Images
  • durian cendol
    (Gambar: @_ustazabdullahkhairi/Instagram)

3 cendol durian RM114 berbaloi?

MELAKA: Kurang 24 jam selepas seorang pengguna Instagram memuat naik gambar resit yang menunjukkan harga tiga mangkuk cendol durian berharga RM114 (S$38), ramai netizen tidak putus-putus mengutuk kedai Raja Cendol Taming Sari.

Dalam catatan Instagram @_ustazabdullahkhairi, pelanggan itu menulis: "Cendoi apa ni... agak agak patutla kalu nak sembeleh pun.."

Bagaimanapun pemilik kedai itu sebaliknya mempertahankan harga cendol yang dijual walaupun mengakui harganya "agak mahal".

"Saya tidak tahu apa niat individu terbabit tetapi saya berterima kasih kerana tindakan itu secara tidak langsung mempromosikan lagi kedai saya," kata Encik Muhammad Ariff Qayyum Mohd Zambri kepada Sinar Harian.

Encik Ariff berkata, beliau memulakan perniagaan itu sejak sekitar 19 bulan lalu. Sejak membuka kedainya, harga yang ditetapkan tidak pernah dinaikkan iaitu antara RM17 hingga RM38 (S$5.60-S$12.60).

"Bagi para pelanggan yang sudah biasa dengan harga durian, mereka tidak akan pertikaikan lagi harga yang sudah ditetapkan kerana mereka faham.

“Harga cendol kami ditentukan berdasarkan jenis durian yang disediakan iaitu Musang King, Udang Merah, D24 dan D101. Malah, durian dalam setiap hidangan cendol sudah ditimbang antara 120 hingga 150 gram bagi setiap hidangan demi memastikan kepuasan pelanggan,” katanya.

Malah, Sinar Harian difahamkan, tanda harga ditampal di dalam dan luar kedai supaya para pelanggan tahu harga yang perlu dibayar.

Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Jaiya Abu ketika dihubungi media tempatan memaklumkan pihaknya turut menerima aduan berhubung harga tiga mangkuk cendol durian musang king yang dikatakan mencecah RM114 (S$38).

“Bagi saya tiada isu di sini, malah peniaga terbabit sudahpun menyatakan kadar harga bagi jenis cendol yang dijual dan terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih cendol yang mana mengikut kemampuan masing-masing.

“Lagipun, pihak kami dimaklumkan harga berkenaan sudah dikenakan sejak 2017 lagi,” katanya. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top