Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

3 mitos berhubung senaman dan berat badan

Sama ada atas tujuan kesihatan, mahupun demi menjaga ketrampilan, terdapat pelbagai sebab seseorang boleh mendapat inspirasi baru untuk bersenam dan menjaga berat badan. Namun tahukah anda terdapat beberapa salah tanggapan yang meluas tentang senaman dan penurunan berat badan?

Anggaran Waktu Membaca:
3 mitos berhubung senaman dan berat badan

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 09 Nov 2018 12:25AM Dikemas Kini : 09 Nov 2018 12:29AM

KANADA: Sama ada atas tujuan kesihatan, mahupun demi menjaga ketrampilan, terdapat pelbagai sebab seseorang boleh mendapat inspirasi baru untuk bersenam dan menjaga berat badan.

Namun tahukah anda terdapat beberapa salah tanggapan yang meluas tentang senaman dan penurunan berat badan?

Washington Post menukil pendapat Dr Mark Tarnopolsky, pengarah Klinik Neuromuskular dan Neurometabolisme di Universiti McMaster, Kanada tentang isu ini.

MITOS 1: SENAMAN JAMIN BERAT BADAN SUSUT

Satu kajian pada 2012 oleh Jurnal Fisiologi Gunaan mendapati sekumpulan orang yang bersenam selama lapan bulan tidak berjaya mengurangkan berat badan, meskipun tahap kesihatan mereka lebih baik.

Menurut penjelasan Dr Tarnopolsky kepada Washington Post, cara paling berkesan adalah menggabungkan senaman dan perubahan cara pemakanan.

Pada masa yang sama, utamakan manfaat kesihatan, bukan angka di timbangan sahaja.

MITOS 2: PERLU BELI SERBUK PROTIN UNTUK 'SADO'

Banyak iklan kesihatan berhubung senaman bina badan meuar-uarkan manfaat produk makanan tambahan seperti serbuk protin.

Memang benar otot-otot memerlukan zat tersebut untuk pulih dan membesar selepas bersenam. Namun menurut Dr Tarnopolsky, penambahan protin yang berlebihan juga tidak membawa manfaat kerana ia akan dikeluarkan dari tubuh melalui air kencing.

Tambah beliau, para pakar pemakanan di Kanada dan Amerika Syarikat mendapati perancangan makanan yang betul cukup untuk memberi sumber protin tambahan yang diperlukan untuk membina badan sasa yang diidam-idamkan.

MITOS 3: SENAM PERUT, HILANG GENDUT

Banyak rencana menganjurkan senaman yang menumpukan pada bahagian perut - seperti 'sit-up' dan 'crunches' - sebagai rahsia mendapatkan pinggang langsing dan otot-otot 'six pack'.

Namun Dr Tarnopolsky menerangkan bahawa hakikatnya, lemak disimpan dalam badan di bawah kulit dan di sekeliling organ. Mengurangkan makanan dan menambahkan senaman hanya membakar lemak secara amnya di seluruh tubuh, bukan di bahagian-bahagian tertentu.

Dalam erti kata lain, pelbagai senaman diperlukan agar kandungan lemak dalam badan secara keseluruhannya dapat dikurangkan secara ketara. Barulah terserlah ciri-ciri tubuh idaman.

Natijahnya, tiada satu senaman khas mahupun produk tambahan yang menjamin susuk badan yang diidamkan. Malah, senaman sahaja belum tentu mencukupi.

Lantaran itu, seseorang perlu terus komited menuju ke berat badan yang lebih sihat dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Lama-kelamaan, boleh tampak hasilnya.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan