Images
  • airport changi
    (Gambar fail: TODAY)

3 cara mudah supaya lebih berhemah semasa anda melancong

SINGAPURA: Jauh perjalanan, luas pemandangan. Melancong menawarkan peluang untuk memperoleh 'like' di Instagram tetapi pada hakikatnya ia mungkin mempunyai kesan negatif terhadap alam sekitar, masyarakat tempatan dan warisan sesebuah negara.

Tidak hairanlah jika kebelakangan ini lebih ramai pelancong yang semakin sedar tentang keperluan untuk mengurangkan kesan-kesan negatif semasa melancong.

Mengamalkan tabiat mesra alam ketika melancong, melindungi budaya dan warisan negara yang dikunjungi dan menyumbang kepada masyarakat tempatan adalah sebahagian daripada konsep percutian mampan. Ia menjadi trend yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelancong global.

Matlamat percutian mampan adalah untuk mengurangkan kesan negatif akibat pelancongan, serta melindungi dan memelihara alam sekitar dan budaya tempat yang dikunjungi.

Bagi mereka yang belum maklum, berikut adalah tip-tip yang boleh dipertimbangkan semasa merancang percutian anda.

1: ELAK PENERBANGAN

Pesawat-pesawat adalah antara penyumbang terbesar kepada pengeluaran karbon dioksida dalam alam sekitar. Lantaran itu para pencinta alam tidak menyokong sama sekali percutian menggunakan kapal terbang.

Namun ini tidak bermakna anda tidak boleh melancong ke mana-mana saja. Sebaliknya anda boleh mengurangkan 'sumbangan' anda terhadap pengeluaran karbon dioksida dengan memilih kenderaan lain seperti kereta api, bas atau kereta.


(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman) 

Sebagai penduduk Singapura, anda juga boleh beriadah di pantai-pantai Batam dan Bintan dengan menaiki feri tidak lebih sejam.

Dari semasa ke semasa resort-resort baru dibuka di pulau-pulau peranginan itu yang menawarkan pelbagai pilihan. Ada yang mesra keluarga dan ada juga resort mewah yang lazimnya dikaitkan dengan Bali atau Maldives. Baru-baru ini, resort di Pulau Cempedak dilancarkan untuk menawarkan pengalaman eksklusif kepada para pengunjung pulau itu.

2: JIKA PERLU NAIK PESAWAT, PILIHLAH DENGAN TELITI

Kini lebih banyak syarikat penerbangan yang menggiatkan usaha memelihara alam sekitar.

Ada syarikat penerbangan yang mengimbangi pengeluaran karbon dengan menyumbang kepada kegiatan dan gerakan berkaitan dengan alam sekitar.


(Gambar: AFP/Romeo Gacad)

Syarikat-syarikat seperti Emirates dan Qantas mengurangkan penggunaan perkakas pakai buang semasa penerbangan dan berikrar akan tidak menggunakan plastik sama sekali dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Para pelancong boleh mengambil inisiatif dengan membawa cawan dan beg yang boleh digunakan semula bagi percutian seterusnya bagi mengurangkan penggunaan plastik.

3: ALAMI KEHIDUPAN PENDUDUK TEMPATAN

Menurut tinjauan Pertubuhan Pelancongan Sedunia baru-baru ini, hanya lima daripada 100 dolar yang dibelanjakan di sesebuah negara membangun sebenarnya kekal dalam ekonomi negara itu.

Mengapa tidak melengkapi rancangan anda dengan kegiatan yang boleh memanfaatkan masyarakat tempatan?


(Gambar hiasan: Facebook/Cempedak Island)

Ada wadah-wadah online yang direka khas dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang percutian dengan cara yang lebih berhemah dan sudah melancarkan platform tempahan yang menawarkan senarai hotel dan kegiatan khusus yang mengongsi matlamat itu.

Khidmat-khidmat seperti Bee+Hive menawarkan pengalaman yang memelihara alam sekitar dan melindungi hidupan liar, menyumbang kepada ekonomi dan juga melestarikan budaya di merata dunia, dari Brazil hingga Sweden, dan dari Filipina hingga ke Australia. 

- TODAY/ZM/zm

Top