Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

4 sebab kucing anda perlu jadual makan teratur

Adakah anda membiarkan kucing anda makan sesuka hati tidak kira waktu? Ini 4 sebab yang boleh anda ambil kira untuk ubah tabiat itu...

Anggaran Waktu Membaca:
4 sebab kucing anda perlu jadual makan teratur

Seorang pekerja memberi kucing makan di Ailuromania Cat Cafe di Dubai, 24 feb 2021. (Gambar: Reuters/Rula Rouhana)

Diterbitkan : 20 Jul 2021 11:46PM Dikemas Kini : 20 Jul 2021 11:57PM

INDONESIA: Makanan adalah salah satu perkara terpenting dalam kehidupan kucing. Maka itu, bagi membantu pertumbuhan dan perkembangan haiwan peliharaan anda, diet kucing perlu difikirkan secara teliti agar tidak mencetuskan masalah kesihatan.

Dan mempunyai jadual makan yang konsisten dapat membantu menjaga kesihatan kucing anda.

Menurut laman Merdeka.com, berikut adalah antara faedahnya:

Mudah perhatikan tabiat makan kucing

Daripada meninggalkan makanan kering di dalam mangkuknya sepanjang hari, kucing biasanya diberi makan dua kali sehari pada waktu yang dijadualkan. Ini memudahkan anda memerhatikan sama ada terdapat perubahan yang berlaku, salah satu simptom masalah kesihatan.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan haiwan peliharaan itu terkenal dengan kepandaiannya menyembunyikan gejala penyakit sehingga keadaannya agak parah.

Makan ikut jadual juga membolehkan anda melihat apa yang berlaku pada makanan tersebut. Bermula dengan berapa banyak yang dimakan kucing, berapa cepat makanan itu habis, atau sama ada ia kelihatan lapar setelah waktu makan.

Boleh kawal diet kucing

Tanpa jadual makan, pemilik kucing akan sukar mengawal berapa banyak makanan yang diberikan. Ini adalah faktor penting bagi kucing yang perlu menurunkan berat badan, mempunyai keadaan perubatan yang memerlukan diet khas, atau jika seseorang memelihara banyak kucing.

Bagi kucing yang mengalami obesiti, tidak ada gunanya menyediakan makanan rendah kalori jika haiwan itu makan dua kali lebih banyak. Kaedah ini juga berkesan untuk mencegah kucing berebut makanan, yang boleh menyebabkan seekor kucing tampak 'semangat' manakala kucing yang lain kekurangan zat.

Lebih mudah ubah tabiat pemakanan

Terdapat beberapa sebab mengapa pemilik mungkin perlu mengubah diet kucing mereka, seperti perlunya pemakanan diubah seiring usia yang meningkat, atau perlu memperkenalkan makanan baru. Makan mengikut jadual yang tetap membolehkan anda mengubah diet kucing anda secara perlahan-lahan.

Cuba tambahkan sedikit makanan baru kepada yang lama pada waktu pagi untuk melihat bagaimana kucing anda menerimanya. Sekiranya semuanya berjalan lancar, tambahkan sedikit lagi makanan baru pada sebelah petang. Lakukan peralihan ini dengan perlahan agar kesihatannya tidak terganggu.

Eratkan hubungan dengan kucing

Seperti juga manusia, cara untuk memikat hati kucing adalah dengan menjaga perutnya. Apabila anda mula memberinya makan secara berkala, kucing anda akan melihat pemiliknya sebagai bahagian penting dalam kehidupannya.

Untuk membantu memupuk kepercayaan, kucing anda akan mula datang kepada anda lebih kerap untuk meminta makanan pada waktu mengikut jadual tersebut. Selain itu, anda boleh menggunakan masa makan ini untuk memberinya belaian dan pujian yang membantu anda mengenali haiwan kesayangan anda dengan lebih baik.

Namun perlu ditambah di sini bahawa selain memiliki jadual makan yang tepat, memilih makanan kucing yang baik juga mempunyai kesan terhadap kesihatan kucing. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan