratus, namun ia merupakan suatu kelaziman.


(Gambar hiasan: L N/Unsplash)

Jangan menetapkan jangkaan yang keterlaluan dan meletakkan terlalu banyak tekanan pada diri anda sendiri.

Sebaliknya, anda harus menghargai diri anda sendiri untuk mengekalkan daya motivasi dengan meraikan setiap pencapaian kecil.

LAPORAN BERKAITAN:

- Agensi berita/ZM/zm

Top