Images
  • wanita sukan
    Dari kiri: Nawal Haddad, Diyana Halik, Adlina Anis. (Gambar: Instagram)

3 usahawan S’pura ini hasilkan rekaan praktikal, bergaya bagi muslimah beriadah

BERITAmediacorp: Sejak mengendalikan kelas kesihatan seperti zumba, piloxing dan yoga sejak sekitar lima tahun lalu, Cik Nawal Haddad memerhatikan adanya satu 'masalah' serupa dalam kalangan para pelajar wanitanya.

Bukan kepayahan untuk bergiat aktif, tetapi kesulitan untuk bertukar kepada pakaian yang lebih sesuai bagi keselesaan bersenam.

"Mereka sering ke kelas tanpa pakaian yang sesuai atau datang ke kelas terlari-lari untuk menukar pakaian lebih selesa di tandas.

"Saya rasa itu adalah sesuatu yang mahu saya huraikan. Alangkah baiknya jika saya dapat menghasilkan sesuatu yang memudahkan mereka dan membolehkan mereka keluar rumah dengan pakaian itu sekali sebelum ke kelas," jelas Cik Nawal, yang juga pengasas Nawal Haddad Fitness.

Berbekalkan semangat itu, beliau bertekad mencari huraian bagi pelajarnya, sekaligus golongan wanita sopan - dalam bentuk koleksi GLOWco.

NAWAL HADDAD DENGAN GLOWco EXCLUSIVE

Laman GLOWco yang menempatkan sebilangan jenama sopan tempatan dan antarabangsa, juga menampilkan koleksi Nawal sendiri, GLOWco Exclusive.

"Tujuan utama saya adalah untuk menghasilkan sesuatu yang sopan. Saya perlu cari keseimbangan bagi golongan lebih muda dengan mewujudkan sesuatu yang menarik, moden dan bergaya.

"Malah kami mahu hasilkan sesuatu yang sopan tetapi cukup fleksibel dengan potongan di tepi agar memberi ruang bagi mereka melakukan yoga," kongsi Nawal, juga ibu seorang anak.

GLOWco Exclusive memiliki dua jenis baju berlengan panjang, dua jenis seluar panjang dan seluar 'tights' hasil kolaborasi dengan jenama tempatan LullySelb.

Cik Nawal, yang juga mendapatkan maklum balas daripada sekitar 250 orang sebelum menghasilkan koleksi beliau, berkata: "Belum ada cukup jenama tempatan yang menyokong wanita sopan aktif. Namun bagi kami untuk cuba menjual, kami perlu mewujudkan kesedarannya dahulu bahawa kini ada pilihan bagi anda.

"Malah itulah cogan kata kami, 'Akhirnya ada sesuatu untuk kami'. Kita masih boleh nampak bergaya walaupun kita sedang bersenam."


(Gambar: glowco.shop/Instagram)

DIYANA HALIK DENGAN HIJABCAP

Bagi Diyana Halik, yang juga isteri kepada pelakon Aaron Aziz, persoalan yang ditimbulkan anak perempuannya, Dwi Ariana, 12, sedikit sebanyak mendorong ciptaan 'topi hijab' atau HijabCap yang sesuai bagi kegiatan luar.

"Anak perempuan saya gemar bersukan dan dia seorang yang sangat 'sporty'. Dia bermain bola sepak, badminton dan bola jaring, dan dia juga baru mengenakan hijab tahun ini selepas Hari Raya.

"Dia pernah bertanya kepada saya, 'bagaimana dapat saya lakukan sukan selepas ini?' Dan bila kami hasilkan HijabCap itu, dia kata 'ia agak bergaya juga', malah dia juga boleh gunakannya pada hari-hari biasa."

Topi hijab hasil kolaborasi jenama Diyana Halik dan Band of Braders itu juga mempunyai panjang hijab sehingga 1.5 meter.

Mengambil masa sekitar tiga bulan untuk menghasilkan rekaannya, Diyana akur beliau masih mempelajari cara menaikkan mutu reka bentuk topi hijab berkenaan.

"Kami masih cuba memperbaiki, tetapi sejak ia dilancarkan, kami menerima maklum balas baik pada hari pertama. Malah HijabCap berwarna hitam adalah yang paling laris setakat ini," katanya, yang melancarkan rekaan tersebut pada 4 November lalu.

Diyana yang juga sering berlari-lari anak dan berbasikal sehingga empat kali seminggu malah yakin rekaan hijab sukan adalah permulaan trend bagi satu pasaran yang belum lagi ditembusi.

"Menjadi sihat juga sesuatu yang berunsur Islam. Bukankah baik mempunyai sesuatu yang memenuhi kehendak tetapi tetap kelihatan cantik? Tidak lama lagi, saya yakin lebih banyak jenama akan menghasilkan hijab bagi memenuhi keperluan lebih banyak jenis sukan," jelas ibu tiga anak ini.


(Gambar: diyanahalikcom/Instagram)

ADLINA ANIS DENGAN AQUA SOL

Bagi pereka Adlina Anis, koleksi Aqua Sol dihasilkan bagi memenuhi keperluan bukan sahaja kegiatan di darat dan tepi pantai tetapi juga dalam air!

"Kebanyakan rekaan yang saya hasilkan berlandaskan pengalaman peribadi saya sendiri. Saya gemarkan kegiatan luar dan di tepi pantai, tetapi sukar bagi saya menggabungkan semuanya dalam air dan di darat.

Lantaran itu, beliau menghasilkan Swim Turban bagi sukan renang serta Turban Cap dan Ninja Cap yang mempunyai ciri topi bagi kegiatan luar.

"Hijab biasa yang sering dipadankan bagi kegiatan air mungkin lambat kering atau diperbuat daripada bahan agak berat dan ini mungkin menghindar golongan wanita daripada bersukan.

"Dengan adanya rekaan seperti ini, ia bertindak sebagai pendorong yang sekurang-kurangnya dapat membuat seseorang kelihatan menarik semasa bersukan," jelas Adlina.


(Gambar: adlinaanis/Instagram)

Yang pasti, pakaian sopan serta hijab sukan yang semakin dihasilkan dalam pasaran kian mendapat perhatian masyarakat.

Meskipun ia disifatkan sebagai pendorong bagi wanita aktif, semangat kesukanan yang kian bertambah dalam kalangan masyarakat ternyata faktor utama bagi lebih banyak pakaian seumpama ini dihasilkan.

- BERITAmediacorp/nk

Top